Raline Publish time 2-9-2021 10:52 PM

Elak kejang, sembelit berterusan

Elak kejang, sembelit berterusan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2021-08-31_20-41-28_1630534241.jpg
PERLU tegangkan kaki untuk kurangkan kesakitan atau atasi masalah kejang.

Sebaik memperkatakan berkenaan kehamilan, perkara yang sering dikaitkan ialah alahan atau 'mabuk.'

Pada masa sama, wanita yang hamil atau berpantang selepas melahirkan bayi selalunya tidak lari dengan dua masalah kesihatan iaitu sembelit dan kekejangan pada bahagian kaki.

Menurut Pengasas dan Penasihat Kehamilan Love Connections, Roslaila Puspa Deraman, wanita hamil dan berpantang kebanyakannya lebih mengambil kira perubahan fizikal bentuk badan berbanding masalah sembelit dan kekejangan yang dihadapi mereka.

Wanita berusia 53 tahun yang turut mempunyai pengalaman lebih 30 tahun mengendalikan hal berkait penjagaan kesihatan dan kecantikan ibu itu melihat ramai wanita bersikap tidak cakna dengan dua masalah berkenaan.

"Dalam menempuh pengalaman mengujakan sebagai ibu, setiap wanita hamil tidak hanya berhadapan dengan perubahan fizikal bentuk badan dan hormon semata-mata malah turut berhadapan dengan beberapa masalah kesihatan.

"Dua masalah kesihatan utama yang sering terjadi namun jarang diberi perhatian adalah sembelit dan kekejangan kaki yang mana memberi kesan terhadap kualiti kesihatan ibu itu sendiri.

"Meskipun masalah itu dianggap ringan namun jika dialami terutama ketika sedang berpantang akan memberi kesan kepada kualiti kesihatan dan kesejahteraan wanita terbabit.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2021-08-31_20-41-17_1630534244.jpg
TRIMESTER kedua antara fasa mencabar apabila ibu mengandung ketika ini menghadapi masalah kejang kaki.

"Ini termasuk memberi kesan kepada emosi dan jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjadi punca kepada masalah kesihatan lebih rumit termasuklah 'meroyan," katanya.

Mengulas mengenai masalah sembelit, katanya yang turut mempunyai pengalaman sendiri hasil melahirkan lima cahaya mata menyifatkan masalah sembelit terjadi disebabkan beberapa faktor.

"Masalah sembelit yang kerap berlaku seawal tempoh hamil sehinggalah kepada berpantang, penjelasan yang mudah adalah perubahan hormon.

"Malah kajian terutama membabitkan jurnal kesihatan menjelaskan sembelit dialami ibu hamil disebabkan perubahan hormon dan tekanan dari rahim yang menekan usus. Mereka akan mengalami kesukaran membuang air besar terutama ketika melewati trimester pertama kehamilan.

"Ditambah pula andai ibu itu mengambil suplemen zat besi, dia akan sukar membuang air besar ketika hamil. Ini akan membuatkan ibu sedikit tertekan dan terganggu. Faktor lain iaitu toksin tidak dapat keluar dengan baik dan boleh menjadi punca rasa tidak selesa," katanya.

Tambah Roslaila Puspa lagi, dalam tempoh wanita berpantang iaitu dua minggu pertama antara paling kerap berlaku sembelit kerana tindakan wanita berkenaan mengelak untuk hadkan pengambilan air.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2021-08-31_20-41-41_1630534246.jpg

BANYAKKAN minum air.
"Dalam tempoh berpantang, memang ada petua atau mak bidan dahulu pesan ketika berpantang jangan minum air banyak kerana takut peranakan atau ari-ari kembang.

"Alasan lain, wanita berpantang sengaja mengelak minum air kerana bimbang dengan kesan luka jahitan selepas bersalin dan tidak mahu kerap ke tandas.

"Sedangkan ibu yang berpantang perlu dapatkan nutrien penting termasuklah air mencukupi bagi membolehkan mereka sihat dan menjaga bayi dengan baik.

"Saranan pakar iaitu pengambilan air sebaik-baiknya lapan gelas sehari selain mengambil sumber permakanan penting seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang mempunyai serat tinggi," katanya.

Berkongsi amalan dirinya, ketika berpantang, Roslaila Puspa mengakui dia banyak makan ulam pegaga sementara akar dan batang pula direbus untuk dijadikan minuman herba.

Malah katanya, mengabaikan masalah sembelit boleh menyebabkan risiko pembengkakan pada pembuluh darah.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2021-08-31_20-41-48_1630534239.jpg

TINDAKAN perlu diambil ibu berpantang untuk atasi gejala lebih buruk, termasuk meroyan.
Bagi masalah kejang kaki pula kata pakar kehamilan itu, ibu hamil kerap hadapi masalah itu pada tengah malam terutama apabila kehamilan mereka di trimester kedua.

"Kejang ini berlaku apabila usia kandungan semakin membesar iaitu pada tempoh mula menginjak 13 hingga 28 minggu. Waktu ini perubahan pada tubuh ibu lebih ketara dan bayi dalam kandungan semakin membesar.

"Dengan perubahan itu bermakna ada beban tambahan buat si ibu perlu tampung dan membuatkan otot menjadi tegang. Lebih ketara bagi wanita yang melakukan kerja perlu berdiri dalam tempoh lama seperti juruwang atau guru.

"Berbanding mereka berdiri statik, mungkin selangkan dengan pergerakan kaki kecil selain kedudukan kaki ditinggikan dari aras badan ketika tidur membantu mengurangkan kesakitan.

"Jika kesakitan berlarutan membabitkan organ lain seperti perut selain disusuli bengkak serius pada kaki dan tangan, sebaiknya dapatkan nasihat doktor untuk mengurangkan komplikasi berkenaan," katanya.

Boleh juga lakukan aktiviti tuam panas pada belakang peha dan lutut atau bahagian kaki untuk bantu tingkatkan aliran darah.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Screen_Shot_2021-08-31_at_8.41.05_PM_1630534249.jpg
BERTUNGKU antara kaedah tradisi bantu pengaliran darah dan kurangkan masalah kejang.

Kata Roslaila Puspa, bertungku ketika berpantang juga adalah amalan baik dapat mengelakkan wanita mengalami masalah kejang kaki atau bahagian perut.

"Saya selalu nasihat kepada wanita yang hamil dan berpantang supaya mereka patuh dengan amalan berpantang kerana ia membantu pemulihan dengan baik.

"Setiap wanita perlu sedar badan tiada 'spare part' (alat ganti) yang boleh dijaga untuk nikmati kualiti hidup terutama dalam membesarkan anak dan menjalankan tanggungjawab kepada pasangan," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Pages: [1]
View full version: Elak kejang, sembelit berterusan