Syd Publish time 15-9-2007 12:04 PM

Melawat semula Akta Bahasa Kebangsaan

Melawat semula Akta Bahasa KebangsaanOleh: MOHAMAD SOFEE RAZAK


MALAYSIA adalah di antara beberapa buah negara di dunia yang memperuntukkan akta khas berkenaan bahasa kebangsaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan 1957 di bawah Perkara 152 telah menjamin kedaulatan dan autoritatif bahasa kebangsaan, namun kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) adalah bertujuan memastikan bahasa kebangsaan diaplikasi dan diimplementasikan secara holistik dalam struktur kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

Akta 32 pertama kali digubal pada 1963 dan seterusnya pada 1967 yang mana telah disatu dan disemak pada 1971. Seksyen 1 akta berkenaan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan terpakai di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Manakala Seksyen 2 pula menegaskan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi dalam segala hal selaras dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Di sini menampakkan bahasa kebangsaan bersifat fleksibel, anjal, dinamik serta tidak bersifat jumud dengan menerima pakai aplikasi bahasa lain demi kepentingan awam dan bagi memastikan kelancaran proses pentadbiran negara. Tambahan pula kita sedang berada di dalam arena globalisasi, maka Malaysia telah bersedia sejak dulu lagi untuk bersaing dan mengiktiraf bahasa selain bahasa kebangsaan.

Kelonggaran dan kelebihan juga diberikan kepada ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana mereka boleh menggunakan bahasa Inggeris jika perlu selaras dengan Seksyen 5 akta ini dan perlu mendapat kebenaran Yang Dipertua Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN masing-masing.

Baru-baru ini Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menegur segelintir ahli Parlimen yang gagal menguasai dan tidak memberi perhatian serius kepada bahasa kebangsaan ketika berbahas di dalam Parlimen, dan tahap penguasaan bahasa mereka masih lemah serta memalukan. Perkara ini wajar diberikan penekanan sewajarnya, walaupun ahli Parlimen di negara kita mempunyai imuniti untuk bercakap apa sahaja di dalam Parlimen.

Selepas 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, masih terdapat hampir 90 peratus borang, dokumen, perjanjian, surat ikatan dan lain-lain lagi yang melibatkan penjualan serta pembelian rumah, kereta, jentera, hartanah dan sebagainya dalam bahasa Inggeris.

Hatta jika kita hendak membeli peti sejuk secara ansuran sekalipun, dokumen perjanjiannya pun di dalam bahasa Inggeris! Situasi ini menimbulkan implikasi besar kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, apabila bahasa perjanjian yang digunakan agak sukar untuk difahami.

Oleh yang demikian, penyediaan sesuatu perjanjian hendaklah di dalam bahasa kebangsaan agar pihak-pihak yang berjanji memahami apa yang ditandatangani serta bentuk kontrak yang dimasuki.

Jika diteliti, Akta Bahasa Kebangsaan ini hanya menyebut berkenaan bahasa kebangsaan tanpa spesifik menyebut bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Walaupun akta ini secara keseluruhannya tidak memberi definisi bahasa kebangsaan, namun begitu dengan berpandukan Perlembagaan Persekutuan, maka dapatlah difahami bahawa bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan seperti yang dimaksudkan, tanpa sebarang pertikaian.

Banyak pihak yang boleh memainkan peranan penting terutamanya para sasterawan, penulis, wartawan dan sebagainya perlu memperbanyak dan tingkatkan penulisan mereka dalam bahasa kebangsaan; para hakim dan ahli perundangan pula wajar berusaha menulis sebanyak mungkin penghakiman kes mahkamah, buku dan makalah undang- undang di dalam bahasa kebangsaan; atau ahli profesional seperti doktor, jurutera, arkitek, ahli akademik dan lain-lain hendaklah giat menulis buku dan penerbitan berkaitan bidang masing-masing dalam bahasa kebangsaan.

Orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak wajar sekadar menjadi penumpang dan penonton sahaja. Bagi jutawan dan hartawan pula, sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka perlu bersedia menyumbang dan membiayai kelancaran aktiviti penerbitan dalam bahasa kebangsaan dan kegiatan bahasa di negara kita.

Persoalan yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini ialah apakah perkembangan dan berita terkini kepada pindaan akta seperti yang dihebohkan pada tahun lepas yang akan membolehkan pencemar bahasa dikenakan denda sehingga RM1,000? Sejauh manakah pelaksanaan dan penguatkuasaan yang telah dilakukan oleh pihak yang terbabit dalam hal ini?

Oleh yang demikian, setelah hampir 50 tahun negara merdeka, maka usaha dan inisiatif semua pihak untuk meletakkan kembali status keagungan bahasa kebangsaan di persada yang selayaknya perlu digembleng kerana bahasa yang sudah berusia lebih 2500 tahun ini merupakan bahasa utama dunia yang ditutur oleh lebih 200 juta orang di seluruh dunia.

Sempena Bulan Bahasa dan Sastera yang sedang disambut sepanjang bulan September ini, semangat cintakan bahasa dan menjadikan bahasa jiwa bangsa perlu disemai dan dijadikan cara hidup masyarakat Malaysia.

- MOHAMAD SOFEE RAZAK ialah peguam.
Pages: [1]
View full version: Melawat semula Akta Bahasa Kebangsaan


ADVERTISEMENT