Raline Publish time 29-10-2021 10:56 AM

Warga e-Sukan mohon sokongan Bajet 2022

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/10/YANA-GAMESBOND.jpg
ORGANISASI e-Sukan Gamesbond memohon KBS mempertimbangkan bajet e-Sukan untuk digunakan bagi membangunkan bakat khususnya di peringkat akar umbi dalam sukan elektronik FIFA.

Warga e-Sukan mohon sokongan Bajet 2022

DEWASA ini, industri sukan elek­tronik semakin mendapat tempat di Malaysia apabila ramai menyedari peluang dan potensi sosioekonomi yang lahir daripada industri tersebut.

Menurut Esports Earnings, Malaysia tercatat antara 18 negara yang mempunyai pendapatan sukan elektronik tertinggi di dunia iaitu lebih AS$12.8 juta (RM53.12 juta) terkumpul daripada keseluruhan 771 pemain profesional.

Berikutan pembentangan Bajet 2022 yang berlangsung pada hari ini, beberapa ‘orang kuat’ e-Sukan dilihat menyuarakan hasrat dan harapan mereka terhadap pembangunan ekosistem sukan elektronik di Malaysia kepada Kementerian Kewangan (MoF) menerusi akaun media sosial masing-masing baru-baru ini.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/10/YANA-SHAMSUDIN.jpg
YANA memohon sokongan kerajaan menambah peruntukan belanjawan e-Sukan dalam Bajet 2022.

Memetik kata Yana Samsudin menerusi kapsyen di akaun Instagramnya, “Geng-geng esports dan streamers ingin memohon sokongan kerajaan bagi mempertingkat peruntukan belanjawan esports supaya dapat bantu kami mengembangkan potensi bakat-bakat muda.”

Yana yang baru sahaja tamat menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie terbitan Astro turut menceritakan mengenai pengalaman beliau bersembang dengan bapa kepada salah seorang gamer.

Dalam perkongsian Yana, bapa tersebut yang pada awalnya ragu-ragu dengan anaknya kini berbangga kerana anaknya sudah menjana pendapatan de­ngan bermain PUBG Mobile.

Sementara itu, penganjur kejohanan FIFA, Gamesbond dalam kenyataan organisasi tersebut di media sosial memberitahu, Malaysia mempunyai liga rasmi yang diiktiraf oleh EA Sports dan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempu­nyai slot di FIFA Global Series East Asia Playoff.

“Bukan itu sahaja, Skuad FAM eRimau juga berada di kedudukan ke-3 dunia pada carta rasmi FIFA bagi negara-negara yang menyertai kejohanan FIFAe Nations Cup.

“Perkembangan positif ini perlu dijadikan titik permulaan untuk membangunkan komuniti dan melahirkan lebih ramai jaguh FIFA yang boleh menjuarai kejohanan antarabangsa.

“Kami di Gamesbond memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MoF untuk mempertimbangkan supaya menambah bajet esports untuk digunakan bagi membangunkan bakat- bakat khususnya dalam sukan elektronik FIFA,” kata petikan kapsyen Gamesbond di akaun media sosial rasmi @gb_gamesbond.

Menyahut advokasi bajet esports ini juga, Frank Ng yang me­rupakan Pengasas Orange Esports dan Pengerusi Eksekutif Esports Business Network menerusi akaun Facebook peri­badi beliau meluahkan, kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam esports sekiranya mahu lihat pencapaian yang lebih baik dan kekal kompetitif.

Peruntukan bajet tersebut akan membantu ekosistem esports di Malaysia yang mana ketika ini baru berjinak-jinak untuk terus pesat membangun.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/10/YANA-ESPORTS-PERAK.jpg
Malaysia merupakan antara 18 negara yang mempunyai pendapatan sukan elektronik tertinggi di dunia iaitu lebih RM53.12 juta terkumpul daripada keseluruhan 771 pemain profesional.

Sementara itu, Presiden Esports Perak, Muhammad Naim Al Amin baru-baru ini pula mendedahkan antara rancangan menarik yang terkandung dalam Bajet 2022 iaitu pembikinan akademi esports menerusi akaun media sosialnya.

“Dalam Jelajah Bajet 2022, kami diberi ruang dan peluang untuk berkongsi idea dan cada­ngan dalam Bajet 2022 dan antara yang menarik adalah akademi esports.

“Diharap Bajet 2022 yang dibentang (hari ini) merangkumi sukan elektronik sebagai industri yang dapat memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi khususnya kepada golongan muda,” ujarnya.

Boleh dikatakan kesemua pemegang taruh dalam industri e-Sukan termasuk pemain, penstrim, penganjur acara dan persatuan-persatuan e-Sukan masing-masing mempunyai hasrat dan misi berbeza-beza, namun objektif mereka tetap satu iaitu mahukan industri sukan elektronik di Malaysia berkembang pesat dan boleh menjana ekonomi.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/10/29/warga-e-sukan-mohon-sokongan-bajet-2022/

Pages: [1]
View full version: Warga e-Sukan mohon sokongan Bajet 2022


ADVERTISEMENT