juwaini Publish time 6-4-2010 01:06 PM

Satu

AKU

Aku membuka mataku. Terjaga akibat mataku ditimpa silauan matahari. Masih pagikah? Atau sudah tengahari?

Aku separuh berharap agar terbangun di kamar tidurku. Berbaring dengan berlapikkan tilam empuk. Ku pusing badan ke kiri. Nampaknya aku tidak berada di kamar tidurku. Lebih layaknya kalau ku katakan aku berada di tengah hutan belantara. Aku cuma nampak semak samun dan hutan tebal. Yang indah kalau jadi lokasi penggambaran filem tarzan. Tapi tidak sekali-kali aku ingin terjaga dari lenaku di tempat sebegini.

Aku mengiring badanku ke kanan. Ternampak olehku suatu tasik yang maha luas. Tidak ternampak di manakah penghujungnya. Aku ingat-ingat lupa pernah terbaca tentang Laut Kaspian. Walau namanya 'laut', tetapi ianya adalah tasik terbesar di dunia. Kalau orang mengkhabarkan bahawa di kananku itu adalah Laut Kaspian, nescaya aku akan percaya kerana melihat luasnya saujana mata memandang. Ah, bermimpi saja. Aku yakin yang aku masih di Malaysia.

Aku cuba untuk bangun. Terasa kesakitan yang menggigit di bahagian belakang tengkukku. Serentak aku terduduk kembali. Aku meraba-raba belakang tengkukku. Mencari kalau-kalau ada kesan darah. Tiada.

Badanku terasa basah. Baju kolar bulat yang ku pakai terasa lembap. Menyedarkan aku kepada kesejukan yang mula terasa. Seluar jeans warna biru lusuh yang kupakai juga terasa lembap. Aku membangunkan diriku. Selepas beberapa kali mencuba, aku berjaya untuk duduk. Mataku memandang sekeliling. Tanah di sekitarku kelihatan kering. Tiada tanda-tanda hujan. Mungkinkah pakaianku basah akibat dari air tasik? Ada kemungkinan. Tambahan pula tasik itu tidaklah terlalu jauh dari tempatku berbaring. Sekitar 2 ke 3 meter.

Di manakah aku? Beberapa kali soalan itu kutanyakan pada diriku. Mana mungkin aku tahu jawapannya. Sedangkan aku sendiri pun tidak tahu bagaimana aku boleh sampai ke sini. Dan yang lebih membimbangkan aku, aku tidak dapat mengingati siapakah aku. Dari manakah asalnya aku?

Semua jawapan kepada persoalan tentang diriku ini seakan-akan sudah dipadam habis dari memoriku. Aku ingat tentang watak dalam siri TV 'John Doe' yang pernah aku tonton. Aku ingat tentang pengetahuan am yang terkandung dalam media massa. Aku juga tahu bahawa watak Hannah Montana dilakonkan oleh Miley Cyrus. Tapi aku tidak dapat mengingati apa-apa jua maklumat tentang diriku.

Jawapan tidak akan jatuh ke riba aku kalau aku hanya sekadar berbaring di situ. Jawapan perlu ku cari. Jawapan tentang siapakah aku. Jawapan tentang bagaimana aku boleh berada di sini. Jawapan tentang punca kesakitan yang masih terasa di belakang tengkukku. Di depanku ada belantara tebal. Untuk mencari jawapan kepada semua persoalanku, aku perlu mencari manusia lain.

Apakah ada tamadun manusia di tengah-tengah hutan belantara tebal yang bersempadankan tasik yang maha luas ini? Persoalan itu ku tanya pada diriku, sambil kakiku melangkah perlahan meredah semak samun di depanku. Mujurlah aku masih mempunyai alas kaki Crocs. Kalau tidak, pastilah luka tapak kakiku meredah semak samun yang dipenuhi duri tajam sepanjang denai itu.

Denai?

Naluriku menyatakan sekiranya ada denai, ia tidak akan terjadi secara semulajadi. Pastinya denai itu terhasil kerana ia menjadi laluan manusia. Pemikiran ini membuatkan aku kembali yakin bahawa aku mampu bertemu dengan manusia lain di sini.

Sayup-sayup telingaku menangkap bunyi suara manusia. Bunyi itu datang dari arah pukul sembilanku. Aku melajukan langkah. Bunyi itu semakin kuat. Seakan-akan bunyi pertelingkahan manusia. Diselang seli oleh bunyi pekikan manusia. Aku terus berlari ke arah punca bunyi tersebut...

