bintang Publish time 14-8-2009 08:50 AM

Suatu Kejutan

Post Last Edit by bintang at 14-8-2009 08:51

Hidup adakalanya penuh kejutan. Setidaknya bagi Faisal. Semuanya bermula dari perincangannya dengan ibunya Puan Sarah sebulan yang lalu. Faisal dan Puan Sarah sedang sarapan ketika Puan Sarahtiba-tiba membuka bicara.


“Sampai bila mak kena mengurus kamu, Faisal?” Pertanyaan Puan Sarah membuat Faisal tertegun.

”Maksud mak?” Dia menatap ibunya, cuba meneka arah pembicaraan.

”Ya lah… sepatutnya sudah lama ada perempuan lain yang menemani kamu sarapan…” Puan Sarah tersenyum menatap Faisal.
Mungkin sudah waktunya dia bernikah, fikir Faisal. Tahun ini usianya tiga puluh tahun. Kerjanya sebagai guru siswazah di salah sebuah sekolah berasrama penuh cukup memadai untuk dia berumahtangga. Apalagi yang ditunggu? Pertanyaan ini sudah sangat sering didengarinya dari saudara mara atau keluarganya sendiri.


Faisal tersenyum kecil.


”Mak tahu, kamu merasa bertanggungjawab kepada mak dan adik-adik. Tetapi jangan lupakan yang satu itu. Anis sudah berkeluarga, Aisha juga. Sebelum menjadi terlalu tua atau meninggal, mak mahu melihat kau bernikah, Faisal.”


Faisal terdiam.


”Faisal, ayah serahkan kepadamu Anis dan Aisha…juga mak…” ayah berbisik perlahan sehari sebelum kematiannya, sepuluh tahun yang lalu. Saat itu, Anis baru saja masuk kolej dan Aisha masih di tingkatan satu. Sejak itu, hari-harinya diisi dengan kerja keras untuk mencukupi keperluan keluarga.


”Faisal…” Puan Sarah menunggu jawapannya.

”Iya, iya, Insya Allah. mak…”


Dia terasa benar kata-kata ibunya itu. Tidak ada lagi alasan untuknya buat menunda hidup berkeluarga. Aisha sudah bernikah tiga bulan yang lalu. Amanah ayahnya sudah ditunaikan. Persoalannya adalah, siapa wanita yang akan dinikahinya? Dia tidak pernah ada kekasih. Dia juga takut terjebak melakukan perbuatan yang tidak baik. Alternatif calon juga tidak ada. Jadi, siapa yang akan dilamarnya?


Sebenarnya, Dia boleh meminta bantuan kepada orang lain. Mak, saudara mara atau adik-adiknya dengan senang hati pasti akan berusaha membantu. Tetapi, sebelum meminta bantuan orang lain, dia berfikir ada baiknya dia buat solat istikharah dulu. Dia ingin melangkah dengan tenang dan tidak tersilap.


Dan terjadilah keajaiban itu. Setelah dua kali solat, tiba-tiba Laila muncul dalam mimpinya. Begitu jelas. Laila? Dia tercengang. Laila adalah kawan kuliahnya di universiti. Sudah hampir dua semester dia sambung belajar. Dan Laila teman sekuliah yang tidak pernah dia terfikir sama sekali untuk didekati lebih jauh lagi. Barangkali juga kerana sifat penyegannya dengan perempuan. Juga barangkali kerana sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk mencari teman wanita.


Tapi, mengapa harus Laila? Perempuan yang keperibadiannya begitu kuat dan tenang, sampai tidak ada lelaki yang berani menjalin hubungan lebih rapat dengannya. Sebenarnya Laila baik, sangat baik. Dia tidak pernah segan membantu orang lain atau bercakap kasar. Tetapi Faisal merasakan dia benar-benar sukar menghadapinya. Apalagi membayangkan harus melamar Laila.


