Raline Publish time 3-8-2021 10:13 PM

Biblioterapi tangani kemurungan

Biblioterapi tangani kemurungan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-meruyert-gonullu-6034063_1627686024.jpg

BIBLIOTERAPI ialah satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi.

Perkataan biblioterapi berasal daripada perkataan Greek, iaitu 'biblion' yang bermaksud buku dan 'therapeia' yang bermaksud penyembuhan.

Terapi menerusi pembacaan itu turut mengaitkan hubungan individu dengan kandungan buku atau sebarang media sebagai medium untuk merawat masalah kemurungan.

Kaedah ini digunakan kerajaan Korea Selatan bagi menangani kes bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak yang cukup tinggi di negara berkenaan.

Itu antara yang dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor Rafidah Abdul Aziz, yang juga Presiden Biblioterapi Malaysia dalam slot bual bicara dijalankan di Facebook anjuran aktivis kanak-kanak, Jameyah Sheriff.

Bual bicara itu membincangkan mengenai impak bibloterapi sebagai
satu sokongan psikososial kanak-kanak oleh ibu bapa. Selain turut mengundang biblioterapis pertama di Indonesia, Susanti Agustina sebagai panel untuk sama-sama mengupas topik berkenaan.

Kata Rafidah, dia menyedari kepentingan biblioterapi ini seawal ditawarkan mengikuti kursus selama tiga minggu di Korea Selatan yang ditaja Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan juga kerajaan terbabit pada 2013.

"Biblioterapi ini sebenarnya sudah wujud lama, namun tidak ramai mengetahuinya. Malah surah pertama iaitu al-Alaq adalah ayat pertama yang menyuruh kita membaca kerana ia membantu menganalisis maklumat dalam al-Quran yang juga dikenali sebagai Al-Syifa.

"Apabila kita berdepan kesusahan atau kepayahan sehingga jiwa berasa tidak tenang biasanya disaran merujuk kepada al-Quran sebagai panduan.

"Saya menyedari hal itu apabila mengalami sendiri beberapa pengalaman termasuk dorongan diberikan Allah ketika saya mengalami 'mild' depresi ke Korea Selatan untuk mendalami ilmu berkenaan biblioterapi.

"Di Korea Selatan, kerajaannya membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi mewujudkan program atau modul khusus di perpustakaan komuniti bagi membantu kelompok anak-anak 'multiracial'," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-alena-darmel-8164752_1627686021.jpg

PEMBACAAN al-Quran dalam menenangkan diri juga antara salah satu kaedah biblioterapi.
Isu berkenaan anak-anak 'multiracial' di Korea Selatan bukannya merujuk berbilang kaum sebaliknya zuriat hasil hubungan wanita tempatan dengan pasangan orang asing seperti tentera Amerika Syarikat dan dari pelbagai negara. Kanak-kanak dalam kelompok ini diabaikan keluarga atau masyarakat.

Kata Rafidah lagi, dalam konteks psikososial penting untuk memahami faktor persekitaran termasuk hubungan keluarga, teman, guru dan masyarakat boleh mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Satu lagi kisah dikongsi Rafidah apabila biblioterapi membantu menyelesaikan konflik dihadapi anaknya yang menjadi mangsa buli di sekolah.

Kebetulan anaknya terbaca satu buku yang bertajuk 'Do you have a secret?' yang menceritakan mengenai rahsia baik dan buruk serta apa yang perlu dilakukan jika memiliki rahsia berkenaan. Kemudian anaknya mula mendapatkan pertolongan dan terbuka menceritakan masalah itu kepadanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-jonas-mohamadi-1490844_1627686012.jpg
MENGAITKAN kisah diri daripada lagu juga satu bentuk biblioterapi tetapi menggunakan medium muzik.

Sementara itu, biblioterapis dari Universitas Pendidikan Indonesia di Bandung, Susanti Agustina pula tidak menafikan kaedah terapi menerusi pembacaan itu banyak membantu dalam pengasuhan anak-anak.

"Kisah saya sendiri dalam bidang biblioterapi bermula dengan mendengar pelbagai rungutan dan keluhan ibu bapa yang menemani anak masing-masing datang ke taman bacaan anak-anak (perpustakaan).