*****

qimi08 Publish time 6-4-2010 01:10 PM

Teruskan.....intro menarik...
watak "aku" hilang ingatan ke? Terlalu awal nak buat speku ;P apa blh buat dah habit ha ha ha ha nak speku juge.
menanti sbgan seterusnya....{:1_152:}

sueria_azlee Publish time 6-4-2010 01:14 PM

sabo qimi..bagi dia sambung banyak sket ..leh la speku..:P

sonata85 Publish time 6-4-2010 01:28 PM

ku setia menanti sambungannya ;P

Akuler Publish time 6-4-2010 01:53 PM

{:1_149:}{:1_149:}{:1_149:}{:1_141:}...Nk Lagiiii....

sonata85 Publish time 6-4-2010 02:17 PM

mane sambungannya ni...:sleepy:

Jaza2008 Publish time 6-4-2010 02:23 PM

wah...Joni pun dah ada citer baru ye...
teruskan smpai abis...
dan selamat kena kejar n3 :lol:

next..next..next..:lol:

shahrinas Publish time 6-4-2010 02:27 PM

permulaan yang menarik... :)

asyriqa Publish time 6-4-2010 03:03 PM

haaa... tambah lagi satu cite baru...ni yang buat terpaku kat depan pc tak leh nak wat keje lain dah...nak lagi...nak lagi...nak lagi..{:1_141:}

bintang Publish time 6-4-2010 03:35 PM

Ingatan yang baik termasuk brand alas kaki Crocs.. tapi hilang ingatan terhadap identiti sendiri... hmmm..


Teruskan, intro yang menarik untuk menarik perhatian pembaca..

Next entry... :)

juwaini Publish time 6-4-2010 07:22 PM

ATIQAH

Atiqah berlari-lari anak menuju ke pintu pagar utama universitinya. Di wajahnya tergambar keriangan. Hari terakhirnya bergelar seorang mahasiswi di universiti. Dia puas berjaya menghabiskan 3 tahun perjuangannya untuk menambah ilmu.

Sepanjang perjalanannya menuju ke pintu pagar itu, Atiqah tidak henti-henti diusik dengan siulan nakal. Satu perkara yang sudah dianggap biasa baginya. Renungan dari mata-mata nakal lelaki juga dibalas olehnya tanpa rasa kekok. Tidak ubah seperti itik bertemu air, Atiqah terlalu natural terhadap itu semua. Dia sekadar membalas siulan nakal dan renungan itu dengan senyuman manja. Senyuman yang bisa menggegarkan kejantanan majoriti lelaki.

Atiqah seorang gadis yang cantik jelita. Kejelitaannya seringkali dijadikan sebagai aset olehnya untuk mendapatkan apa juga yang dia mahukan. Anak kacukan Melayu, Indonesia dan Pakistan itu sudah terlalu kerap makan percuma di kedai makanan segera hanya dengan mengenyit mata kepada pelayan lelaki di restoran tersebut. Atiqah juga tidak perlu berbaris panjang di pejabat pos atau menunggu nombor gilirannya disebut di bank. Berebut-rebut lelaki sudi memberikan laluan kepadanya. Semua itu atas nama kejelitaannya. Cemburu dan iri hati kaum sejantinanya, tidak perlu diceritakan. Kalau mata lelaki memandangnya dengan penuh pesona, mata wanita memandangnya dengan penuh kekaguman atau iri hati.

Apapun, kesemua rasa cemburu itu kalau digabungkan tidak mampu menandingi rasa cemburu di hati kekasihnya, Azreen. Hati lelaki mana tidak cemburu melihat kekasihnya menjadi pandangan dan tumpuan lelaki lain. Dalamnya rasa cemburu Azreen pada Atiqah ini mengakibatkan Atiqah selalu mengusik Azreen. Kata Atiqah, sudahlah nama Azreen itu berbunyi seperti nama perempuan, rasa cemburu yang bertakung dalam hati Azreen pun mengalahkan perempuan. Apabila usikan ini disebut Atiqah, muka Azreen yang masam mencuka itu nescaya akan kembali tersenyum ceria. Azreen terlalu sayangkan Atiqah. Apa juga usikan dan gurauan Atiqah tidak ubah seperti petikan sitar dari syurga di telinga Azreen. Apa juga salah dan silap Atiqah, terlalu mudah hati Azreen memberi kemaafan.

Sesampainya Atiqah di pintu pagar utama, kereta Kancil buruk milik Azreen sudah pun menantinya. Tanpa berlengah, Atiqah membuka pintu dan terus menghenyakkan punggungnya ke sebelah tempat duduk Azreen.

Azreen senyum melihat wajah yang paling didambakannya berada di depan mata. Atiqah membalas senyuman Azreen, lantas melentukkan kepalanya ke bahu Azreen.

'Mahu ke mana kita?' soal Azreen pada Atiqah yang masih memekar senyumannya.

'Syurga,' usik Atiqah sambil sedikit menjelirkan lidah.

'Memang nakal nak kena geget..."

"Cubalah kalau berani," Atiqah memancing kembali. Azreen terus terdiam dan menghidupkan enjin keretanya. Mereka mahu pergi sama-sama menjamu selera di restoran nasi padang kegemaran Atiqah.

Sepanjang perjalanan, Atiqah melontarkan pandangan ke luar tingkap sambil termenung panjang. Masih terngiang di telinganya kata-kata rakan sekuliahnya ketika mereka sama-sama menunggu bermulanya kertas peperiksaan terakhir pagi tadi.

'Tiqah, kau tak rasa kerugian ke bercinta dengan Ayeen?' soal Mastura, salah seorang sahabat karibnya di universiti. Mastura juga sahabat Azreen, atau nama timangannya di kalangan rakan lain sebagai Ayeen.