Mimpi itu juga menyisakan pertanyaan buatnya. Benarkah ini isyarat Allah? Atau, dia diam-diam menyukai Laila sehingga susuk Laila muncul dalam mimpinya. Dia mulai bimbang.


“Bagaimana, Faisal?” Puan Sarah meminta penjelasan darinya dua minggu kemudian. Faisal hanya mampu tersenyum kecut.

“Belum ada calon? Perlu bantuan mak ke?” Puan Sarah menatapnya.


Dia tergagap. “Tidak perlu, mak. Saya akan cuba mencari sendiri dulu.” Puan Sarah tersenyum. Dia menarik nafas lega. Untuk sementara dia berhasil menenangkan ibunya.

hh_hs Publish time 14-8-2009 08:55 AM

wah.. cam menarik cite nih.....

sambung cecepat ye bintang....

gilmoregirl Publish time 14-8-2009 10:07 AM

nak lagi nak lagi yer..

yaya130501 Publish time 14-8-2009 10:51 AM

:D :D :D :D :D:D :D :D :D

nice intro.....

sambung le lagik :lol:

bintang Publish time 14-8-2009 03:53 PM

Malamnya, Faisal mencuba menenangkan diri dan mulai solat istikharah lagi. Kali ini, dia mencuba lebih tenang dan pasrah kepada Allah. Dia cuba melepaskan segala kebimbangan dan sungguh-sungguh meminta keputusan-Nya.


Dia berjalan berdekatan dengan Laila. Begitu dekat. Laila tersenyum. Manis dan sangat lembut. Mimpi itu lagi! Dia terbangun menjelang pukul tiga pagi. Sebentuk perasaan aneh masih sempat dirasakan saat dia terbangun. Indah!


Apakah Laila memang jodohku? Pertanyaan itu kembali bermain dalam benaknya. Dia cuba meneliti kembali kejernihan hatinya. Benarkah dia memang tidak obses kepada Laila? Dia mengurai kembali semua kenangan dengan Laila. Sejak pertemuan pertama.


”Saya Laila...” Laila memperkenalkan diri dengan tegas, tanpa senyum. Juga tanpa berjabat tangan.

Dia hanya mengangguk. ”Faisal.” dia turut memperkenalkan diri. Dingin, tapi cukup sopan. Itu kesan pertama yang dirasainya.


Laila tidak gedik atau cerewet seperti satu dua orang perempuan yang pernah dikenalinya. Seingatnya, tidak pernah ada saat istimewa antara dia dengan Laila. Benar-benar hanya hubungan antara teman kuliah. Dia malah lebih akrab dengan Suria, teman kuliahnya yang lain. Dia juga tidak pernah merasa ’aneh’ saat berinteraksi atau berteman dengan Laila, juga ketika dia nyaris berlanggar dengan Laila. Semua wajar dan biasa saja.


Lalu? Dia masih tetap ragu. Dia memutuskan untuk menunggu sampai benar-benar merasa yakin. Dan selama masa menunggu itu, terjadi suatu peristiwa yang semakin membuatnya merasa kecut menghadapi Laila.


”Maaf…” Laila mengangkat tangan. Semua mata tertumpu kepada Laila. Dia menahan nafas. Apa yang akan dikatakan Laila kali ini. Dia berdebar-debar menunggu komen Laila atas assignment yang dibentangkan.


”Menurut saya, assignment ini tidak memenuhi kelayakan ilmiah.” kata-kata itu diucapkannya dengan nada meminta maaf.

Faisal terkejut. Assignment itu memang disiapkannya dengan terburu-buru. Pekerjaannya di sekolah sedang menimbun. Beberapa teman berbisik. Encik Khairil pensyarahnya tersenyum kecil. Dia sudah biasa dengan kejutan Laila.


Faisal tersinggung dan merasa dipermalukan. Ini adalah komen paling tajam yang pernah dilontarkan Laila kepadanya. Walaupun kemudian dia dapat menerimanya saat Laila berhujah menjelaskan kelemahan assignmentnya.


