Raline Publish time 4-10-2021 09:13 AM

Tulang melengkung di usia remaja

Tulang melengkung di usia remaja

https://assets.bharian.com.my/images/articles/beg_1633228214.jpg
Beg berat tidak menyebabkan skoliosis, sebaliknya boleh menyebabkan sakit belakang dan postur bermasalah.- Foto hiasan

Sekolah dibuka semula esok dan tiba masanya untuk pelajar kembali menggalas beg berat mereka sesuai menjalani sesi pembelajaran virtual selama hampir dua tahun.

Sebelum wabak COVID-19 melanda, polemik mengenai beg sekolah berat mendapat perhatian meluas dan isu kesihatan sering dikaitkan adalah skoliosis, iaitu kelengkungan pada tulang belakang lazimnya dikesan dalam kalangan remaja.

Di Malaysia, kajian mendapati skoliosis dialami dua hingga tiga peratus populasi negara atau 600,000 hingga 900,000 individu.

Kondisi ini biasanya dihidapi remaja berumur antara 10 hingga 17 tahun, iaitu lonjakan dalam kadar tumbesaran mereka berlaku.

Lengkungan ini lazimnya berbentuk C atau S, dan ukuran melebihi 10 darjah seperti dilihat pada imbasan sinar-X adalah dikategorikan sebagai skoliosis.

Antara komplikasi berpunca daripada skoliosis ialah kesakitan kronik, kesukaran untuk bernafas, dan kekurangan kapasiti untuk melakukan senaman.

Beg sekolah berat menyebabkan skoliosis?

Mengulas mengenainya, Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang dan Trauma, Dr Lim Sze Wei, berkata ramai menyangka bebanan beg yang berat boleh menyebabkan tulang belakang melengkung.

Bagaimanapun, kajian dan laporan perubatan tidak menemui sebarang kaitan antara skoliosis dan beg sekolah berat.

Ia tidak dapat menyokong idea yang menyebut beg berat mampu mengubah struktur tulang belakang kanak-kanak yang sedang membesar.

"Meskipun beg berat tidak menyebabkan skoliosis, jika ia digalas dengan cara salah atau untuk jangka masa panjang, ia boleh menjurus kepada komplikasi tulang belakang yang lain seperti sakit belakang, postur bermasalah, kelemahan pada otot serta keletihan.

"Bukti menunjukkan remaja mengalami kesakitan pada bahagian belakang berkemungkinan untuk mengalami sakit belakang yang kronik apabila mereka sudah dewasa," katanya.

Apa punca skoliosis?

Beliau berkata, skoliosis tidak diakibatkan oleh beg sekolah berat mahupun sesuatu perkara yang pernah dilakukan atau tidak oleh anak atau ibu bapa mereka.

Skoliosis boleh dialami oleh individu dengan kondisi seperti palsi serebrum atau distrofi otot, namun dalam kebanyakan kes, skoliosis bersifat idiopatik, bermakna tiada sebab jelas yang diketahui.

Terdapat beberapa faktor risiko dikenal pasti seperti:

• Usia – Kebanyakan kes berlaku apabila kadar tumbesaran kanak-kanak melonjak naik pada usia 10 tahun dan ke atas.

• Jantina – Golongan wanita lebih berisiko untuk menghidap skoliosis berbanding lelaki.

• Keturunan – Skoliosis boleh diwarisi secara genetik daripada ibu bapa atau sanak saudara yang mempunyai kondisi berkenaan.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/beng.jpg_1633228227.jpg
Ibu bapa perlu kerap melihat gejala dan simptom skoliosis elak tambah serius . - Foto hiasan

Cara mengesan skoliosis

Justeru, katanya, kebanyakan kes skoliosis tidak serius, namun lengkungan itu akan menjadi lebih parah seiring dengan tumbesaran kanak-kanak dan skoliosis yang dikategorikan parah mampu melumpuhkan penghidapnya.

Kes skoliosis dengan punca yang diketahui adalah lebih jarang berbanding kes skoliosis idiopatik.

