amazed Publish time 24-3-2009 12:11 AM

seni abstrak

Apresiasi seni, alam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


http://www.utusan.com.my/pix/2009/0323/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
ANTARA hasil seni abstrak kontemporari yang dipamerkan pada Pameran Cat Air 'Apresiasi Seni dan Alam' di UTM Skudai baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 22 Mac - Keindahan seni abstrak sukar untuk dinilai dengan mata kasar kerana keunikan serta maksud sebenarnya terkandung di sebalik garapan tekstur seni itu sendiri.

Umum mengetahui sesebuah karya seni pada dasarnya adalah medium untuk sesetengah individu meluahkan perasaan dan penghayatan terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan mereka.

Kebiasaannya karya seni itu dibahagikan kepada dua iaitu seni tradisional dan seni kontemporari.

Seni tradisional sering dikaitkan dengan pautan kebudayaan serta nilai estetika yang tinggi. Manakala seni kontemporari lebih bersahaja serta lebih menjurus kepada persepsi individu itu sendiri.

Kini seni berkonsepkan kontemporari abstrak adalah lebih mudah untuk diterima dan diketengahkan kerana sentuhan seninya adalah lebih ringan untuk dihayati oleh audiens.

Sebagai contoh pameran Seni Cat Air 'Apresiasi Seni dan Alam' di ruang legar Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia UTM), Skudai, ternyata berjaya memaparkan hasil seni abstrak kontemporari yang unik.

Hasil seni yang dipamerkan adalah lebih berbentuk seni kontemporari moden yang mudah difahami setiap lapisan masyarakat dan tidak begitu kompleks.

Pameran tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Seni Lukis dan Reka Cipta Johor (Serupa) dan Persatuan Seni Johor (JAS) itu menghimpunkan sebanyak 62 karya daripada penggiat seni visual tanah air terutama dari negeri Johor.

Kurator pameran, Fakhrul Zaman Mohd. Sambas berkata, pameran yang julung kali diadakan itu bertujuan menghimpunkan karya yang berkisar tentang alam, figuratif, flora dan fauna.

Beliau berkata, pameran itu juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan pendedahan serta pengalaman khusus kepada warga UTM bagi menghayati nilai estetika seni dalam konteks kesenian sebagai warisan negara.

"Ia juga bertujuan memartabatkan dan merakyatkan seni serta menghargai atau apresiasi terhadap karya seni berunsurkan alam semulajadi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di UTM, Skudai, dekat sini baru-baru ini.

Apresiasi seni dan alam membariskan seramai 21 pelukis tempatan. Antaranya Sanip Lasman, Ismail Attan, Md. Nor Bidin, Yahya Hassan, Aman Daud, Lew Min Seong, Mansor Ghazali, Sojak Hassan dan ramai lagi.

Tema karya yang dihasilkan berkisar kepada subjek alam semulajadi, olahan gaya yang dipersembahkan menjurus kepada karya representasi dan terdapat beberapa karya yang menjurus kepada karya berbentuk mujarad.

Fakhrul Zaman berkata, pameran tersebut antara lain bertujuan menghargai kreativiti dan hasil karya untuk penghayatan khalayak dan ia boleh disifatkan sebagai agenda mapan bagi melestarikan seni budaya di UTM khasnya.

" Pameran ini juga sebagai penghargaan terhadap hasil karya dan kreativiti pelukis selain merakyatkan serta menyemarakkan seni budaya di negeri ini.

"Selain itu, pameran ini turut memaparkan sejarah perkembangan seni cat air di Malaysia sejak 1930-an hingga kini," katanya.
Selain itu, katanya, ia juga adalah bagi mewujudkan keseimbangan antara perkembangan sains dan teknologi serta seni budaya di kalangan mahasiswa di universiti tersebut.

Beliau berkata, pameran itu dilihat sebagai sebuah medium intelektual yang dapat memberi input kepada pelajar di dalam dan luar negara mengenai budaya masyarakat Malaysia dengan penekanan terhadap aspek ekonomi, politik, sosial dan pelbagai aspek lain.

