Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:47 AM

Hari ini dalam sejarah: 10 September

Sumber: http://hids.arkib.gov.my/#/site_peristiwa/5544

PERUTUSAN KHAS JOHOR KE MELAKA


Khamis
10/09/1643




Pada hari ini dalam tahun 1643, satu Perutusan Khas dari Kerajaan Johor telah dihantar ke Melaka untuk bertemu pemerintah Belanda. Rombongan yang diketuai oleh Tun Indera Segera, seorang pembesar Sultan Abdul Jalil, Sultan Johor bertujuan memaklumkan mengenai negeri Perak dan Deli yang sedang dikuasai oleh Acheh adalah merupakan Wilayah-wilayah Johor. Sultan Johor bercadang untuk mengambil semula negeri-negeri tersebut dan memperluaskan lagi Empayar Johor dengan bantuan Belanda. Kedatangan Tun Indera Segera dikhuatiri oleh Belanda disebabkan kuasa Johor yang semakin kuat setelah berkuasa semula di Pahang. Kedatangan perutusan khas Johor ini memberi erti yang besar kepada kerajaan Johor kerana dapat menentukan sejauh mana pendirian Belanda setelah menandatangani Perjanjian Johor-Belanda. Melalui perhubungan persahabatan Johor-Belanda ini, kuasa kerajaan Johor semakin bertambah dan teguh hingga akhirnya Belanda sendiri berasa tidak senang dan mula memusuhi Johor di abad ke-18.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia






Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:48 AM

PENUBUHAN MAJLIS MESYUARAT DI NEGERI PERAK

Isnin
10/09/1877

Pada hari ini dalam tahun 1877, Majlis Mesyuarat Negeri Perak telah ditubuhkan. Sultan Yusof telah dilantik menjadi pengerusinya manakala para anggotanya pula terdiri dari Raja Idris, Residen Hugh Low, Anjang Mohd. Arif, Encik Abdul Karim Selama, Chung Ah Kwee dan Tan Ah Yam. Tujuan utama penubuhan majlis mesyuarat ialah untuk membolehkan Kerajaan Negeri Perak mendapatkan pandangan serta nasihat demi memperbaiki keadaan kehidupan rakyat jelata. Malah majlis ini juga boleh disifatkan sebagai alat yang amat berkesan untuk mengatasi segala kesulitan dengan memperkenalkan perubahan-perubahan besar dari segi ekonomi dan sosial untuk faedah ramai. Sebelum tertubuhnya majlis mesyuarat ini, Sultan Yusof dan Raja Idris telah menimbulkan masalah keanggotaannya. Menurut mereka, keanggotaan majlis ini mestilah eksklusif dan terhad kepada Sultan, Raja Muda dan Residen Inggeris sahaja. Walaubagaimanapun cadangan ini telah ditolak dan apabila Majlis Mesyuarat Negeri Perak ditubuhkan, seramai 8 orang anggota telah dipilih. 4 darinya terdiri dari orang Melayu, 2 Cina dan 2 lagi berbangsa Inggeris. Dengan tertubuhnya Majlis Mesyuarat Negeri Perak pada hari ini, dalam tahun 1877 ia telah dapat memudahkan pentadbiran negeri Perak, di bawah sistem residen. Pihak Inggeris telah memperalatkan majlis ini bagi melindungi niat dan usaha campurtangan mereka dalam urusan pentadbiran negeri. Sultan pula masih tetap kehilangan kuasa mutlak walaupun ia terlibat secara langsung dalam majlis ini kerana kata pemutus mengenai perkara yang bercanggah masih lagi terletak di tangan gabenor.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:48 AM