'Kenapa kau kata begitu? Aku rasa bahagia sahaja. Ada seorang kekasih yang sangat cintai aku dan sangat setia terhadap aku,' balas Atiqah acuh tidak acuh. Dia cukup malas mahu melayan persoalan Mastura itu. Barangkali, sudah hampir dua ratus kali soalan itu diajukan oleh Mastura terhadapnya. Jawapannya setiap kali ditanya tetap sama.

'Kau itu cantik orangnya. Sepupu aku si Murad tu kata, kalau dia boleh pilih antara kau atau Juliana Evans, susah juga dia mahu buat pilihan. Rugilah kalau kau terus bersama Ayen. Apa yang Ayeen tu ada? Kereta buruk sahaja. Kerja dia pun biasa-biasa sahaja. Kau ada pendidikan, ada kecantikan. Dia cuma lepasan SPM dan tidaklah sekacak mana. Kau tidak terasa kerugian terlepas peluang memiliki lelaki yang lebih baik?' soal Mastura bertalu-talu disertakan dengan hujah bernasnya. Secara kebetulan Murad meminta dia tolong 'cucuk jarum' pada Atiqah. Murad juga sudah berjanji mahu membelanja Mastura makan malam di restoran mewah kalau Mastura berjaya membantunya memikat Atiqah.

'Mas, kau tidak tahu pengorbanan Azreen untuk aku. Mati hidup balik aku tidak akan mampu untuk membalasnya. Dia terlalu baik untuk aku Mas.'

'Eleh, baik sahaja takkan mampu untuk mengenyangkan perut kau yang selalu lapar itu dan baik sahaja tidak akan mampu memanjakan kau dengan kemewahan. Fikirlah baik-baik Tiqah. Aku tidak mahu engkau menyesal. Hidup ini masih jauh lagi yang kita perlu jalani...' balas Mastura sekaligus memaksa Atiqah terdiam.

'Sayang...'

Azreen memanggil Atiqah, serentak menyentak Atiqah kembali dari lamunannya.

Atiqah berpaling memandang Azreen. Lantas diukirnya sebuah senyuman. Cukup manis senyuman itu di mata Azreen.

'Kenapa jauh termenung? Sayang tidak sihat?' Azreen cuba menembak tekaannya.

'Tidak. Cuma terasa penat. Hari ini tamatlah perjuangan saya mengejar sekeping ijazah.'

Azreen senyum. Terasa kepuasan di hatinya. Turut sama merasai kebanggaan bila kekasih tercinta berjaya menamatkan perjuangannya.

'Azreen, saya mahu minta sesuatu dari awak.'

'Ya sayang, apa dia?'

'Malam ini saya mahu keluar bersama kawan-kawan boleh? Sempena meraikan tamatnya pengajian kami.'

Wajah Azreen yang berseri-seri sebentar tadi tidak semena-mena berubah menjadi kelat.

Seperti dijangka, desis hati Atiqah.

'Awak janganlah bimbang. Saya janji akan pulang awal. Boleh sayang?' Atiqah cuba memujuk sambil diselitkan dengan unsur-unsur kemanjaan.

Selepas mendiamkan diri beberapa ketika, akhirnya Azreen bersuara.

'Berjanji sama saya. Awak tidak akan pulang lewat, tidak pergi ke tempat-tempat kurang baik dan tidak beraktiviti bersama lelaki lain. Boleh?'

'Tentu sahaja boleh. Sayang awak...' Atiqah menerpa Azreen. Mengacah-acah untuk mengucup pipinya. Azreen mencuba mengelak dari dikucup pipinya. Dia memang tidak selesa setiap kali Atiqah cuba bermanja secara berlebihan. Cubaan Azreen untuk mengelak itu mengakibatkan dia hilang tumpuan kepada kereta yang dipandunya buat seketika. Tanpa disedari, keretanya itu bergerak sedikit ke garisan tengah jalanraya. Nyaris-nyaris hendak menghentam sebuah kereta lain yang tiba-tiba muncul dari arah hadapan. Mujurlah kecekapan pemanduan Azreen berjaya menyelamatkan keadaan.

Situasi bahaya yang terjadi itu mengakibatkan Azreen sedikit meradang. Dia membebel memarahi Atiqah yang hanya tersengih-sengih seperti kerang busuk.

'Lain kali awak janganlah buat begini. Bahaya... Awak sudah tidak sayang nyawa, ya?'

Atiqah hanya tertawa dan meminta maaf. Azreen pura-pura merajuk dan memuncungkan bibirnya. Melihat Azreen sebegitu, datang sifat nakal Atiqah untuk terus mengusiknya.

'Amboi, panjangnya muncung. Budak kuat merajuk tu mahu minta dipujuk atau minta dicium?' usik Atiqah penuh kenakalan.

Azreen tidak berjaya mengawal wajah seriusnya. Bermula dengan senyum simpul, dia yang tidak dapat menahan rasa kelakar di hatinya terus ketawa terbahak-bahak. Dia gembira, ceria dan bahagia bersama Atiqah. Atiqah turut sama tertawa. Sepasang mata mereka saling berpandangan. Renungan yang ditauti dengan rasa penuh kasih sayang.

