kerisnaga Publish time 7-11-2021 07:50 PM

‘Membandarkan Luar Bandar’ tingkatkan kualiti kehidupan desa

‘Membandarkan Luar Bandar’ tingkatkan kualiti kehidupan desa
ROSLINDA HASHIM | | 07 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/07/1260410.jpg
Mahdzir menandatangani plak ketika merasmikan dewan orang ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh, dalam siri lawatan kerja ke daerah Kuala Muda pada Ahad.

SUNGAI PETANI - Beberapa lokasi berpotensi dimajukan akan dikenal pasti bagi melaksanakan agenda ‘Membandarkan Luar Bandar’ untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan desa.


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, konsep berkenaan akan mengubah wajah dan lanskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran yang lebih menarik serta berkualiti.


Menurutnya, bagi merealisasikan agenda itu, ia memerlukan kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan, pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Contohnya, di Merbok terdapat Pekan Tanjung Dawai yang memiliki kepelbagaian aktiviti, antaranya nelayan, usahawan, tarikan pelancongan yang menghubungkan ke kawasan berdekatan seperti Pantai Merdeka.


"Jadi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sebagai agensi berkaitan boleh memainkan peranan itu untuk mengangkat Tanjung Dawai ke tahap lebih baik, namun perlu jalin kerjasama dengan agensi lain antaranya, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah Kuala Muda pada Ahad.


Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, akan memperkasakan agenda ‘Membandarkan Luar Bandar’ dalam usaha memacu pembangunan sekali gus membasmi kemiskinan di kawasan berkenaan.


Ismail Sabri memaklumkan perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar agenda berkenaan dapat dilaksanakan semula sebagai usaha mengeluarkan kawasan luar bandar daripada kepompong kemiskinan.


Dalam lawatan kerja terbabit, Mahdzir turut meninjau beberapa projek pembangunan, antaranya perumahan di bawah inisiatif KEDA.


Mengulas lanjut, beliau memaklumkan akan menyalurkan peruntukan untuk penyenggaraan perumahan KEDA yang berusia melebihi 25 tahun.


“Perumahan ini ada yang berusia puluhan tahun, perlu lakukan penyenggaraan seperti jalan, longkang dan sebagainya. Penting untuk dibaik pulih dan penyenggaraan, mungkin peruntukan tidak mencukupi menyebabkan ia agak perlahan, perlu perbanyakkan peruntukan untuk itu,” katanya.


Menurutnya, aktiviti penyenggaraan perlu melibatkan komuniti setempat dan mengikut pengkhususan agar lebih berkesan.


Terdapat 57 perumahan KEDA di seluruh Kedah yang mana hampir 70 peratus daripadanya berusia melebihi 20 tahun.


Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KEDA telah membelanjakan RM2.5 juta bagi projek ameniti sosial di seluruh negeri itu pada tahun ini.


“Peruntukan itu lebih tinggi berbanding 2020, sebanyak RM1.5 juta. KEDA telah menyalurkan peruntukan RM2.5 juta kepada 77 kategori kerja dengan 67 daripadanya sudah siap dan selebihnya sedang dalam pelaksanaan.


"Antara projek ameniti sosial termasuk menaik taraf dan membaik pulih longkang, dewan serbaguna, surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya.


Sementara itu, beliau yang turut merasmikan dewan orang ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh, dalam siri lawatan kerja ke daerah Kuala Muda berkata pembinaan dewan itu bakal memanfaatkan lebih 1,000 penduduk di kawasan berkenaan yang sebelum ini tidak mempunyai dewan.


“Dewan berkeluasan 264 meter persegi dan infrastruktur berkaitan melibatkan kos melebihi RM400,000 dan mampu memuatkan 200 orang dalam satu masa.


"Pembinaan dewan adalah atas permintaan masyarakat setempat yang memerlukan tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti,” jelasnya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/171001/EDISI/Membandarkan-Luar-Bandar-tingkatkan-kualiti-kehidupan-desa
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

musangbodoh Publish time 8-11-2021 04:57 AM

tu je lah kejenya...tar jalan, korek longkang, cat itu ini...intenet tu lajukan dulu pak mail....;P
Pages: [1]
View full version: ‘Membandarkan Luar Bandar’ tingkatkan kualiti kehidupan desa


ADVERTISEMENT