YAYASAN ST. NICHOLAS

Jumaat
10/09/1926

Pada hari ini dalam tahun 1926, Yayasan St. Nicholas telah membina sebuah rumah bagi kanak-kanak cacat di Melaka.Ia adalah satu-satunya institusi yang menjalankan kegiatan seumpama itu dalam tempoh tersebut. Rumah St. Nicholas Melaka adalah rumah pertama bagi kanak-kanak cacat pernah dibuka di negara ini. Bertolak dari situ, bermulalah kegiatan kebajikan St. Nicholas seterusnya. Kanak-kanak yang di tempatkan di rumah itu terdiri daripada mereka yang cacat anggota dan cacat penglihatan. Pada tahun 1931, St. Nicholas berpindah ke Pulau Pinang, kegiatannya diperluaskan lagi apabila ia berpindah ke bangunan baru di Jalan Bagan Jermal, pada tahun 1938. Berikutan dengan itu matlamat utama St. Nicholas turut ditukar. Ia tidak lagi berkhidmat membantu kanak-kanak cacat secara umum, tetapi mengkhususkan perkhidmatan hanya kepada kanak-kanak buta. Pada tahun 1941, St. Nicholas telah membuka sebuah tadika dengan kumpulan pertama, 28 orang kanak-kanak buta. Pada tahun 1941 pula ‘Bengkel Berlindung’ bengkel kemahiran kerja tangan yang pertama bagi orang-orang buta telah dibuka. Yayasan St. Nicholas juga turut menyedari hakikat perlunya kanak-kanak buta diberi pelajaran yang sempurna. Untuk itu, kajian dibuat bagi membentuk satu kurikulum yang sesuai dengan keadaan tempatan. Usaha tersebut telah diakui oleh kerajaan dan pada tahun 1961, St. Nicholas telah dijadikan sekolah bantuan kerajaan. Manakala kegiatan St. Nicholas telah diperluaskan pula kepada kalangan belia dan orang-orang dewasa yang cacat penglihatan bermula sejak tahun 70-an. Bidang kegiatannya dan kemudahan yang diberi turut dipelbagaikan. Usaha-usaha kebajikan bagi kanak-kanak buta yang dipelopori oleh St. Nicholas, bermula dari hari ini dalam tahun 1926 telah menjadi cahaya yang menerangi mereka yang dalam kegelapan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:49 AM

PENUBUHAN PERGERAKAN PEMUDA SARAWAK

Isnin
10/09/1945

Pada hari ini dalam tahun 1945, Pergerakan Pemuda Sarawak telah ditubuhkan bertujuan menentang penyerahan Negeri Sarawak kepada pihak Inggeris oleh Raja Putih Ketiga Sarawak, Raja Sir Charles Vyner Brooke. Penubuhan pergerakan ini merupakan titik pertama ke arah perkembangan semangat nasionalisme di Sarawak. Berikutan penentangan ini, Raja Brooke, telah mengutuskan Setiausaha peribadinya untuk berunding dengan ketua-ketua bumiputera di Sarawak namun gagal mencapai sebarang persetujuan. Pada 15 Mei 1946, Rang Undang-undang Penyerahan atau ’Cession Bill’ telah dibentangkan dalam ’Council Negeri Sarawak’ dan diluluskan pada 17 Mei 1946. Maka pada 1 Julai 1946 Sarawak diisytiharkan sebagai jajahan takluk Inggeris. Pengisytiharkan penyerahan ini menyaksikan penentangan hebat dari seluruh rakyat Sarawak sehingga membawa kepada peristiwa pembunuhan Gabenor kedua Sarawak, Tuan Duncan George Stewart pada bulan Disember 1949 oleh Rosli Dobi, anggota ’Rukun 13’ yang bergabung di bawah Pergerakan Pemuda Sarawak.
Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:50 AM

