kerisnaga Publish time 7-11-2021 06:29 PM

Kekurangan pekerja punca 'check in' hotel di Pulau Pinang lambat

Kekurangan pekerja punca 'check in' hotel di Pulau Pinang lambat
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 07 November 2021

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/11/07/1260288.jpg
Gambar hiasan. - Foto 123RF

GEORGETOWN - Isu kekurangan pekerja adalah faktor utama berlakunya masalah kelewatan pelanggan mendapat tempahan bilik hotel di negeri ini seperti yang tular di sosial media baru-baru ini.


Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, sektor perhotelan di Pulau Pinang menghadapi kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang serius sejak kebenaran merentas negeri diumumkan.


Menurutnya, ia berikutan ramai pekerja hotel beralih arah ke bidang perkilangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19.


"Industri perhotelan di Pulau Pinang memang berhadapan dengan kekurangan pekerja bagi sektor 3D iaitu dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus untuk setiap hotel di sini akibat pandemik.


"Ini kerana, ramai pekerja hotel dan pelancongan beralih kepada industri perkilangan sejak Covid-19 melanda dua tahun lalu selepas industri perhotelan terjejas teruk," katanya ketika dihubungi pada Ahad.


Raj Kumar berkata, ketika ini paling kritikal adalah pekerja 3D di bahagian pembersihan bilik di hotel.


"Orang tempatan tidak mahu bekerja dalam bahagian ini menyebabkan banyak hotel mengalami kekurangan pekerja selepas Covid-19 melanda.


"Perkara ini semakin meruncing selepas rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu selain pelanggan datang serentak ke hotel sehingga menyebabkan berlaku kelewatan untuk mereka mendapatkan tempahan bilik masing-masing," katanya.


Sebelum ini, tular di media sosial rungutan pelanggan mengenai kelewatan perkhidmatan di beberapa buah hotel di negeri ini.


Pelanggan berkenaan mendakwa dia dan ahli keluarga terpaksa menunggu sehingga waktu malam untuk mendapatkan tempahan bilik masing-masing.


Menurut Raj Kumar, ketika ini juga tiada pekerja warga asing bagi sektor 3D yang dibekalkan oleh ejen-ejen untuk sektor perhotelan kerana kebanyakan mereka telah bekerja di sektor lain.


"Dahulu, banyak hotel mendapatkan pekerja tambahan yang terdiri daripada warga asing dari ejen-ejen.


"Bagaimanapun, pekerja asing kini telah menukar pekerjaan ke sektor lain antaranya perladangan dan perindustrian menyebabkan hotel mengalami kekurangan kakitangan," katanya.


Jelasnya, kerana faktor tersebut kebanyakan pihak pengurusan hotel tidak membuka kesemua bilik di hotel masing-masing untuk tempahan.


"Jika sebuah hotel itu ada 100 buah bilik, mereka hanya akan buka 70 bilik sahaja untuk tempahan.


"Kebanyakan hampir semua hotel mempraktikkan perkara ini untuk mengelakkan berlaku masalah kepada pelanggan," katanya.



Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/170991/EDISI/Kekurangan-pekerja-punca-check-in-hotel-di-Pulau-Pinang-lambat
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Pages: [1]
View full version: Kekurangan pekerja punca 'check in' hotel di Pulau Pinang lambat


ADVERTISEMENT