Raline Publish time 17-8-2021 10:19 PM

Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh, Ipoh

Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh, Ipoh



Ada satu kisah tragik yang semakin dilupakan hari ini yang melanda negeri Perak. Pada waktu malam yang dingin bertarikh 18 Oktober 1973 ketika hujan lebat membasahi tanah di bumi Kampung Kacang Putih.

Kampung Kacang Putih ini adalah sebuah kampung yang terletak di Gunung Cheroh, Ipoh. Pada waktu itu, hujan turun dengan kerap dan lebatnya setiap minggu mungkin kerana musim hujan monsun yang melanda negara kita.

Pada waktu itu, sambutan deepavali akan menjelma dalam seminggu lagi, ada juga sesetengah penduduk kaum India disana terutamanya tidak berada di kawasan kampung kerana sibuk ke bandar untuk membeli barangan persiapan untuk sempena sambutan deepavali yang bakal menjelma.

Ada juga segelintir daripada mereka yang hanya duduk di dalam rumah tidak kemana-mana kerana hujan turun dengan lebatnya sepanjang minggu.
Keheningan malam yang didendangkan bunyi hujan lebat itu tiba-tiba digemparkan dengan satu tragedi yang amat dasyat dan tidak mungkin akan dapat dilupakan oleh waris mangsa.

Pada malam yang malang itu, dengan tiba-tiba sahaja satu bunyi aneh yang amat kuat dapat didengar oleh penduduk setempat. Bunyinya yang kuat dengan bergema-gema itu amat menakutkan seumpama sesuatu telah jatuh dari langit untuk menghentam bumi.
Jam menunjukkan lebih kurang pukul 9 malam. Ramai penduduk yang ada di kediaman mereka meninjau keadaan diluar rumah untuk mencari-cari punca bunyi kuat yang amat menakutkan itu.

Situasi mereka yang berdebar-debar dan bingung dengan keadaan yang sedang mereka hadapi itu? Kami sendiri tidak dapat kami gambarkan kegusaran dalam hati jika berada di tempat mereka.

Tanpa diduga, malam yang sepi ditemani hujan lebat di Kampung Kacang Putih bertukar jadi malam yang penuh bala petaka. Bunyi aneh bergema dan dentuman yang amat seram mereka dengarkan tadi sebenarnya adalah Gunung Cheroh yang sedang runtuh.
Runtuhan Gunung Cheroh melanda Kampung Kacang Putih dan dalam sekelip mata telah memusnahkan 20 biji rumah, kedai-kedai, kandang ternakan lembu dan kambung.

Serpihan runtuhan Gunung Cheroh terdiri daripada bongkah-bongkah batu kapur pelbagai saiz. Ada yang bersaiz kecil dan ada juga satu daripadanya punyai saiz gergasi seberat melebihi berpuluh-puluh tan.

Lantas mereka yang tidak terkena runtuhan terus pergi memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang dihempap oleh runtuhan Gunung Cheroh tersebut. Ada yang cedera parah dan ada juga yang mati di tempat kejadian.



Penduduk setempat yang datang menghulurkan bantuan cuba menggali tanah untuk membantu mereka yang terperangkap dibawah runtuhan sementara menunggu bantuan bomba dan pasukan penyelamat sampai.

Operasi mencari dan menyelamat disertai lebih 500 orang termasuk daripada beberapa pertubuhan sukarela. Sedihnya pada waktu itu melihat keadaan mangsa yang dikeluarkan. Ada yang tinggal cebisan daging, ada yang hilang anggota badan dan ada yang berkecai.

Mereka yang terselamat di dalam runtuhan tersebut terus dibawa terus ke Hospital Besar Ipoh (HBI) yang mana hari ini dikenali dengan nama Hospital Raja Permaisuri Bainun. Menteri Besar Perak pada waktu itu adalah Datuk Seri Kamaruddin Isa.

Beliau juga turut turun ke kawasan nahas pada jam 3 pagi beberapa jam selepas kejadian berlaku. Datuk Seri Kamaruddin Isa dikatakan bergegas pulang dari Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan tragedi berkenaan.



Operasi menyelamat dihentikan beberapa jam selepas matahari menjelma mendekati tengah hari. Pasukan penyelamat mengambil keputusan untuk menghentikan gerakan mencari dan menyelamat lantas mereka terpaksa membiarkan mayat yang belum ditemui terus berada di bawah batu yang bersaiz gergasi berkenaan.