JEPUN MENYERAH KALAH DI SARAWAK

Isnin
10/09/1945

Pada hari ini dalam tahun 1945, tentera Jepun di Sarawak menyerah kalah kepada pihak Berikat setelah menduduki negeri tersebut selama empat tahun. Penduduk Jepun di Sarawak bermula serentak dengan pendaratan tenteranya di Tanah Melayu. Tentera Jepun mula menawan bandar Miri pada 16 Disember 1941 dan seterusnya mengebom bandar Kuching yang mengakibatkan kemusnahan yang besar. Pada 24 Disember 1941, tentera Jepun mendarat dan menakluki bandar Kuching. Sarawak mengalami masalah kekurangan makanan serta lain-lain kesempitan hidup akibat dari pendudukan tentera Jepun ini. Sarawak bukan sahaja dibelenggu dengan penderitaan, kemiskinan dan keganasan tentera Japun malah pada pandangan penduduk tempatan, mereka melihat kejatuhan pengaruh British di negeri itu. Namun, dengan pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki oleh Pihak Berikat, Jepun terpaksa menyerah kalah di semua negeri yang didudukinya termasuk Sarawak.

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:51 AM

PEMBUKAAN RASMI JAMBATAN NURUDIN DI PERAK

Sabtu
10/09/1955

Pada hari ini dalam tahun 1955, Sultan Perak, Sultan Yussuf Izzudin, telah membuka dengan rasminya Jambatan Nurudin. Jambatan ini panjangnya 238.40 meter dan lebarnya 3.30 meter, dibina merentasi Sungai Perak untuk menghubungkan Mukim Belanja yang terletak 18 batu ke Selatan Kuala Kangsar. Sultan Perak menamakan jambatan ini sebagai Jambatan Nurudin bagi mengenang jasa dan bakti yang telah dibuat oleh Dato' Setia Nurudin terutama semasa berlakunya banjir besar pada tahun 1926. Pembesar-pembesaryang turut hadir dalam upacara ini ialah Menteri Kerja Raya, YB Encik Saadon bin Zubir, Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang dan seorang Penasihat British. Sesungguhnya dengan pembukaan jambatan ini akan memudahkan rakyat untuk menyeberangi Sungai Perak. Di samping itu juga akan dapat mengingatkan jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Dato' Setia Nurudin.


Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:51 AM

PERSIDANGAN SURUHANJAYA PADI ANTARABANGSA

Isnin
10/09/1962

Pada hari ini dalam tahun 1962, Menteri Pertanian dan Kerjasama, Encik Aziz Ishak telah merasmikan Persidangan Suruhanjaya Padi Antarabangsa di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.Dalam ucapan perasmiannya, Encik Aziz Ishak memberitahu bahawa Persekutuan Tanah Melayu berhasrat menambah hasil pengeluaran berasnya bagi memenuhi keperluan penduduk negara yang semakin bertambah.Pada masa yang sama kerajaan juga berusaha meninggikan lagi taraf hidup penanam padi.Perwakilan dari 15 buah negara telah hadir di persidangan Suruhanjaya Padi Antarabangsa ini. Antara negara-negara yang menghantar perwakilan ialah Australia, Amerika Syarikat, Britain, Itali, Jepun, Republik Rakyat Korea, Mexico, India, Ceylon dan negara-negara Asia. Tujuan persidangan ini adalah untuk membincangkan masalah pengeluaran hasil padi di peringkat negara dan antarabangsa. Antara perkara-perkara yang dibincangkan di persidangan ini ialah:
Kaedah penanaman benih padi dan kaedah pelaksanaan pembahagian benih serta peralatan yang berkaitan kepada para petani.
Penyelidikan makmal di Amerika Syarikat, Britain dan Jepun berkenaan ‘tanah terendam’ bagi penanaman padi.
Sistem pengairan yang lebih baik serta teknik tanaman yang dapat meningkatkan hasil dan mengurangkan kos pengeluaran.
Pembinaan kilang-kilang baja urea di Indonesia serta penyelidikan berkaitan dengan penggunaannya.
Kempen-kempen bagi memusnahkan serangga serta makhluk perosak padi dan penyelidikan tentang kesan-kesan ubat-ubat tersebut pada tanah dan tanaman.
Persidangan Suruhanjaya Padi Antarabangsa yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1962, telah dapat memberi peluang kepada perwakilan berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam usaha mencari jalan meningkatkan pengeluaran serta mutu hasil padi di peringkat negara dan antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:52 AM