'Awak tidak pernah mahu mengambil kesempatan ke atas saya. Awak lelaki yang baik dan budiman. Saya cintakan awak,' kata Atiqah sebaik sahaja mereka berdua berhenti tertawa.

Azreen tersipu-sipu dipuji sebegitu. Masing-masing terus mendiamkan diri. Melayan perasan masing-masing.

Minda Atiqah menerawang. Dia tahu bahawa janji yang dia ucapkan pada Azreen hanyalah sekadar untuk menyedapkan hati Azreen. Dia mungkin akan pulang awal dari bersama kawannya, tapi dua lagi janji yang dituntut darinya oleh Azreen, tidak mungkin dia akan penuhi.

*****

asyriqa Publish time 6-4-2010 08:10 PM

aku ni atiqah atau azreen... cepat2 sambung juwaini...konfius neh..{:1_125:}

ischae Publish time 9-4-2010 09:44 AM

Janji? Aku is Azreen?

juwaini Publish time 13-4-2010 02:29 PM

BURHAN

Pagi ini adalah satu pagi yang tipikal untuk Burhan. Tidak banyak berbeza dengan pagi-pagi harinya yang lain. Burhan sudahpun terbangun sebelum masuknya waktu Subuh. Membetulkan gulungan kain pelikatnya yang hampir terburai sambil duduk berteleku di atas katil. Matanya terasa masih ada sisa kantuk, tapi dia menyedari tanggungjawabnya setiap kali masuk waktu Subuh, segera dia bangun dan bersiap untuk mandi.

Burhan keluar dari biliknya, mengambil tuala yang tersidai di penjuru rumahnya dan terus menuju ke bilik air yang berada di luar rumah. Ketika melewati satu bilik lain, dia mengetuk pintu bilik itu beberapa kali. Burhan berdiri lama di depan pintu bilik yang ditampal dengan poster gambar kereta mewah itu. Diam. Tiada bunyi sahutan dari dalamnya. Burhan meneruskan langkahnya menuju ke bilik air.

Selesai Burhan membersihkan dirinya dan mengambil wudhuk, dia naik semula ke atas rumah. Dia merias diri seadanya, menyikat rambut dan membedak tubuhnya, kemudian dia terus memakai pakaian solatnya. Sebelum dia membuka pintu untuk turun ke tanah, sempat diketuknya lagi pintu bilik yang ditampal dengan poster kereta tadi. Diam lagi. Burhan bergegas turun ke tanah, menyarung selipar jepunnya dan melangkah menuju ke madrasah yang terletak beberapa puluh meter dari rumahnya. Kepalanya diangkat sedikit mendongak ke horizon. Ternampak-nampak olehnya bayangan fajar siddiq di kaki langit. Petanda waktu Subuh sudah semakin hampir. Pantas Burhan melajukan langkahan kakinya.

Setibanya Burhan di madrasah, dia membasuh kakinya sekali lagi. Walaupun dia yakin benar tidak terpijak apa-apa unsur najis di sepanjang perjalanan tadi, tetapi di jiwanya ada kesedaran. Kesedaran tentang kepentingan memelihara kesucian rumah ibadat. Kesedaran yang sudah lama tertanam dalam hatinya. Berkat asuhan arwah kedua orang tuanya. Dia terus ke mimbar madrasah dan melaungkan kalimah azan. Suasana begitu sunyi dan hening saat itu. Seakan-akan seluruh makhluk bernyawa di perkampungan tersebut menghayati setiap patah kata dalam kalimah seruan syiar Islam itu. Atau seluruh makhluk lain semuanya masih tidur?

Jemaah Subuh hari ini tidaklah terlalu ramai. Muka-muka sama yang hadir setiap hari. Biarpun jumlah yang hadir tidak terlalu ramai, tapi sudah memadai dalam memberikan semangat pada Burhan untuk hadir solat berjemaah setiap hari dan melunaskan tanggungjawabnya untuk melaungkan azan. Semua ini fardhu kifayah, bisik hati Burhan. Yang penting adalah konsistensi, bukan kuantiti. Bagaimanapun, Burhan sudah cukup bersyukur dengan jumlah seramai ini yang hadir setiap pagi. Tidak berapa lama dahulu, jangankan hendak mendapatkan jemaah untuk Subuh, laungan azan pun cukup sukar untuk didengar di kampung ini.

Selepas solat Subuh, Burhan singgah di kedai kopi milik Mak Kuntum. Kedai kopi kegemarannya kerana jaraknya yang hampir dengan madrasah. Dia memesan secawan kopi keras dan dua keping lempeng jagung yang dicicah dengan gulai ikan termenung. Sebentar sahaja, pesanan Burhan sudah dihantar kepadanya. Masakan tidak, dari jauh lagi Mak Kuntum sudah ternampak-nampak bayangan Burhan menuju ke warungnya. Setiap hari, itulah juga hidangan yang dipinta oleh Burhan sebagai sarapan pagi. Awal-awal lagi Mak Kuntum sudah tahu apa pesanan Burhan dan siap-siap menyiapkan sarapan kegemaran Burhan itu.