Kejadian itu membuat dia semakin ragu. Entahlah, barangkali dia merasa tidak senang mempunyai isteri yang dapat membantainya setiap saat. Atau mempertanyakan kebijakannya sebagai suami. Dia memang tidak terbiasa dipersoaljawabkan seperti itu. Kedudukannya sebagai anak tertua dan tulang punggung keluarga membuat adik-adik dan ibunya memperlakukannya sungguh istimewa. ’Apa kata abang saja, terserah kepada abang…’ Selalu itu yang didengar dari mereka. Kalaupun mereka tidak sependapat dengannya, tidak pernah ada yang secara lantang menyatakan ketidaksetujuannya.


Dia semakin tidak berani menghadapi Laila setelah peristiwa itu. Jadi, untuk sementara dia terpaksa menenangkan diri lagi. Tapi desakan dari Puan Sarah tiga hari yang lalu membuatnya terpaksa bertindak.


”Faisal, mungkin sudah sampai masanya mak kena membantu. Sudah sebulan, dan kamu belum juga bertindak apa-apa. Mak sudah semakin tua, Faisal. Kebelakangan ini, mak semakin sering sakit. mak tidak ingin terjadi sesuatu pada diri mak sebelum kamu bernikah…” Puan Sarah berkata setengah memohon

Dia tertunduk..

”Faisal…”

Dia menatap Puan Sarah. Puan Sarah menarik nafas panjang. Dia menunggu ibunya bicara.

”Kalau tiga hari lagi tidak ada keputusan, mak akan mencari calon untuk kau. Kau kenal Nirmala? Anak Pak Harun? Nirmala baik,… dia juga cantik dan terpelajar…”

Bla…bla…bla. Hampir lima belas minit ibunya bercerita tentang Nirmala. Dia kenal Nirmala. Nirmala memang baik, tetapi bukan itu persoalannya. Dia ingin menyelesaikan masalah Laila dulu.


Tidak ada jalan lain. Akhirnya, dia mantapkan hati untuk berbicara dengan Laila. Tapi, bagaimana caranya? Dengan telepon? Nombor telepon Laila dia tidak ada. Atau, mengajak Laila berbicara secara langsung? Bagaimana kalau Laila menolak dan membantainya seperti Laila membantai assignmentnya?


Akhirnya, dia putuskan untuk meminta nombor telepon Laila dari Suria. Dia berhasil menghindar dari pertanyaan Suria dengan memberinya sebentuk senyuman aneh. Untungnya, Suria tidak bertanya lebih jauh. Barangkali Suria menyangka dia ingin bertanya sesuatu kepada Laila berkenaan assignment. Kerana itulah Suria tidak bertanya lebih dan itu sudah cukup disyukurinya.


Malamnya, dia cuba menelepon Laila. Dia menggenggam handphonenya dengan perasaan tidak karuan. Dengan tangan gemetar dia menelepon Laila.


”Hello, Assalamualaikum!” Suara Laila terdengar tegas.

Tiba-tiba dia merasa tidak keruan. Kecut.

”Hello! Hello!”

Dia mematikan handphone.

’’Aarrgghhh.....! Dia menggerutu dalam hati. Dia benar-benar tidak berdaya.

juneazry Publish time 14-8-2009 04:10 PM

eemm..nice story..
sambung la lagi..:pompom:

anabilla89 Publish time 14-8-2009 04:38 PM

best punya ceta nie....sambung cepat bintang...bintang menerangi hariku dgn cahayanya...hehehe

shahrinas Publish time 14-8-2009 05:08 PM

Bintang nie memang bestlah...sentiasa ada citer baru...:D
kalu free letak n3 lagi k... :)

bintang Publish time 15-8-2009 12:37 PM

”Faisal, waktunya tinggal hari ini.” Puan Sarah menatapnya serius saat dia menyalami ibunya itu pagi tadi.

