xpdckelate Publish time 28-8-2021 06:56 AM

Murai batu 'naik' bas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm163murai_1630104309.jpg
PENGUAT kuasa Perhilitan memeriksa bas ekspres yang ditahan di Pekan Sungai Tong, Setiu.

Kuala Lumpur: Guna perkhidmatan bas ekspres untuk menyeludup berpuluh ekor burung murai batu yang dipercayai mahu dijual di negara jiran.

Kegiatan jenayah hidupan liar dilindungi itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas lima anggota penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan sebuah bas ekspres di Pekan Sungai Tong, Setiu, Terengganu.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap kegiatan penyeludupan burung murai batu sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, bas eskpres ditahan pada jam 12.20 tengah malam semalam sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

"Perhilitan menemui 12 bekas plastik disembunyikan di dalam ruangan dekat tangki minyak bas dua tingkat berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 89 burung murai batu disumbatkan di dalam semua bekas plastik itu. Susulan itu Perhilitan menahan dua lelaki tempatan berusia 39 dan 41 tahun yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan itu," katanya.

Menurutnya, tindakan menyimpan burung murai batu yang juga hidupan liar dilindungi boleh didakwa mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, antara spesies burung tempatan lain yang popular dan menjadi sasaran penyeludupan adalah, serindit, kelicap kunyit, burung daun, burung sun wu, burung hua mei, burung kakak tua dan barau-barau.

Taktik menyeludup burung murai batu menggunakan bas ekspres turut pernah dibongkar apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor menggagalkan cubaan menyeludup13 ayam laga dan 66 murai batu di Terminal Bas Larkin, Johor.

Pegawai Spad yang menyamar sebagai penumpang dan menaiki bas ekspres dari Kota Bharu menyedari cubaan menyeludup haiwan itu sebelum memaklumkan kepada pegawai JPV Johor.

Selain itu, pihak berkuasa Singapura turut pernah menggagalkan cubaan menyeludup 815 burung yang disembunyikan di dalam bas ekspres dari Malaysia yang melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

HMetro

xpdckelate Publish time 28-8-2021 06:57 AM

menyeksa binatang je
Pages: [1]
View full version: Murai batu 'naik' bas


ADVERTISEMENT