tari Publish time 16-11-2021 11:07 AM

Awak-awak, jurumudi bot penumpang positif dadah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/awak_1637030847.jpg
AWAK-awak dan jurumudi bot penumpang di Mersing Johor yang ditahahn. FOTO Ihsan APMM


Mersing: Seramai 20 awak-awak dan jurumudi bot penumpang di daerah ini didapati positif ujian air kencing dalam OP Bersepadu yang dijalankan bermula Sabtu lalu hingga semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, suspek lelaki tempatan berusia dari 23 hingga 50 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine, ganja dan opiat.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilakukan berikutan aduan awam serta maklumat diterima mengenai pembabitan jurumudi bot penumpang dan bot nelayan tempatan dalam aktiviti penyalahgunaan barang terlarang ketika melakukan aktiviti di laut.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing melaksanakan Op Bersepadu dalam kalangan komuniti maritim bermula 13 November hingga semalam.


"OP berkenaan bagi mengesan penagih dadah dalam kalangan komuniti maritim sekitar dan perairan Mersing demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Operasi selama tiga hari itu telah menjalankan pemeriksaan rawak ke atas 89 individu termasuk 23 warga Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun.
"Suspek yang positif ujian air kencing telah diberi jaminan bersyarat supaya hadir melapor diri di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing pada hari yang ditetapkan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim.
"Operasi berkenaan juga diharap dapat meningkatkan aktiviti perusahaan pelancongan yang selamat di perairan negeri Johor," katanya.
Katanya, APMM mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal, tindakan sewajarnya akan dikenakan.
"Komuniti maritim juga mestilah mematuhi peraturan keselamatan di laut agar kejadian tidak diingini berlaku ketika melakukan pelbagai aktiviti di laut terutama pada musim tengkujuh," katanya.
Beliau berkata, sebarang aduan jenayah dan kecemasan perlu segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.
Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 10:47am

Pages: [1]
View full version: Awak-awak, jurumudi bot penumpang positif dadah


ADVERTISEMENT