Terdapat kira-kira 12 mayat ditemui selepas usaha mencari gali dan dipercayai kira-kira terdapat 30 lagi mayat yang sebahagian besarnya kaum India masih lagi tertanam di bawah runtuhan batu besar tersebut dan mayat mereka masih gagal untuk dibawa keluar sehingga ke hari ini. Tragedi ini adalah antara yang paling tragik yang pernah berlaku di dalam negara kita.

Berikutan dengan kejadian yang malang ini, kerajaan negeri Perak telah memutuskan untuk memindahkan 120 penduduk yang masih tinggal di Kampung Kacang Putih pada waktu itu ke tempat lain selepas menyedari yang lokasi itu tidak lagi selamat untuk diduduki. Kebanyakan daripada mereka berpindah ke kawasan penempatan baru di Buntong, Ipoh dan nama Kampung Kacang Putih dikekalkan.

Walaupun sudah 44 tahun tragedi hitam ini berlalu, dikatakan bongkah batu besar yang masih ada dalam kedudukan asalnya sejak kejadian runtuhan itu berlaku dan menjadi sebagai batu peringatan untuk memperingati kisah tragedi yang melanda kawasan tersebut lantas menjadi batu nisan buat puluhan mayat yang dihempap mati dan berada dibawahnya.




Sumber Freddie Aziz Jasbindar
#PeristiwaNSejarah


pearl.silver Publish time 17-8-2021 11:02 PM

Oh mai.. Ada x pengkaji paranormal gi kat tapak runtuhsn ni skang..
Haritu i tgk yg runtuhan kat hiway gua tempurung tu..
Dan baru i tahu bole nmpk sebahagian hiway lama tu. Selama ni ulang alik hiway tu xperasan..

vee_zara Publish time 17-8-2021 11:19 PM

pearl.silver replied at 17-8-2021 11:02 PM
Oh mai.. Ada x pengkaji paranormal gi kat tapak runtuhsn ni skang..
Haritu i tgk yg runtuhan kat hi ...

Seram la highway lama tu. Lagi banyak cite angker tau. Kat sini takde abam2 lori ke leh kongsi citer.

husie91 Publish time 17-8-2021 11:54 PM

Kiranya batu tu still tkleh angkat smpai skrg la eh? Masih ada ditempat yg sama.. kalau angkat agknya ada la tulang3 mangsa yg terkorban tu yee

pearl.silver Publish time 18-8-2021 12:13 AM

husie91 replied at 17-8-2021 11:54 PM
Kiranya batu tu still tkleh angkat smpai skrg la eh? Masih ada ditempat yg sama.. kalau angkat agkny ...

Skang teknologi dah canggih, xda ke sapa2 nk alih batu2 tu, kutip balik tulang2 depa dan buat proper upacara pengebumian sebagai tanda penghormatan.

oggy Publish time 18-8-2021 01:51 AM

What a tragedy..

Lengkong Publish time 18-8-2021 06:15 AM

Ngeri pulak baca mayat tak boleh dikeluarkan. Terfikir pulak apa jadi di kawasan tu sekarang ni.


None68 Publish time 18-8-2021 06:48 AM

Haa ye apa jadi kat tempat tu sekarang agaknya?

imanjannah Publish time 18-8-2021 07:44 AM

perak mmg byk sgt gunung batu kapur.. tq tt, baru tahu sejarah ni.. ngeri membacanya..

fatinandreanna Publish time 18-8-2021 07:48 AM

Ada tak pic batu bongkah besar tu yg terkini?

Btw mmg perasan selalu gunung batu kapur kt Perak ni runtuh. Last yg kat resort tu.Fragile kot. Tapi itulah keunikan negeri ni especially Ipoh.

mama_neko Publish time 18-8-2021 08:13 AM

aku teringin nak tau ada apa kt bwah batu besaq tu, kot kot la ada scanner technology baru yang boleh scan tgk... tapi what a tragedi...

kipas.berhabuk Publish time 18-8-2021 09:50 AM

Baru tau pasal tragedi ni. Banyak gak kes makan nyawa kat Malaysia ni rupanya

LadyCarefree Publish time 18-8-2021 10:17 AM

Lengkong replied at 18-8-2021 05:15 AM
Ngeri pulak baca mayat tak boleh dikeluarkan. Terfikir pulak apa jadi di kawasan tu sekarang ni.

...