"Mahu ke mana kamu hari ni, Burhan?" soal Mak Kuntum, sebaik sahaja melihat Burhan sudah mula makan dengan berselera.

"Seperti biasa Mak Kuntum. Memberi makan kambing di kandang, memasang jerat ayam hutan di tengah belantara sana dan menjengah bubu yang saya tahan semalam. Harap-harap adalah seekor dua udang galah yang tersangkut nanti. Boleh Mak Kuntum dan Melati tolong bikinkan udang galah masak lemak kegemaran saya," jawab Burhan sedikit termalu-malu.

"Terlanjur kamu sudah menyebut nama si Melati, Mak Kuntum pun pelik. Mana perginya anak dara seorang ini. Tadi sebelum Mak Kuntum turun, dia nampaknya sudah pun bersiap. Ini sudah menghampiri pukul 7 pagi, batang hidungnya pun tidak nampak," omel Mak Kuntum separa kerisauan.

Burhan hanya sekadar mengukir senyuman tawar. Tidak tercapai hasratnya pagi itu untuk melihat wajah manis si Melati. Itulah salah satu sebab kenapa warung Mak Kuntum itu selalu dijengahnya. Selain dari keenakan masakannya yang setanding dengan masakan arwah ibu Burhan, wajah si cantik manis Melati itu dapat juga ditenungnya. Seringkali Burhan berkata pada dirinya sendiri, memandang wajah manis Melati di pagi hari bisa membakar semangatnya sampai ke petang.

"Sebentar lagi sampailah si Melati itu ke sini Mak Kuntum," Burhan cuba menenangkan kerisauan di jiwa Mak Kuntum. Lebih kepada memujuk dirinya sendiri sebenarnya. Dia kecewa kerana pagi itu tidak berkesempatan melihat wajah pujaan hatinya. Wajah yang sudah tertancap kukuh di hatinya semenjak usia kanak-kanak.

"Mak Kuntum, buatkan lagi dua keping lempeng."

Mak Kuntum yang sedang sibuk menyusun kuih muih jualannya itu berhenti sejenak. Terkejut melihat Burhan tiba-tiba menambah pesanan. Burhan yang dia kenal cukup menjaga kuantiti makanannya. Amat jarang sekali Mak Kuntum melihat Burhan makan sebegitu banyak lempeng untuk sarapan pagi. Bagaimanapun, Mak Kuntum sekadar menyiapkan pesanan Burhan itu tanpa banyak soal. Ketidakhadiran Melati ke warungnya pada pagi itu membuatkan dia jadi malas untuk membuka mulut. Burhan menambah pesanan sekadar ingin membeli waktu. Mengharapkan agar Melati cuma terlewat sedikit ke warung itu. Itulah doa dan harapan yang terdetik di sudut hati Burhan.

Sayangnya segala harapan Burhan itu tidak kesampaian. Sehingga kunyahan terakhirnya, bayang Melati masih belum juga menjengah. Selesai Burhan menghabiskan lempengnya yang masih panas itu, dia segera bergegas pergi dan membayar harga makanannya itu. Di kepala Burhan dan Mak Kuntum timbul sedikit kerisauan tentang di manakah Melati berada. Amat jarang sekali Melati tidak datang ke warung ibunya itu untuk membantu Mak Kuntum.

Matahari telah mula memancarkan sinarnya. Malang sekali kelibat Melati masih belum juga kelihatan. Burhan terus melangkah pulang menuju ke rumahnya. Sebaik naik ke rumah, dia terus ke pintu bilik yang bertampal dengan poster kereta itu. Burhan mengetuk pintunya berulang kali. Satu ritual yang dilakukannya setiap hari semenjak sepuluh tahun lalu. Satu ritual yang dia tak pernah gagal untuk melakukannya. Namun demikian, sepertimana setiap hari semenjak sepuluh tahun lalu, tidak pernah pintu itu terbuka dan tidak pernah ada sahutan balas dari dalam bilik. Hanya sekadar diam.

Burhan menukar pakaian basahannya. Sebilah parang kesayangannya disisipkan di pinggang. Dia turun ke bawah rumah, memakai but kerjanya dan terus melangkah ke kandang kambingnya. Dia mahu memberi makan kepada kambing-kambing peliharaannya sebelum ke tasik untuk menjenguk bubu udang yang ditahannya senja semalam. Namun demikian, misteri ketidakhadiran Melati ke warung Mak Kuntum masih lagi bermain-main di sudut minda Burhan.

Tidak pernah terdetik di hati Burhan bahawa hari itu tidak akan menjadi seperti hari-hari biasa yang sering dia lalui.
*****

juwaini Publish time 13-4-2010 07:17 PM

MASTURA

Mastura memandang ke arah Atiqah yang duduk di tepinya. Atiqah kelihatan bermasam muka dan nampak tidak selesa.

"Kenapa kau tarik muka empat belas tu, Tiqah?" usik Mastura separa bergurau.

