R2D2 Publish time 24-8-2021 12:16 PM

Jepun, negara bersih. Sangat sikit tong sampah disediakan ditempat awam

Bersih tanpa tong sampah!
Siti Hajar Bidin

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0823rsjapan_1629756919.jpg

Negara Jepun dikenali sebagai antara negara yang tercantik dan terbersih di dunia.

Untuk mengekalkan kebersihan dan kecantikan negara mereka, usaha yang dilakukan adalah dari segenap lapisan masyarakat dan dilakukan secara berterusan sejak sekian lama.

Masyarakat Jepun terkenal dengan tahap disiplin diri yang tinggi. Sikap ini dikatakan dipengaruhi oleh kepercayaan agama Shinto yang wujud di Jepun sejak dari awal kurun ke-8.

Kesedaran menerapkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun bermula dalam tempoh pasca perang. Ketika itu sampah begitu banyak disebabkan kepesatan pembangunan ekonomi dan bilangan penduduk yang bertambah. Pengurusan sampah di Jepun bukan sekadar proses pengumpulannya yang teratur, tetapi juga proses untuk mengurangkan sisa sampah melalui proses kitar semula. Pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan Jepun dan pelbagai dasar dan undang-undang dibentuk untuk menguruskan sampah dan menjaga alam sekitar.

Kini, Jepun menjadi antara negara terbaik dalam proses pengurusan sampah dan kitar semula.

Walaupun Jepun sebuah negara yang besar namun kawasan di Jepun yang sesuai dijadikan kawasan kediaman, pertanian dan menjalankan kegiatan ekonomi hanya sekitar 30 peratus sahaja. Ini kerana bentuk muka bumi Jepun yang bergunung-ganang dan berhutan tidak sesuai untuk dijadikan kawasan kediaman dan sebagainya. Disebabkan kawasan yang terhad, Jepun terpaksa mengambil pelbagai langkah dalam menguruskan sampah yang dihasilkan.

Proses kitar semula sangat penting bagi Jepun kerana mereka dapat mengurangkan penghasilan sampah. Jika sampah tidak diuruskan dengan baik, tapak pelupusan sampah akan bertambah. Disebabkan kawasan yang boleh dijadikan tempat tinggal dan menjalankan kegiatan pertanian serta kegiatan ekonomi hanyalah sekitar 30 peratus, mereka perlu menjaga kawasan yang ada dengan sebaiknya demi kelestarian negara Jepun untuk tempoh masa yang panjang.

Melalui aktiviti kitar semula, penghasilan sampah dapat dikurangkan. Bahkan pengurusan yang baik terhadap sampah yang dihasilkan menjadikan Jepun bersih sehinggakan ikan-ikan pun mampu hidup dengan sihat di dalam longkang di Jepun.

Keberkesanan proses kitar semula di Jepun antaranya disebabkan sikap orang Jepun itu sendiri. Di Jepun, budaya mereka lebih memihak kepada komuniti berbanding individu.

Oleh itu, sikap mereka lebih cenderung kepada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan saling membantu agar mereka dapat hidup dalam suasana lebih baik.

Walaupun Jepun adalah sebuah negara yang bersih, uniknya sangat sedikit tong sampah yang disediakan di tempat awam.

Orang Jepun biasanya akan membawa beg plastik bersama-sama mereka apabila mereka keluar rumah. Beg plastik ini akan digunakan untuk menyimpan sampah yang mereka hasilkan ketika di luar. Sampah ini dibawa pulang dan dibuang ketika mereka sampai di rumah atau di tempat kerja.

Proses kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun, bukan sahaja dilakukan badan berwajib, bahkan ia dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat.

Pengasingan sampah bermula dari setiap rumah di Jepun lagi. Setiap isi rumah bertanggungjawab dalam pengasingan sampah. Sampah yang tidak diasingkan dengan sempurna tidak akan diuruskan pihak yang berwajib.

Jadual kutipan sampah juga akan mengikut kategori tertentu. Sampah dari setiap rumah perlu dibuang mengikut kategori pada hari yang ditetapkan.

Selain itu, sampah yang besar seperti perabot atau barang elektrik yang rosak tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya. Untuk membuang atau melupuskan sampah yang besar seperti ini, mereka perlu membayar sejumlah wang untuk proses pelupusannya.

Demi menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan kejiranan mereka yang dianggap sebagai tanggungjawab bersama, orang Jepun menuruti setiap peraturan yang dikeluarkan dalam hal pengurusan sampah mereka.

Walaupun Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah berakhir namun kehangatannya masih lagi terasa. Setiap negara dan atlet berusaha memenangi 5,000 medal yang dipertandingkan.

Tahukah anda medal ini dihasilkan melalui proses kitar semula? Medal Sukan Olimpik Tokyo 2020 dihasilkan dengan menggunakan telefon bimbit dan barangan elektronik terpakai yang dikitar semula hasil sumbangan masyarakat Jepun. Jepun mengambil masa dua tahun mengumpulkan enam juta telefon bimbit terpakai dan 158 juta barangan elektronik terpakai untuk menghasilkan medal yang dipertandingkan.

Menurut laporan media tempatan, keseluruhannya sebanyak 80,000 tan bahan kitar semula itu digunakan untuk menghasilkan 5,000 medal yang dipertandingkan. Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menerusi laman Facebooknya memaklumkan kempen kitar semula yang melibatkan Projek Pingat Tokyo 2020 ini menghasilkan 32 kilogram emas, 3,492.7 kilogram perak dan 2,199 kilogram gangsa.

Selain keunikan pingat yang dihasilkan, Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut memberikan keunikan tersendiri dengan menghasilkan katil atlet yang diperbuat daripada kadbod yang dikitar semula. Tujuannya bukan sahaja untuk mengurangkan penggunaan bahan, tetapi juga dengan tujuan kelestarian agar katil-katil ini mudah untuk dikitar semula selepas daripada acara ini berlangsung.

Manakala tilam untuk atlet pula adalah dalam bentuk politilina, yang mana ia boleh digunakan semula untuk produk plastik selepas berakhirnya Sukan Olimpik ini. Bukan itu sahaja, bahkan obor dan pentas Sukan Olimpik Tokyo turut dihasilkan daripada bahan kitar semula. Obor Sukan Olimpik dihasilkan daripada sisa aluminium manakala pentas olimpik pula dihasilkan daripada sisa barangan rumah dan plastik marin.

Kita seharusnya mencontohi kelebihan Jepun dalam perkara seperti ini demi kelestarian alam di bumi Malaysia yang kita cintai. Mahukah kita mewarisi anak cucu kita nanti dengan sampah yang tidak mampu ditampung lagi serta sungai-sungai dan laut yang sudah tercemar? Jika kita tidak mahu, langkah-langkah yang sepatutnya kita ambil perlulah bermula dari sekarang.

Penulis Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Disiarkan pada: Ogos 24, 2021 @ 6:15am
Pages: [1]
View full version: Jepun, negara bersih. Sangat sikit tong sampah disediakan ditempat awam


ADVERTISEMENT