kerisnaga Publish time 14-11-2021 06:36 PM

Tali pukat hanyut, masuk ke laluan feri

Tali pukat hanyut, masuk ke laluan feriOleh Aizat Sharif - November 14, 2021 @ 8:16ambhnews@bh.com.my

https://assets.bharian.com.my/images/articles/feri3_1636858532.jpg
Penumpang feri dari Langkawi ke Kuala Perlis yang terkandas dua jam di perairan Kuala Perlis selamat tiba di jeti berkenaan sekitar jam 11.40 malam. - Foto NSTP/Aizat Sharif


KANGAR: Tali pukat nelayan dipercayai hanyut hingga termasuk ke laluan serta tersangkut pada kipas feri penumpang Langkawi-Kuala Perlis yang terkandas ketika dalam perjalanan ke Jeti Kuala Perlis, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing, berkata kemungkinan itu adalah disebabkan nelayan di sekitar Kuala Perlis jarang meletakkan tali atau jaring pukat mereka di laluan feri penumpang atau kapal di kawasan berkenaan.
"Barangkali tali atau jaring pukat nelayan itu hanyut hingga ke laluan berkenaan dan tersangkut pada kipas enjin feri penumpang Langkawi-Kuala Perlis sehingga perjalanannya ke Jeti Kuala Perlis terkandas.
"Perkara ini jarang berlaku kerana lazimnya nelayan di kawasan ini tidak akan mengambil risiko dengan meletakkan tali atau jaring pukat mereka di laluan feri atau di laluan utama bot dan kapal kerana ia bukan hanya akan menyebabkan perjalanan feri itu terkandas tetapi jaring pukat itu juga akan rosak," katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Perlis, hari ini.
Katanya, APMM menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan sekitar jam 9.30 malam dan pihaknya kemudian mengerahkan dua bot peronda APMM ke lokasi di antara tiga dan lima batu nautika dari Jeti Kuala Perlis.
"Kita melakukan kawalan keselamatan dari segi keadaan lalu lintas di kawasan perairan berkenaan bagi memastikan tiada bot lain yang keluar atau melalui lokasi berkenaan.
"Sepanjang kawalan dilakukan kita turut memantau keadaan penumpang feri sekiranya terdapat kes kecemasan yang memerlukan pemerhatian," katanya.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/feri1_1636858530.jpgPenumpang feri dari Langkawi ke Kuala Perlis yang terkandas dua jam di perairan Kuala Perlis selamat tiba di jeti berkenaan sekitar jam 11.40 malam. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Sementara itu, penumpang yang ditemui melahirkan kesyukuran apabila feri dapat meneruskan perjalanan dan tiba ke destinasi setelah menunggu hampir dua jam sejak terkandas sekitar jam 9.30 malam.
Firdaus Amran, 28, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, ketika kejadian tiba-tiba feri yang dinaikinya berhenti bergerak.
"Enjin bot masih hidup tetapi ia seperti sukar untuk meneruskan perjalanan sehinggalah kita (penumpang) melihat kru feri bertungkus-lumus membaiki sesuatu.
"Memang menakutkan kerana kita sudah hampir tiba di destinasi dan saya hanya mengharapkan, dapat meneruskan perjalanan seperti sedia kala dan tak sangka pula harus menunggu sebegitu lama seperti ini," katanya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew ketika dihubungi, berkata penyelarasan tugas bantuan kepada penumpang feri berkenaan kemudian digerakkan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Polis marin, APMM serta bot nelayan diselaraskan untuk memberi bantuan dan nelayan yang memberi bantuan juga akhirnya berjaya meleraikan pukat dan tindakan seterusnya menunda feri berkenaan ke jeti.
"Feri penumpang itu kemudian berjaya tiba dengan selamat ke jeti dan semua penumpang selamat," katanya.
Semalam, feri penumpang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas hampir dua jam ketika menghampiri perairan Kuala Perlis selepas dilaporkan tersangkut tali pukat nelayan yang berada di kawasan itu.
Kejadian itu menyebabkan feri yang memulakan perjalanan pada jam 8 malam itu gagal meneruskan perjalanan dan terpaksa ditunda oleh bot nelayan sehingga ke Jeti Kuala Perlis.







Pages: [1]
View full version: Tali pukat hanyut, masuk ke laluan feri


ADVERTISEMENT