xpdckelate Publish time 11-11-2021 09:25 PM

Sultan Mizan memperkenan pemasyhuran Stadium Ragbi

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan Pemasyhuran Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Kuala Nerus, malam tadi.

Dalam majlis bersejarah itu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail turut berangkat selain kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Yahaya Ali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad yang juga Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT).

Selepas bertitah pemasyhuran stadium bertaraf antarabangsa itu, baginda menandatangani plak pemasyhuran sebelum menyaksikan tayangan video 'Terengganu Rugby' dan menonton perlawanan persahabatan antara skuad ragbi kebangsaan 7 sebelah (Bunga Raya 7) menentang pasukan Terengganu 7 sebelah di stadium berkenaan.

Dr Ahmad Samsuri berkata, stadium yang dinaik taraf dengan kos RM12 juta itu diharapkan dapat melahirkan pemain berkualiti yang bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi pasukan negeri malah juga skuad kebangsaan.

"Stadium ini sudah dinaik taraf dengan kemudahan lengkap termasuk dua bilik persalinan, bilik urus setia, bilik rawatan perubatan, bilik persalinan Tengku Muhammad Ismail, bilik santapan Diraja, tempat duduk penonton, bilik media dan tandas.

"Pengurusan dan penyelenggaraan stadium bertaraf antarabangsa ini dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Selepas majlis pemasyhuran stadium ini, kerajaan negeri Terengganu melalui MSNT dan PRNT, akan menganjurkan Kejohanan Ragbi Terengganu Royal 7 sebelah Piala Tengku Muhammad Ismail bermula 12 hingga 14 November yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Bawah 22 Tahun Lelaki.

"Sebanyak 44 pasukan dan hampir 800 orang akan terlibat secara langsung dalam kejohanan peringkat kebangsaan yang turut disertai pasukan wanita.

"Kerajaan negeri berharap kejohanan yang julung kali diadakan ini dapat melahirkan pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi selain mengharapkan kejohanan ini berlangsung dalam suasana baik dan lancar walaupun cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh ini," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Berdasarkan rekod, Pasukan ragbi Terengganu yang turut dibarisi Tengku Muhammad Ismail muncul juara pada Kejohanan Piala Agong edisi ke-37 pada 2019 dengan menundukkan Sabah 26-24 dan juara Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan juga pada tahun sama dengan menewaskan Kelantan 24-5 serta memenangi pingat perak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2021/11/776171/sultan-mizan-memperkenan-pemasyhuran-stadium-ragbi-metrotv

xpdckelate Publish time 11-11-2021 09:26 PM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/mizanz_1636624070.jpg
Sultan Mizan (tengah) menandatangani plak perasmian Majlis Pemasyhuran Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail. FOTO Ghazali Kori
Pages: [1]
View full version: Sultan Mizan memperkenan pemasyhuran Stadium Ragbi


ADVERTISEMENT