"Ia juga merupakan salah satu usaha bagi mendokumentasi perjalanan seni melalui aktiviti pameran dan juga sebagai langkah mewujudkan jaringan integrasi antara kaum yang ada di negara ini.

Beliau memberitahu, apresiasi seni dan alam itu dizahirkan dalam perancangan teliti yang selari dengan penjenamaan UTM iaitu Menjana Minda Kreatif dan Inovatif.

Jelasnya, bagi menghadapi cabaran arus global pada masa hadapan, bidang sains dan teknologi serta seni budaya harus diseimbangkan.
"Sekiranya warisan seni dan budaya ini tidak disisihkan dalam kehidupan moden hari ini, dikhuatiri generasi akan datang tidak mempunyai kekuatan jati diri.

"Sains dan teknologi serta seni budaya adalah ramuan yang sewajarnya diterapkan ke dalam setiap lapisan masyarakat di UTM khasnya," katanya.
Justeru, katanya, pameran tersebut dapat menemukan komuniti seni dan sains bagi merencanakan minda kreatif serta inovatif untuk dikongsi bersama dalam suasana yang harmoni.

amazed Publish time 24-3-2009 12:11 AM

Hasil seni yang lebih santai - Penggemar

JOHOR BAHRU 22 Mac - Pameran Seni Seni Cat Air 'Apresiasi Seni dan Alam' di ruang legar Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, baru-baru ini, telah membuka perspektif baru kepada para penggemar seni untuk menghayati konsep seni yang lebih santai.

Rata-rata pengunjung melahirkan rasa teruja terhadap hasil seni yang dipaparkan oleh para pelukis tempatan kerana memaparkan kelainan dari aspek penggunaan warna dan garapan seni yang lebih ringan berbanding konsep seni terdahulu.

Seorang pengunjung, Nurul Asyikin Bakar, 19, berkata, hasil seni yang dipamerkan pada pameran itu adalah unik dan penuh dengan maksud yang tersirat namun ia mudah untuk difahami dan dijiwai setiap pengunjung.

Jelasnya, meskipun konsep seni yang ditampilkan begitu abstrak tetapi mesej yang cuba disampaikan amat jelas dan tidak terlalu rumit.

"Saya begitu teruja dan terpesona dengan setiap hasil seni yang dipamerkan.

"Meskipun apa yang disampaikan begitu abstrak tetapi ia lebih menjurus kepada abstrak yang mudah dan ringkas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di UTM, Skudai, dekat sini baru-baru ini.

Turut berkongsi pendapat adalah seorang lagi pengunjung, Mohd. Hasnul Hafiz Kamisan, 19, yang berpendapat, karya seni yang diketengahkan pada pameran tersebut adalah begitu unik tetapi mudah untuk dihayati.

Jelasnya, penggunaan warna yang lembut dapat mewujudkan ketenangan dalam jiwa para pengunjung dan konsep seni yang ada juga rata-ratanya membawa elemen santai.

"Saya sememangnya memiliki jiwa seni, pameran kali ini dapat memberikan saya pelbagai input baru terutamanya cara untuk menghasilkan karya seni yang lebih santai dan mudah untuk diterima," katanya.

Pengunjung lain, Norfazirin Md. Ali, 19, berkata, hasil seni yang dipamerkan dapat membantunya menjana idea-idea baru bagi menghasilkan satu karya seni yang lebih baik kerana ia mengandungi pelbagai aspek baru yang belum pernah dilihatnya.

"Mungkin saya terlalu muda untuk menghasilkan seni-seni yang berkualiti tinggi tetapi melalui pameran ini saya dapat mempelajari pelbagai perkara baru dalam bidang seni cat air," jelasnya

KIM.mafia Publish time 24-3-2009 12:15 AM

xde gambar lagi???

fallin Publish time 3-4-2009 04:56 PM

i dont think painting dlm gambar tu abstrak.. it's impressionist.
Pages: [1]
View full version: seni abstrak


ADVERTISEMENT