"Skoliosis bukan idiopatik lazimnya disebabkan oleh kecacatan pada pembentukan tulang belakang atau akibat kesan sampingan daripada penyakit lain seperti kondisi neuromuskular, penyakit tisu penghubung, dan kondisi genetik," katanya.

Simptom skoliosis

Simptom juga biasanya tidak ketara bagi kes yang tidak serius, mustahak ibu bapa memeriksa anak mereka dari semasa ke semasa.

Jika dikesan lebih awal, lebih tinggi peluang untuk mencegah skoliosis daripada mengakibatkan tambah serius.

Ada kaedah pemeriksaan mudah dilakukan di rumah oleh ibu bapa untuk mengesan gejala dan simptom skoliosis.

Antara gejala skoliosis yang paling lazim meliputi perbezaan pada ketinggian atau posisi bahu, tulang kipas atau pinggul – misalnya, bahu sebelah lebih rendah berbanding bahu yang lagi satu.

Kepala tidak berkedudukan di tengah berdasarkan anggota badan yang lain satu lagi gejala.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/03lim_1633228235.jpg
Dr Lim Sze Wei

Lakukan ujian ringkas

Beliau berkata, ibu bapa boleh melakukan ujian ringkas dinamakan 'Adam's Forward Bend Test' untuk mengesan lengkungan pada tulang belakang.

"Minta anak tunduk ke hadapan dan mengunjurkan kedua-dua tangan hingga melepasi jurang antara lutut, jika ada yang tidak kena pada bahagian tulang rusuk atau terdapat kecacatan lain pada bahagian belakang, ia mungkin menandakan skoliosis.

"Jika lihat sesuatu yang mencurigakan, dapatkan nasihat pakar perubatan dalam kadar segera," katanya.

Rawatan untuk skoliosis

Bagi kes tidak serius, kaedah rawatan tanpa pembedahan seperti senaman dan pendakapan boleh membantu memperlahankan atau menghentikan pembentukan lengkungan daripada terus berlanjutan.

Ini boleh membantu menghilangkan kesakitan berpunca daripada kondisi itu. Bagaimanapun, kaedah ini tidak dapat memperbaiki lengkungan pada tulang belakang dan pesakit perlu dipantau sepanjang hayat untuk memastikan kondisi itu tidak menjadi lebih buruk.

"Pembedahan hanya perlu dilakukan jika teruk lengkungannya, selain mengganggu kualiti hidup pesakit.

"Jika pembedahan diperlukan, kemajuan dalam kaedah pembedahan kini melahirkan pelbagai prosedur yang selamat lagi efektif, malah waktu pemulihan selepas menjalani sesuatu prosedur juga adalah lebih singkat.

Yang penting, kes skoliosis baharu harus ditangani secepat mungkin, meskipun sedang dilatari wabak COVID-19.

"Bagi remaja khususnya, jika dilengahkan walaupun untuk tempoh beberapa minggu sahaja, ia masih berpotensi untuk menjejaskan pelan serta hasil rawatan komplikasi ini secara signifikan.

"Pandemik semasa mungkin mengganggu kebanyakan aktiviti kita, namun proses tumbesaran kanak-kanak masih sedang giat berjalan seperti biasa," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa mendapatkan nasihat pakar perubatan sebaik sahaja mereka mengesan sebarang perubahan pada anak.

Katanya, dengan pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan tepat pada masanya, komplikasi seperti skoliosis dapat ditangani dengan lebih baik, sekali gus anak berpeluang mendapat kehidupan lebih sihat.

Sumber:https://www.bharian.com.my

seribulan Publish time 4-10-2021 10:28 AM

Teringat Zamani lak...

nakkomenjugak Publish time 4-10-2021 12:39 PM

Dulu zaman sekolah rendah
Kelas kat tingkat paling atas
Fuhhhhhhh

Time sekolah menengah baru pandai letak buku kat laci
Pages: [1]
View full version: Tulang melengkung di usia remaja


ADVERTISEMENT