”Ya, mak... saya tengah berusaha...” dia menjawab agak risau.

Jadi, hari ini, mahu atau tidak dia harus berjumpa dan berbicara dengan Laila. Dia pergi ke kampus dengan perasaan gugup. Jantungnya seperti menggendong sesuatu, berat dan sendat. Sampai di kampus, dia mencari-cari Laila. Susuknya tidak kelihatan sehinggalah kuliah bermula. Lebih kurang lima belas minit setelah kuliah dimulai, Laila muncul. Laila menuju kearahnya dan mengambil tempat di sebelahnya, satu-satunya tempat kosong yang tersisa pagi itu. Laila duduk dengan tenang di sebelahnya dan segera mengikuti kuliah. Dia semakin gelisah. Menggelabah. Tubuhnya mulai berkeringat.


Kuliah selesai. Dia menunggu kesempatan untuk bercakap dengan Laila. Dia sengaja memperlambat berkemas sambil menunggu Laila. Satu persatu teman kuliah meninggalkan ruangan. Akhirnya, setelah ruangan cukup sepi, dia memberanikan diri untuk berbicara dengan Laila.


”Laila! Boleh saya bercakap sesuatu..?”dia sedikit gugup.

Laila menghentikan kesibukannya membereskan buku-buku dan beberapa assignment yang berserakan.

“Ya.” Laila melanjutkan kesibukannya tanpa menatap Faisal sama sekali.

Tangannya gemetar. Debarannya kencang. Suaranya tersekat di kerongkong.

”Ada yang dapat saya bantu?” Laila akhirnya melihat ke arahnya. Laila mulai kelihatan tidak sabar dengan sikapnya.Dan Laila sudah pun selesai membereskan buku-bukunya.

Dia masih tidak mampu berbicara. Keringat dingin semakin membasahi tubuhnya. Ya Allah, aku benar-benar gabra! Keluhnya di dalam hati.

”Faisal!” suara Laila meninggi.

Dia menarik nafas panjang, mencuba menenangkan diri sejenak. Yusri, satu-satunya teman yang masih berada di ruang kuliah menoleh ke arah mereka.

“Lai...la…” Suaranya tersendat.

Laila menatapnya bingung.

“Ehm…would you.... ehmm.... marry me..?”Dia tergagap. Namun akhirnya, keluar juga perkataan itu dari mulutnya.

Laila menatapnya hairan. Dia menunduk, berpikir sejenak. Faisal menunggu. Penuh debaran. Terasa pembuluh darahnya sempit. Terasa seperti menunggu sebuah hukuman.

”Saya fikir, itu bukan idea yang baik.” Kata Laila setelah beberapa minit terdiam. ”Saya balik dulu, Faisal..... Assalamualaikum…”

Dia terpana. Dan diamasih juga terpana saat tiba-tiba Yusri menepuk bahunya.

“Sudah tidak ada cara yang lebih romantis, bro..?” Yusri tersenyum.

Aku salah tingkahkah? Gumamnya pada diri sendiri.

Begitulah, proses perjodohannya terpaksa kandas di tengah jalan. Dia tidak patah hati. Barangkali kerana dia memang tidak pernah jatuh cinta pada Laila. Tetapi dia akui, dia cukup terpukul dengan kenyataan itu. Ternyata, dia tidak cukup pandai membaca isyarat Allah. Atau, cara dia yang tidak baik? Melamar di ruang kuliah tanpa prolog seperti itu memang naif sekali.


Petang itu dia pulang dengan lemas. Puan Sarah duduk di anjung, sedang asyik membaca surat khabar dan secangkir teh hangat tersedia di meja kecil di sisinya. Setelah mencium tangan ibunya, dia menghempaskan tubuh di kerusi.


