xpdckelate Publish time 24-8-2021 07:27 AM

Rindu nak 'terbang' semula

Kuala Lumpur: Meredah langit biru sambil mengendalikan pesawat pastinya menjadi rutin yang paling dirindui kebanyakan juruterbang ketika ini, selepas hampir dua tahun 'patah sayap' dan menyaksikan sektor penerbangan berehat seketika susulan pandemik Covid-19.

Bagi juruterbang Air Asia, Safia Anisa Abu Bakar, 24, 'kebebasan' meneroka ruang udara sebelum ini dengan lebih 80 jam penerbangan sebulan ke pelbagai destinasi, bagaikan diragut akibat 'penjajahan' dilakukan oleh virus pembunuh itu yang mengorbankan lebih berjuta nyawa di seluruh dunia.

Untuk itu, sempena Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini, Safia mengharapkan ada sinar di hujung terowong dan negara akan segera bebas daripada cengkaman jajahan virus Covid-19.

"Jika dahulu kita dijajah secara fizikal dan kita nampak musuh yang menyerang, tetapi musuh yang hadapi kali ini, kita tidak nampak. 'Penjajah' ini lebih kejam…membunuh tanpa belas ihsan terhadap sesiapa sahaja yang alpa, menyebabkan rakyat menderita dan terpaksa berkurung bagi mengelak dijangkiti.

"Sudah tentu sebagai juruterbang, saya merindui saat negara kita bebas daripada 'penjajahan alaf baru' ini. Saya rindukan saat bangun dan bersiap seawal pagi untuk bersedia dengan penerbangan seterusnya kerana setiap satu pengalaman yang dialami berbeza.

"Sejujurnya, saya tidak sabar untuk menantikan hari tersebut tiba (memandu kapal terbang semula). Sangat menyedihkan melihat wabak ini meragut banyak nyawa serta memberi kesan kepada rakyat yang perlu bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya kepada Bernama.

Mengimbau semula detik ketika terpaksa menggantung pakaian seragam buat sementara waktu, beliau yang menyertai syarikat penerbangan itu pada 2017, pernah berasa tertekan dan kemurungan sebelum kembali bangkit dan menyara keluarga dengan bekerja sebagai barista.

"Bekerja sebagai barista selama 10 bulan berjaya membuat saya 'lari' daripada perasaan dan fikiran negatif selain memberi peluang meluangkan masa berharga bersama keluarga," katanya yang kini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/24hm04ra2_1629759657.jpg
MALCOLM bergambar bersama sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2). FOTO BERNAMA

Gadis berasal dari Shah Alam itu juga kekal berfikiran positif dan yakin sektor penerbangan akan kembali bersinar semula dengan usaha tanpa jemu yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan negara.

Turut berkongsi perasaan serupa juruterbang AirAsia X, Malcolm Brian Patrick, 28, yang tidak sabar untuk kembali beraksi di udara bersama rakan sekerja yang lain.

"Kita semua mahu kembali kepada rutin seperti sediakala seperti sebelum pandemik melanda, semuanya bebas ketika itu.

"Suasana bulan kemerdekaan sebelum Covid-19 melanda juga meriah dengan penerbangan tambahan bagi menampung permintaan pada musim cuti, tetapi situasi seperti itu sudah dua tahun berturut-turut tidak berlaku," katanya.

Prihatin dengan situasi semasa, Malcolm kini aktif membantu rakan sekerja yang terkesan dari segi emosi dan psikologi akibat wabak itu dengan memberi khidmat nasihat serta sokongan mental melalui program Allstar Peer Supporter.

Jelasnya sejak program yang diasaskan pada 2014 digerakkan semula Jun tahun lalu, beliau bersama sembilan lagi rakan setugas yang bertindak sebagai pelatih, membantu memberi sokongan emosi lebih 500 rakan sekerja yang terjejas sumber pendapatan dan hilang pekerjaan.

Katanya, pekerja dari sektor itu tidak kira sama ada juruterbang, kru penerbangan bahkan pihak pengurusan menjadi satu keluarga besar yang sentiasa bersama memerangi pandemik itu walaupun ada dalam kalangan mereka beralih arah ke bidang lain untuk mencari rezeki buat sementara waktu.

"Kita belum menang dalam 'peperangan' ini, tetapi kita perlu kuat dan bersatu selain prihatin sesama kita. Hanya dengan cara itu dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dapat mengelak penularan jangkitan, sekali gus menjadi 'senjata' penting untuk kita terus bertahan," katanya.

HMetro

xpdckelate Publish time 24-8-2021 07:29 AM

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/24hm04ra1_1629759655.jpg
SAFIA Anisa (kiri) bersama rakan sekerja ketika bertugas sekitar 2019 sebelum penularan Covid-19 yang menyebabkan aktiviti industri penerbangan terencat. FOTO BERNAMA

tupaiterbang Publish time 27-8-2021 04:05 PM


Semua orang pun rindu la nak bebas ke sana sini..bukan pilot je kot

:lol:

mijot Publish time 28-8-2021 10:19 AM

semua nak bebas ke mana2 saja...
hidup tanpa sekatan.

kakigojes Publish time 28-8-2021 02:48 PM

mijot replied at 28-8-2021 10:19 AM
semua nak bebas ke mana2 saja...
hidup tanpa sekatan.

Ya betul, setuju. Paling rindu keluar tanpa mask, double mask, face shield, sanitize tangan, balik rumah mandi…

AverageJoe Publish time 28-8-2021 04:32 PM

relax jangan emo sangat semua
tau semua orang pun rindu nak bebas ke sana ke sini.
cuma pilot pun antara karier yang terjejas teruk periuk nasi diorang sebab pandemik ni.
sesetengah orang masih bernasib baik lagi karier & pendapatan tak terjejas.
as for me walaupun bukanlah seorang pilot tapi antara yang hilang kerja juga.
selama ni duk terbiasa dengan rutin harian suddenly change 360d.
semoga kehidupan untuk kita bertambah baik selepas ni especially bila majoriti penduduk dah divaksin nanti

imanjannah Publish time 28-8-2021 09:30 PM

ye.. covid memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan semua orang, kehilangan yg tersayang, kehilangan pekerjaan, kehilangan kebebasan.. pelbagai lagi kehilangan yg lain :(:(:(
Pages: [1]
View full version: Rindu nak 'terbang' semula


ADVERTISEMENT