kerisnaga Publish time 13-11-2021 10:26 PM

'Pak cik Merdeka' sudah tiada...

'Pak cik Merdeka' sudah tiada...Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2021-11-12_23-17-53_1636730383.jpg
Merdeka Osman yang cukup dikenali dengan panggilan ‘Pak cik Merdeka’ meninggal dunia akibat masalah jantung. FOTO Arkib NSTP


Kangar: Warga emas yang cukup dikenali di Perlis sebagai 'Pak cik Merdeka' disebabkan keunikan namanya, Merdeka Osman, 64, meninggal dunia akibat masalah jantung hari ini.
Allahyarham yang sebelum itu terlantar di rumah selama seminggu akibat masalah jantung dialaminya menghembuskan nafasnya terakhir sekitar 4.45 petang.
Menurut isterinya, Rahani Mustaffa, 68, suaminya itu sudah lama mengalami masalah jantung selain masalah pada paru-parunya.
"Malah, ketika usia mudanya arwah pernah menjalani pembedahan jantung berlubang sehinggalah pada 2014 yang mana injap jantungnya sudah tidak berfungsi menyebabkan dia sering kepenatan.
"Sejak itu, dia sering berulang alik ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan sebuah hospital swasta di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan jantung dan juga paru-parunya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baruh, Jalan Ngulang-Santan, di sini, hari ini.
Katanya, kepenatan disebabkan masalah jantungnya itu kemudian bertambah serius apabila dia dimasukkan ke HTF pada 14 Oktober lalu untuk menerima rawatan.
"Selama 10 hari dia terlantar di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah dan sebelum dia meninggal dunia, dia banyak berehat selain beribadat di rumah sahaja.
"Malah, sebelum kematiannya juga, dia masih boleh bercakap bersama saya namun selepas saya solat Asar, saya dapati dia agak lemah dan dia juga beberapa kali meminta maaf kepada saya sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu serta lima orang anak berusia 30 hingga 46.
Semasa hayatnya, Allahyarham yang pernah bertugas sebagai Pembantu Pergigian di sebuah klinik pergigian kerajaan di Perlis sering dianggap unik oleh masyarakat di negeri ini disebabkan dirinya lahir 15 minit selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Malah, nama Merdeka itu juga dipilih bapanya selepas dicadangkan polis ketika bapanya mahu mendaftar kelahirannya itu di Balai Polis Beseri, Padang Besar.
Ketika sambutan Jubli Emas Kemerdekaan pada 2007, Allahyarham pernah dijemput bersama 17 lagi individu bernama Merdeka untuk meraikan hari bersejarah itu bersama Sultan Mizan Zainal Abidin, yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong negara.
Malah, media ini juga pernah melaporkan berita mengenainya sempena bulan kemerdekaan negara sekitar 2016 dan 2017 lalu dalam mengetahui lebih lanjut keunikan dirinya yang mempunyai nama Merdeka.
Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 11:19pm





musangbodoh Publish time 14-11-2021 01:02 AM

takziah.....
Pages: [1]
View full version: 'Pak cik Merdeka' sudah tiada...


ADVERTISEMENT