"Aku dah cakap dengan kau, Mas. Aku tidak biasa dengan tempat-tempat sebegini."

"Ala Tiqah, janganlah begini. Lagipun bukan selalu aku bawa kau ke tempat-tempat macam ini."

"Kalau Azreen tahu aku ke kelab malam sebegini, matilah aku Mas."

Mastura menjegilkan matanya. Dia cukup marah bila Atiqah tidak henti-henti menyebut nama lelaki itu.

"Boleh tak kau berhenti sebut nama Ayeen? Dia tiada di sini. Kalau kau tidak beritahu dia kita ke sini, dia tidak akan tahu. Jadi aku harap kau boleh berhenti sebut nama lelaki itu dan mula berhibur. Aku bawa kau ke sini untuk berhibur, bukan untuk kau buat muka masam sebegini Atiqah!" bentak Mastura. Mastura kelihatannya sangat marah bila nama Azreen disebut.

Atiqah terus mendiamkan diri. Tidak kuasa mahu melayan sikap baran Mastura. Dia sudah masak dengan perangai Mastura yang senang naik angin itu.

Murad menghampiri Mastura dan Atiqah. Mastura senyum kepada sepupunya. Semua ini adalah rancangan mereka. Mastura masih lagi berusaha untuk merapatkan Atiqah dengan Murad sepupunya itu. Mastura tidak akan lupa habuan yang bakal dia perolehi andainya dapat menyatukan Murad dengan Atiqah.

Melihat Murad menghampiri mereka, Atiqah pura-pura sibuk dengan telefon bimbitnya. Dia tidak berminat mahu melayani perangai Murad yang gatal dan mabuk itu. Pantang ada peluang tersua, nescaya si Murad itu cukup laju tangannya merayap. Atiqah benci dengan itu semua. Atiqah menaip "I Love You" di dalam telefon bimbitnya dengan pantas dan segera menghantarnya ke nombor Azreen.

"Mas, tolong bawa aku balik boleh? Aku tidak tahan dengan bau asap rokok di sini. Aku juga tidak tahan dengan sikap sepupu kau itu," kata Atiqah pada Mastura, nadanya berbunyi merayu. Sengaja dikuatkan suaranya supaya Murad yang ada di situ turut mendengarnya. Murad sekadar buat muka sepuluh sen dan mencebik. Lagipun, dia sudah terlalu hanyut dalam kemabukannya. Entahkan dia faham entah tidak apa yang diperkatakan oleh Atiqah.

Sewaktu mereka bertiga berjalan keluar dari kelab malam itu, Murad terlanggar bahu seorang lelaki berbangsa cina. Murad terus mencekak leher baju lelaki itu dan sudahpun mengangkat tangan untuk menumbuknya. Mujurlah segera dileraikan oleh kawan lelaki berbangsa cina itu yang kebetulan berada di situ. Mastura segera memapah pergi sepupunya itu. Atiqah yang berada di belakang mereka berdua hanya terkulat-kulat sahaja sambil kepalanya menerawang memikirkan Azreen.

Sepanjang perjalanan, hanya Mastura dan Murad sahaja yang rancak berbual. Atiqah yang duduk di tempat belakang hanya mendiamkan diri. Mulanya Murad menyuruh Atiqah duduk di hadapan bersamanya, tapi Atiqah sudah serik. Ketika perjalanan pergi tadi, dia naik bersama Murad di tempat duduk depan, acapkali Murad cuba untuk merangkul bahunya. Atiqah tidak mahu lagi perkara itu berulang. Bahkan Atiqah mengugut untuk pulang menaiki teksi kalau dia dipaksa duduk bersama Murad di depan. Mastura akhirnya mengalah dan membiarkan sahaja Atiqah duduk di hadapan.

Rosak rancangan aku, rungut hati kecil Mastura.

Walaupun Murad berada dalam keadaan mabuk, tetapi dia biasa memandu dalam keadaan begitu. Bagi seorang tahi arak dan pemandu pantas sepertinya, dia tiada masalah untuk mengawal kenderaan. Tambahan pula Atiqah dan Mastura tidak berani memandu di waktu malam, maka pilihan yang tinggal hanyalah untuk Murad sebagai pemandu. Keadaan jalan tengah malam itu sunyi sepi dan lengang sahaja. Murad memandu dengan bersahaja tanpa perlu tergesa-gesa.

Tiba-tiba, ketika Murad melihat ke cermin pandang belakangnya, dia terlihat tiga buah kereta yang memasang lampu tinggi di belakang dan berada dalam keadaan beriringan antara ketiganya. Timbul kerisauan di hati Murad. Segera dia menekan pedal minyaknya untuk menambahkan kelajuan.

Mungkinkah budak cina tadi mahu membalas dendam? fikir Murad.

Meternya sudahpun menunjukkan angka 140 km sejam. Namun jaraknya dengan tiga kereta di belakang masih lagi dekat. Ditekannya pedal minyak sehingga habis. Dalam aspek kelajuan, Murad tahu dia tidak akan kalah. Bapanya seorang hartawan ternama di Malaysia tidak pernah lokek menghadiahkan Murad dengan kereta paling hebat dan paling pantas yang boleh dibeli. Murad tahu, bapanya cuba membayar kembali masanya yang tidak pernah diluangkan bersama keluarga itu dengan wang ringgit.