PENGISYTIHARAN DARURAT DILULUSKAN

Khamis
10/09/1964

Pada hari ini dalam tahun 1964, pengisytiharan darurat diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat. Usul yang dibawa oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Malaysia ini adalah menekankan mengenai keselamatan negara dan rakyat disamping menghapuskan musuh-musuh negara. Berikutan itu, Dewan Negara juga turut meluluskan sebulat suara Rang Undang-undang Darurat (Kuasa Terpenting) untuk memberi segala kuasa yang diwajibkan kepada kerajaan bagi memelihara ketenteraman umum dan keselamatan negara. Usul kepada rang undang-undang ini telah dibentangkan oleh YB Dato T. H. Tan, Senator.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:53 AM

PERSIDANGAN ANTARABANGSA KEJURUTERAAN PERTANIAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Isnin
10/09/1979

Pada hari ini dalam tahun 1979, Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Pertanian Dalam Pembangunan Negara telah berlangsung di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan dirasmikan oleh YB Datuk Musa Hitam, Menteri Pelajaran. Persidangan ini dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Pertanian UPM bersempena dengan kelahiran kumpulan pertama graduan Bachelor Kejuruteraan Pertanian yang menerima ijazah masing-masing dalam Konvokesyen ke-3 UPM. Fakulti Kejuruteraan Pertanian yang ditubuhkan dalam tahun 1975 mencatat sejarah penting dengan kelahiran graduan pertamanya dan juga graduan Kejuruteraan Pertanian yang terulung di negara ini. Persidangan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Pertanian tersebut dimulakan dengan ucapan dasar oleh Datuk Arshad Ayub, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan diikuti pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar kejuruteraan pertanian asing dan tempatan. Dengan berlangsungnya Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Pertanian ini telah memberi harapan besar kepada perkembangan dan kemajuan pertanian di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:54 AM

PENGUMUMAN PENUBUHAN IBU PEJABAT WILAYAH KERAJAAN PUSAT

Khamis
10/09/1981

Pada hari ini dalam tahun 1981, Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Musa bin Hitam, mengumumkan penubuhan Ibu Pejabat Wilayah di setiap jabatan dan agensi kerajaan bertujuan memperhebatkan lagi perlaksanaan projek-projek pembangunan secara bersepadu meliputi semua kawasan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak Utara. Antara tugas utamanya adalah untuk merancang dan menyelaras segala aspek pembangunan di bawah arahan kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri-negeri berkenaan. Sebagai langkah permulaan, Jabatan Kerja Raya akan menubuhkan ibu pejabat wilayahnya di Pulau Pinang. Ini akan diikuti oleh agensi-agensi kerajaan lain. Datuk Musa Hitam juga meminta kerajaan negeri menyelaras bidang tugas ahli-ahli Exco dengan para Menteri kabinet dalam segala aspek di peringkat negeri dan persekutuan. Dengan penubuhan ibu pejabat wilayah kerajaan pusat, diharapkan semua projek pembangunan kerajaan dapat dijalankan dan faedahnya dinikmati oleh semua kaum di negara ini.


Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:55 AM

PERDANA MENTERI RASMI INSTITUT MALAYSIA-PERANCIS (MFI)

Selasa
10/09/2002

Pada hari ini dalam tahun 2002,Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah merasmikan Institut Malaysia-Perancis di Bangi, Selangor.Institut ini ditubuhkan menerusi kerjasama kerajaan Malaysia yang diwakili MARA dengan Kerajaan Perancis menerusi wakilnya, Boccard/AFPI dalam Rancangan Malaysia Keenam.Projek usahasama ini dimeterai melalui satu perjanjian protokol pada 15 Disember 1992 diikuti perjanjian latihan pada 31 Disember 1993. Institut ini ditubuhkan bertujuan meningkatkan lagi kemahiran Bumiputra khususnya dalam bidang kejuruteraan ketepatan tinggi. Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan, Bumiputra perlu berusaha mengejar ilmu serta kemahiran dalam usaha meletakkan bumiputra dalam bidang yang memerlukan kecekapan mekanikal atau teknikal untuk berjaya pada masa akan datang dan bersaing dalam dunia tanpa sempadan.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:55 AM