RIP kepada semua. Moga roh mereka tenang.

takayama Publish time 18-8-2021 10:52 AM

nk tgk keadaan sekrg tempat kejadian, benda berlaku tahun 70an ms blm ada teknologi canggih lg, takziah buat family mangsa

chinta89 Publish time 18-8-2021 11:53 AM

kalau nk gunakan kecanggihan teknologi skg utk angkat bongkahan dan runtuhan tu, utk cari balik mayat yg tak dijumpai,.. agak2 boleh tak? maksud iols ada yg setuju?

first time iols dgr kes ni. nice info tt.

so kampung tu mcmna skg, terus kosong la ye? semua penduduk asal dah x ada sb pindha penempatan baru?

grouper Publish time 18-8-2021 01:22 PM

Ramai org x tau kejadian dan tempatnya...byk kuil je keliling bukit ni selain naik hutan..klau ikut level angker org kata kuil hindu tmpat paling angker

Gomea Publish time 18-8-2021 01:24 PM

Takde ke gambar terkini tempat kejadian?

oggy Publish time 18-8-2021 01:55 PM

Lepas baca pasal insiden ni, aku google.
Nampaknya insiden2 macam boleh dikaitkan dengan kegiatan kuari.


16 kes runtuhan besar di Perak

Ipoh: Insiden jatuhan batu dari tanah tinggi batu kapur pernah direkodkan di bandar raya ini.

Pakar Geologi Kejuruteraan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ir Dr Goh Thian Lai, berkata sejak 1919 hingga 2015, sebanyak 16 kes besar membabitkan runtuhan batu kapur direkodkan di Perak.

Antara yang paling tragik, katanya, adalah runtuhan batuan Bukit Tunggal, Gopeng pada 17 Disember 1919 yang meragut 12 nyawa dan mengakibatkan rumah serta kedai musnah.

"Selain itu, runtuhan batuan di Gunung Cheroh pada 18 Oktober 1973 yang mengakibatkan 40 kematian serta insiden di Gua Perak pada 12 Januari 2009 dengan satu kematian serta dua cedera," katanya ketika dihubungi BH.

Insiden yang mengakibatkan kehilangan dua nyawa di The Banjaran Hotsprings Retreat tahun lalu pula, katanya, tidak termasuk dalam kes runtuhan batuan batu kapur, tetapi runtuhan tanah yang berada di atas lapisan bukit batu kapur di situ.

Beliau menjelaskan, kajian lanjut mengenai batu kapur, jatuhan batu serta kestabilan gua batu kapur sedang dijalankan oleh Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM.

Mengenai kesan aktiviti letupan kuari, Thian Lai berkata, gegaran daripada letupan boleh mencetuskan jatuhan batuan dan runtuhan tanah yang boleh menganggu kestabilan tebing bukit batu kapur.

"Daripada 15 gunung batu kapur di Ipoh, Gunung Terendum, Gunung Lanno, Gunung Rapat dan Gunung Panjang aktif dengan aktiviti kuari," katanya.

Mengenai penempatan manusia dan aktiviti komersial di sekitar kawasan tanah tinggi batu kapur, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada zon yang ditanda oleh agensi berkaitan sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, bandar raya ini dikelilingi 15 bukit batu kapur utama dengan kawasan berhampirannya dikelaskan oleh ahli geologi kejuruteraan mengikut garis panduan penentuan zon bahaya.

"Isu sama ada penempatan perumahan dan perniagaan dibenarkan (dibuka di kawasan bukit batu kapur) bergantung kepada sama ada ia di zon bahaya tinggi, zon bahaya sederhana atau zon bahaya rendah.

"Bagi kawasan zon bahaya tinggi dan sederhana, ia tidak sesuai untuk penempatan.

"Hanya zon bahaya rendah yang selamat untuk penempatan," katanya memberi contoh, zon bahaya tinggi adalah seperti Gua Damai di Batu Caves, Selangor.

Sumber: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/02/784174/kuari-batu-kapur-undang-risiko-runtuhan-bukit

depresio Publish time 18-8-2021 03:41 PM

Ini sama tempat ke dgn yg kadi baru2 ni?
Yg dekat resort vvip tu

midori_katana Publish time 18-8-2021 06:22 PM

oggy replied at 18-8-2021 01:55 PM
Lepas baca pasal insiden ni, aku google.
Nampaknya insiden2 macam boleh dikaitkan dengan kegiatan k ...

yg 2009 tu kawasan tokong ker apa kan.. macam ingat2 lupa kejadian ni berlaku dulu
Pages: [1] 2
View full version: Tragedi Hitam Insiden Runtuhan Gunung Cheroh, Ipoh


ADVERTISEMENT