Malangnya, Murad terlupa yang dia tidak berada pada tahap penumpuan yang terbaik. Dia sedang mabuk. Dia hilang kawalan seketika, sterengnya terpusing dan keretanya terus merempuh pembahagi jalan. Pada kelajuan menghampiri 160 km sejam itu, kereta terlambung dan berpusing. Mastura dan Murad yang memakai tali pinggang keledar itu terselamat akibat beg angin mengurangkan impak perlanggaran.

Bagaimanapun, Atiqah yang berada di bahagian belakang tersepit di antara bahagian depan dan belakang. Ketiga-tiga mereka tidak sedarkan diri.
*****

qimi08 Publish time 13-4-2010 07:39 PM

Aduiya....kesian atiqah:'(

qimi08 Publish time 14-4-2010 11:40 AM

sambung lagi .....

allamanda Publish time 14-4-2010 11:46 AM

Banyak tanda tanya nie....

juwaini Publish time 14-4-2010 11:52 AM

MELATI

Ketika Melati sedang bersiap-siap pagi tadi, ibunya sudah mengingatkan Melati supaya segera datang membantunya di warung. Melati hanya sekadar menganggukkan kepalanya. Tidak ingin bertekak dengan ibunya. Lebih baik aku iyakan sahaja, kata hati Melati. Kalau ketahuan dek Mak Kuntum yang Melati ingin pergi ke 'Hutan Rotan', sudah pasti bising didengar seluruh kampung ini akan bebelan Mak Kuntum kepada Melati.

'Hutan Rotan' merupakan nama panggilan bagi satu tempat yang mana pohon-pohon rotan dari ribuan spesis tumbuh subur. Hutan Rotan terletak di dalam hutan belantara yang mengelilingi Desa Damai. Barangkali kerana jaraknya yang begitu hampir dengan Tasik Gergasi, belantara rotan itu tumbuh dengan begitu subur. Biarpun demikian, Hutan Rotan sering dimomokkan oleh orang tua di Desa Damai sebagai suatu tempat yang 'keras'. Banyak kejadian buruk yang berlaku di sekitar kawasan tersebut. Namun, Hutan Rotan tetap menjadi tempat tumpuan ramai.Ahli-ahli botani terkemuka dunia seringkali sanggup datang untuk melihat sendiri beribu spesis rotan yang mendiami hutan tersebut, termasuk dari spesis nadir yang tidak terdapat di mana-mana tempat dalam dunia ini. Rotan-rotan yang bernilai tinggi jika dijual di pasaran luar negara itu juga menjadi daya penarik pencari rotan untuk mendapatkan imbuhan kewangan. Segala bentuk bahaya dan ancaman kepada nyawa itu sanggup mereka abaikan, hanya kerana tarikan material dan nilai intrinsik yang terkandung di kawasan Hutan Rotan itu.

Melati bukanlah seorang ahli botani. Jauh dari itu, Melati hanya mendapat pendidikan yang minima. Dunia akademiknya hanya sekadar tahu membaca, menulis dan mengira. Dia hanya ada SPM sebagai bukti dia pernah ke bangku sekolah. Selain itu, semuanya kemahiran asas seperti menjahit, bercucuk tanam dan memasak. Kemahiran paling asas yang perlu ada untuk hidup di Desa Damai. Melati juga bukanlah seorang penjual rotan. Sekali sekala dia masuk ke hutan hanyalah untuk menemani ibunya mencari ramuan herba untuk dicampurkan ke dalam bedak sejuk buatan ibunya. Melati cumalah sekadar seorang peminat bunga. Di sekitar rumahnya dipenuhi dengan warna warni bunga. Di tempat terpencil seperti Desa Damai, apa lagi sumber hiburan yang Melati ada selain berkebun bunga untuk menghias laman?

"Bunga rotan ini hanya akan berkembang setiap 17 tahun sekali. Tidak lama lagi, sudah tidak lama lagi. Saat Tasik Gergasi itu bergelora dan purnama mengambang penuh, sekitar waktu subuh itulah bunga rotan akan berkembang dan mekar. Memancarkan keindahan yang tiada taranya. Sayang mekarnya tidak lama, sekitar satu hingga dua jam sahaja. Selepas itu kita perlu menanti 17 tahun lagi untuk pusingan seterusnya..."

Melati masih ingat lagi kata-kata yang dia dengar itu. Kata-kata yang menjadikan dia begitu bersemangat untuk menyaksikan sendiri keindahan bunga rotan seperti yang diperkatakan. Dia tahu yang dia tidak boleh terlepas peluang itu. Dia tidak sanggup menanti usianya 37 tahun untuk peluang seterusnya menyaksikan saat bunga rotan berkembang. Dia tahu benar di mana lokasi bunga rotan itu berada. Dia pernah ke sana bersama beberapa penduduk kampung. Saat itu juga dia mendengar mitos tentang bunga rotan dari orang tua Desa Damai. Ketika itu bunga rotan itu masih lagi kuncup. Tidak nampak sedikit pun keindahannya. Sekadar pucuk bunga biasa.