PENGADIL MALAYSIA PERTAMA MENGADILI FUTSAL PIALA DUNIA

Rabu
10/09/2008

ada hari ini dalam tahun 2008, seorang pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia, Badrul Hisham Kalam mencipta sejarah apabila menjadi pengadil pertama dari Malaysia yang dipilih bertugas dalam Kejohanan Futsal Piala Dunia anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Brazil. Sebagai salah seorang pengadil elit futsal Asia, beliau menjalankan tanggungjawabnya sepanjang kejohanan dari 30 September hingga 19 Oktober. Badrul Hisham berlepas ke Brazil pada 20 September 2008. Selain mengadili perlawanan, beliau juga mengikuti seminar persediaan pra kejohanan dari 22 hingga 27 September 2008 dan ujian kecergasan pada 24 September 2008 sempena kejohanan tersebut. Badrul Hisham juga berpengalaman mengadili pusingan akhir Kejohanan Futsal Asia di Tashkent, Uzbekistan dan Osaka, Jepun; Sukan Dalam Dewan Asia Kedua di Macau, China dan Sukan SEA Korat selain Kejohanan Futsal AFF di Bangkok, Thailand.

Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:56 AM

MAJLIS PEMBUKAAN FASA 1 LEBUHRAYA SENAI – PASIR GUDANG –DESARU (E22)

Khamis
10/09/2009

Pada hari ini dalam tahun 2009, YB. Menteri Kerja Raya Malaysia, YB. Dato’ Shaziman bin Hj. Abu Mansor, menyempurnakan Majlis Pembukaan Lebuhraya Senai-Pasir Gudang-Desaru Fasa 1 dari Senai hingga Pasir Gudang. Lebuhraya E22 dibina bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik di Lebuhraya Pasir Gudang. Projek penswastaan lebuhraya E22 sepanjang 77 km ini dibina melalui konsep build-operate-transfer (BOT) dan akan beroperasi secara sistem tol tertutup. Keseluruhan lebuh raya ini merupakan jajaran baru dan kerja-kerja pembinaannya telah dimulakan pada 18 Julai 2005. Bagi memastikan keselesaan kepada penduduk, Lebuhraya E22 ini telah dilengkapi dengan noise barriers untuk mengurangkan kesan bunyi aliran trafik kepada penduduk kawasan perumahan berhampiran. Pembukaan Fasa 1 Lebuhraya E22 ini menyaksikan pembukaan satu lagi projek infrastruktur yang cukup signifikan dan amat bermakna untuk pengguna lebuh raya terutamanya di selatan tanah air ini.

Skrip: Aliza Minai Rajab / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinot7 Publish time 10-9-2021 12:57 AM

WACANA ISU SEMASA: PRIHATIN MESIR

Selasa
10/09/2013

Pada tanggal 10 September 2013, Program Wacana Isu Semasa: Prihatin Mesir telah diadakan di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Program ini merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM). Forum Khas Prihatin Mesir membariskan penceramah terkenal tanahair sebagai panel iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi dan Ustaz Mohd Faisal Ashaari (Pusat Islam, UKM) manakala moderatornya adalah Ustaz Hj Syafiq Zulakifl dari IKIM. Forum hampir dua jam ini membincangkan berkenaan pergolakan dan punca sebenar krisis di Mesir. Ia telah berjaya menjentik kesedaran kepada penonton akan peranan sebenar yang perlu dimainkan dan kesatuan yang perlu digemblengkan bukan sekadar melihat dan simpati semata-mata. Tabung Prihatin Mesir yang dilancarkan berjaya mengutip sebanyak RM2,930.00 dan akan diserahkan kepada wakil ILMAM di Mesir untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia
Pages: [1]
View full version: Hari ini dalam sejarah: 10 September


ADVERTISEMENT