Mungkin Puan Sarah dapat menangkap kegetirannya. Puan Sarah menghulur secangkir teh panas untuknya. Dia menyambut dengan ucapan terimakasih. Dia bersyukur ibunya tidak membuka pembicaraan mengenai pencarian jodohnya. Dia tidak bersedia untuk berkata apa-apa.
Sepanjang petang itu dia cuba menenangkan diri sendiri. Dia cuba bersikap realistik menghadapi kenyataan ini. Dia percaya, Allah akan memberikan seorang pendamping untuknya.


Fikirannya masih tidak menentu saat dia bangun tadi pagi. Dia solat istikharah lagi malam tadi. Tapi kali ini, dia tidak memperoleh isyarat apa-apa. Akhirnya, dia sudah memutuskan untuk berbicara dengan ibunya. Lagi pun, Nirmala gadis yang baik juga.

Pagi itu dia mendahului percakapan sebelum Puan Sarah bertanya perihal calon isterinyanya.

”Mak....’’

‘’Ya, Faisal…’’ tersenyum Puan Sarah menatapnya yang agak gementar itu.

Dia baru saja ingin memperkatakan sesuatu kepada ibunya saat pesanan sms masuk. Dia meraih handphone yang terletak di meja.

Laila???

Bagaimana Laila tahu nombor taliponnya?

Apa lagi yang akan dikatakannya sekarang? Berdebar dia membuka pesanan tersebut.

’Setelah saya fikirkan lagi, idea awak tidak terlalu buruk. Tawarannya masih berlaku?’

Dia terpana. Tersenyum.
Hidup ternyata kadang-kadang memberi kejutan.



Tamat.

anabilla89 Publish time 15-8-2009 06:00 PM

bintang ringkasnya n3 nie..nk lagi...hehhe

juliet80 Publish time 16-8-2009 12:37 PM

wahhh mmng ringkas seringkasnye kann :loveliness:

juwaini Publish time 16-8-2009 05:56 PM

Kenapa pendek sangat?

Sayang la cerita yang macam ni dimatikan terlalu awal. Ada banyak idea yang sebenarnya boleh dikembangkan lagi. Mungkin kalau Faisal ni gunakan teknik yang lebih romantik, citer ni akan jadi lagi best. Tapi memang sayang la cerita ni sebab terlalu pendek...

amandaatika Publish time 16-8-2009 06:08 PM

pendeknya......

Incanto Publish time 17-8-2009 12:21 AM

best wpun pendek
agaknya sebab tu judulnya Suatu Kejutan
pembaca rasa terkejut sbb dah habis

produkherba Publish time 17-8-2009 11:20 AM

best wpun pendek
agaknya sebab tu judulnya Suatu Kejutan
pembaca rasa terkejut sbb dah habis
Incanto Post at 17-8-2009 00:21 http://malay.cari.com.my/images/common/back.gif

herb setuju.terkejut sbb baru nak enjoy dah abis lak:ohmy3:

yaya130501 Publish time 19-8-2009 11:28 AM

pendeknya :lol::lol::lol::lol::lol:

lyza2474 Publish time 26-8-2009 12:38 PM

ala dah habis...bintang... panjangkan skit leh tak ? pleaseeeeeeeeeeeeeeeeeeeee {:3_84:}

yenil95 Publish time 26-8-2009 04:13 PM

eh!..dah habis ke?..
buat yang pajang2 dan yang melibatkan perasaan..
bintang takde blog ke?..

bintang Publish time 27-8-2009 10:21 PM

eh!..dah habis ke?..
buat yang pajang2 dan yang melibatkan perasaan..
bintang takde blog ke?..
yenil95 Post at 26-8-2009 16:13 http://forum.cari.com.my/images/common/back.gif

cerpen pendek jek tuh... nanti lapang bintang wat cerpen panjang lak...

bintang takde blog yenil, tak pandai...:L

Adilla Publish time 28-8-2009 11:25 AM

rilex dan ringkas..walaupun pendek tetapi mendalam maksudnya...tq bintang..
Pages: [1] 2
View full version: Suatu Kejutan


ADVERTISEMENT