Malam sebelumnya, cuaca begitu baik. Tiada tanda-tanda hendak hujan. Bayu malam juga bertiup tenang. Melati yang menghadapi kesukaran untuk tidur malam itu pergi duduk di beranda rumahnya. Mak Kuntum sudah lama terlelap. Masakan tidak, jam sudahpun menunjukkan pukul 4.30 pagi. Kesegaran hembusan bayu malam itu menyejukkan sedikit tubuh Melati, serentak membawa Melati melayan angan-angan silamnya.

Melati sememangnya menghadapi masalah untuk melelapkan mata. Semenjak kecil lagi dia menghadapi masalah ini. Mahu dikata penyakit, tidak pernah pula kekurangan waktu tidurnya itu menjadikan dia penat atau lesu dalam menjalani hidup seharian. Bila dibawa berjumpa doktor, doktor katakan dia tidak menghadapi apa-apa masalah. Melati sihat, bahkan semua indikator kesihatan Melati berada pada aras yang terbaik.

Ketika zaman sekolahnya, Melati tinggal di asrama. Kesukarannya untuk tidur dipergunakan oleh Melati sebaik mungkin. Saat orang lain lena dan enak berdengkur, Melati menelaah pelajaran yang tidak dapat difahaminya ketika di dalam kelas. Hasil dari ketekunannya itu, Melati seringkali menjadi pelajar terbaik ketika zaman sekolah. Dia juga berpeluang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi kalaulah tidak kerana....

"Hissss! Hissss!"

Kedengaran bunyi berdesis dari sebelah kanan Melati yang menyentakkan Melati dari lamunannya . Melati menghalakan lampu suluh yang berkuasa 2 biji bateri itu ke arah kanannya. Kelihatan berpuluh pasang mata merenungnya. Dari suluhan lampu suluh yang malap itu, Melati dapat melihat sekawan ular berada di tanah lapang di belah kanan rumahnya.

Kalau sembarangan orang melihat kumpulan ular yang sedemikian banyak, sudah pasti terasa ketakutan dan kegelian yang teramat. Tapi bagi Melati yang membesar di sebuah desa yang jauh dari pembangunan, dia bukan seorang ofidiofobia atau takut dengan ular. Sudah teramat kerap Melati bertemu dengan ular di desa tersebut. Ular sudah dianggap sebagai sebahagian dari jiran tetangga mereka di desa ini. Tidak ada istilah takut bagi kedua jenis makhluk Tuhan itu. Yang penting adalah masing-masing menjalani jalan hidup mereka sendiri dan tidak mengganggu antara satu sama lain.

Dalam lampu yang malap itu, dia dapat melihat dengan jelas kumpulan ular itu membentuk formasi seakan-akan segitiga menghala ke arahnya.

Orok-orok pembawa khabar, desis hati Melati.

Dia kenal benar spesis ular-ular tersebut dan sangat arif tentang apakah maksud yang cuba disampaikan melalui formasi yang dibentuk oleh ular-ular tersebut. Ular-ular tersebut bukanlah musuh, bahkan sebaliknya merupakan sahabat. Ular-ular tersebut merupakan penyampai khabar yang akan memberitahu sebarang kebaikan atau keburukan yang bakal berlaku. Formasi segitiga itu adalah petanda kedatangan perkara baik.

Angin yang asalnya bertiup tenang tiba-tiba menjadi kencang. Pohon-pohon di sekeliling rumah Melati seakan-akan digoncang dengan tangan yang gagah. Bumi sedikit bergegar. Tidak terlalu kuat, tetapi masih boleh dirasai goncangannya. Kedengaran bunyi ceburan air yang kuat dari arah Tasik Gergasi.

Sudah lama air di Tasik Gergasi tidak berkocak sebegini kuat. Kalau dikutkan jarak, Tasik Gergasi terletak agak jauh dari Desa Damai. Kocakan yang sebegini kuat biasanya melibatkan suatu objek yang sangat besar dan berat, fikir Melati.

Melati memandang ke langit. Kelihatan bulan mengambang penuh. Serentak mindanya terarah kepada mitos tentang bunga rotan yang pernah Melati dengari. Sewaktu dinihari itu, Melati sudah nekad. Dia mahu melihat sendiri bunga rotan itu berkembang mekar subuh esoknya. Dia tahu yang semua petanda seakan merujuk kepada mitos tentang bunga rotan.

Pagi ini, sebaik ibunya keluar dari rumah, Melati sudah pun bersiap. Menyarung pakaian kotornya, memakai but yang selalu digunakan untuk bercucuk tanam serta membawa sebilah pisau lipat peninggalan arwah ayahnya.

Melati menuju ke arah Tasik Gergasi. Jalan terdekat untuk ke Hutan Rotan...

*****

qimi08 Publish time 14-4-2010 12:06 PM

kisah melati menarik.....sbg lagi
Pages: [1] 2
View full version: Satu


ADVERTISEMENT