"Pada saya ibu bapa perlu dibantu terlebih dahulu supaya dapat menangani masalah anak-anak. Kaedah menerusi penceritaan paling berkesan.

"Kebetulan kajian tesis saya mengenai Bibiloterapi al-Quran yang mana kisah di dalam al-Quran sebagai rujukan dan membantu merawat pelbagai permasalahan jiwa seperti kemurungan dan ketagihan.

"Kalau dikaji sendiri dalam al-Quran, 75 peratus kandungannya adalah cerita dan ia relevan dengan konsep biblioterapi iaitu seni menghubungkan manusia dengan penceritaan tertentu.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-karolina-grabowska-4476369_1627686017.jpg

POLA membaca setiap individu adalah berbeza.

"Teknik bina 'repo' iaitu bina hubungan dengan individu yang mengalami masalah dan mahu dibantu itu menggunakan cerita lebih santai," katanya.

Dia sendiri turut menggunakan kaedah sama dalam membantu anak-anaknya yang terkesan dengan pandemik apabila banyak aktiviti luar tidak dapat dilakukan.

"Saya banyak menggunakan kaedah ini kepada anak-anak terutama apabila mereka ini yang bersekolah di rumah ('home schooling') dan mempunyai banyak aktiviti luar yang disusun bagi memenuhi pelbagai aspek perkembangan mereka.

"Tetapi ketika pandemik Covid-19 ini, semua aktiviti itu terhenti dan begitu meresahkan saya selain anak-anak kerana khuatir mereka tertinggal dalam pelajaran dan sebagainya. Jadi saya gunakan kesempatan itu dengan mendekatkan diri kepada Pencipta.

"Saya gunakan al-Quran sabagai penghubung untuk anak-anak mula meluahkan apa yang dirasai atau ada persoalan yang membebankan mereka.

"Kemudian mencari jawapan menerusi kisah di dalam kitab suci berkenaan. Saya tidak akan menasihati sebaliknya anak akan baca dan mencari solusi menerusi kaca mata mereka sendiri dengan panduan ayat atau kisah dibaca menerusi al-Quran," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pexels-yan-krukov-8613089_1627686008.jpg
BIBLOTERAPI kaedah digunakan dalam membantu mengatasi masalah kanak-kanak.

Tambah Susanti, kaedah itu lebih berkesan sekiranya lebih memahami mengenai pola bacaan anak-anak.

"Sebenarnya setiap individu mempunyai 'trend' atau pola bacaan masing-masing. Saya menggunakan kaedah jenis darah untuk mengenal pasti personaliti mereka termasuklah tingkah laku atau tabiat membaca.

"Contohnya individu berdarah O, kebanyakannya membaca dengan cara berdikusi atau berkongsi dengan orang lain. Sementara bagi individu darah AB, kebanyakan mempunyai sikap perlu menulis dan suka menconteng ketika membaca," katanya.

Beliau turut menjelaskan pelbagai media atau medium pembacaan lain boleh digunakan seperti mendengar muzik atau menonton filem dan tidak semestinya terhad aktiviti itu kepada buku sahaja.

Sementara itu bagi Jameyah, perkongsian bersama dua panel berkenaan penting dalam membantu membentuk komunikasi sihat terutama dalam keadaan pandemik yang mana ramai terkurung di rumah.

"Menyedari pandemik banyak mengubah persekitaran dan keadaan ni banyak memberi kesan terutama kepada kesihatan mental.

"Sokongan paling penting adalah psikososial di mana dalam kontak cukup terhad iaitu inidividu lebih banyak berada di rumah dan tiada interaksi fizikal di luar memberi cabaran terutama mereka yang mengalami masalah komunikasi dalam kalangan keluarga.

"Saya berharap perkongsian ini membantu ibu bapa di luar dapat mewujudkan persekitaran sihat dalam rumah menerusi aktiviti pembacaan," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Wek_omeh Publish time 4-8-2021 01:41 AM

Good info yg dapat dari thread ni
Pages: [1]
View full version: Biblioterapi tangani kemurungan