xpdckelate Publish time 15-10-2021 09:00 AM

KDA FC mantapkan keserasian di Lembah Klang

Alor Setar: Naib Juara Liga Super musim 2021 Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus fokus untuk memantapkan keserasian pasukan melalui tiga siri perlawanan persahabatan termasuk dua aksi bertemu skuad 'ubi muda' sebagai persiapan memulakan semula aksi Piala Malaysia hujung bulan ini.

Aksi berkenan bermula dengan perlawanan menentang Skuad Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam pada 15 Oktober dan disusuli perlawanan menentang Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara di Arena MBSJ Subang Jaya pada 18 Oktober ini.

Sebaik melalui dua perlawanan berkenaan, KDA FC juga dijadualkan melengkapkan siri perlawanan persahabatan mereka dalam tempoh rehat ini dengan satu lagi aksi menentang pasukan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 20 Oktober.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali, skuad Hijau Kuning kini terus fokus dalam semua aspek melalui perancangan yang telah diaturkan bagi memastikan tahap persiapan terbaik dapat dicapai sebelum memulakan aksi sambungan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 29 Oktober ini.

"Tempoh sebulan berehat dari aksi perlawanan kompetitif Piala Malaysia ini adalah platform terbaik untuk semua pemain kembali meningkatkan semula tahap kecergasan yang mereka perlukan melalui siri perlawanan persahabatan yang diaturkan.

"Melalui siri tiga perlawanan yang dijadualkan ini, membolehkan pasukan meningkatkan lagi kemampuan dan persefahaman setiap pemain untuk persiapan memulakan kembali Piala Malaysia musim ini.

"Melalui peluang ini juga, membolehkan jurulatih mengenal pasti pemain yang bersesuaian dan mencapai tahap terbaik mereka untuk digandingkan dalam aksi seterusnya pada saingan yang akan bermula hampir dua minggu lagi." katanya.

Khamal juga berkata, penyertaan aksi empat pemain KDA FC iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Ariff Farhan Isa dan Fayadh Zulkifli yang melalui dua perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya pada 6 dan 9 Oktober di Jordan baru-baru ini mampu menjadi perangsang buat skuad Hijau Kuning bagi memulakan kembali kembali kempen Piala Malaysia nanti.

"Penyertaan mereka dalam aksi bersama skuad negara sangat bermakna buat KDA FC dan tambahan pula dengan jaringan tunggal yang dihasilkan kapten Kedah Baddrol Bakhtiar ketika aksi bertemu Uzbekistan pada 9 Oktober lalu akan meningkatkan lagi semangat serta moral beliau apabila pulang beraksi bersama Kedah selepas ini.

"Saya yakin kepulangan mereka semua selepas aksi bersama skuad negara itu secara tak langsung turut menyuntik semangat tambahan buat mereka dan juga seluruh pemain KDA FC yang kini sedang dalam persiapan latihan yang diadakan," katanya.

Selain empat pemain tempatan itu, dua pemain import KDA FC iaitu Kpah Sherman dan Rabih Ataya juga turut terbabit dengan skuad negara masing-masing iaitu Liberia dan Lebanon melalui penyertaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 yang berlangsung baru-baru ini.

https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/10/766123/kda-fc-mantapkan-keserasian-di-lembah-klang

xpdckelate Publish time 15-10-2021 09:01 AM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/KDA_FC_1634188004.jpg
KDA FC menjalani latihan pagi ini sebelum bertolak ke Lembah Klang untuk menghadapi aksi perlawanan persahabatan sebagai persiapan aksi Piala Malaysia. FOTO Ihsan KDA FC
Pages: [1]
View full version: KDA FC mantapkan keserasian di Lembah Klang


ADVERTISEMENT