ciksepatu Publish time 27-7-2021 08:06 AM

Empat haiwan legenda mitos yang terkenal di Malaysia.

Haiwan mitos dan misteri sangat sinonim dalam kalangan masyarakat kita sehingga kisahnya ada diceritakan dalam cerita rakyat. Haiwan ini dikatakan masih ada dalam negara kita kerana tiada pertemuan mayat atau makhluk ini hanyalah mitos yang dipercayai oleh masyarakat zaman dahulu yang dikatakan menyimpan dendam terhadap manusia.

Di sini saya kongsikan empat haiwan legenda mitos yang terkenal di Malaysia.

1. Bujang Senang

Negeri Sarawak sangat terkenal dengan habitat buayanya yang banyak. Antara sungai yang terkenal adalah sungai Batang Lupar yang menyimpan pelbagai kisah dan rahsia. Di sini jugalah kita diingatkan dengan kisah si Bujang Senang, seekor buaya ‘gergasi’ yang pernah mengganas suatu masa dulu. Bujang Senang dikatakan berasal daripada seorang manusia yang disumpah.

Menurut legendanya, buaya ni berasal daripada seorang pahlawan Iban bernama Simalungun. Dikatakan Simalungun ini sangat terkenal sebagai seorang pahlawan di zaman mengayau (potong kepala) dan musuh-musuhnya tidak mampu mengalahkannya kerana mempunyai ilmu kebal. Dia dan isterinya disumpah menjadi buaya. Akibat menyimpan dendam yang sangat membara, bujang senang berjanji akan membunuh semua keturunan yang membunuh mereka.


Ada kepercayaan yang menyatakan Bujang Senang akan mencari mangsa yang berbangsa Iban. Setelah bertahun-tahun membuat onar, akhirnya pada tahun 1982, penduduk tempatan telah berjaya menangkap Bujang Senang. Tubuh badannya sepanjang 19 kaki. Namun begitu, ramai yang masih percaya yang ditangkap dan dibunuh itu bukan Bujang Senang tetapi isterinya. Justeru, mereka percaya Bujang Senang masih berkeliaran atau masih bersembunyi.

2. Ular besar menjaga perairan Langkawi


Kisah raksasa digelar ‘ular besar’ dimuatkan dalam buku Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society. Pegawai tentera British Sherard Osborne yang terbabit dalam perang Kedah pada sekitar 1838, pernah mencatatkan satu kisah pelik mengenai kewujudan seekor haiwan raksasa di Langkawi. Pada zaman silam, kisah itu diceritakan oleh seorang penduduk tempatan dan cerita itu turut membabitkan upacara mengorbankan manusia untuk dijadikan makanan haiwan ganas berkenaan.



Sebelum ketibaan Islam di Kedah, raja yang ingin menaiki takhta di negeri itu perlu mengorbankan puterinya kepada ular tersebut sebagai balasan haiwan ganas itu akan menjaga keselamatan perairan Kedah daripada ancaman musuh.

Apabila Islam tiba di Kedah, raja dan penduduk negeri itu menganut agama Islam dan upacara mengorbankan manusia kepada ular besar akhirnya dihentikan. Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan kemarahan ular raksasa itu. Selepas lama mencetuskan angkara, akhirnya muncul seorang ulamak yang cuba membantu menamatkan kezaliman makhluk kejam itu.

Sebaik tiba di sarang ular itu, beliau mengambil wuduk, memakai serban hijau, menjunjung al-Quran dan berdoa supaya ular besar berkenaan mati atau diusir dari kawasan itu. Sebaik melihat kelibat ulama terbabit, ular besar mula menyerang dan menelan jasad tokoh Arab itu. Bagaimanapun, sesuatu tidak diduga berlaku apabila ular besar berkenaan menggelupur kesakitan. Dalam keadaan terseksa, ular besar tersebut melarikan diri ke arah gunung di pulau berkenaan dan tidak pernah muncul mengganggu manusia lagi.

3. Sang Kelembai

Sang Kelembai dipercayai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu. Terdapat beberapa pandangan tentang kewujudan Sang Kelembai.

Contohnya di Perak kawasan Perak Tengah yang dikatakan bahawa Sang Kelembai juga berada disana. Menurut cerita orang tua-tua, Pekan Batu Gajah Perak mengambil nama daripada sekumpulan gajah yang disumpah ketika berada di kawasan tepi sungai Perak. Kononnya pada waktu itu Sang Kelembai sedang tidur dan terus menyumpah kawanan gajah itu kerana membuat bising.


Begitu juga dengan Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan, Perak yang mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kisahnya juga dikatakan sama. Kewujudan batu berbentuk gajah di situ kerana gajah yang banyak itu telah membuat bising dan Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising, telah menegur gajah-gajah tersebut. Akibatnya gajah tersebut telah bertukarmenjadi batu.

3. Naga Tasik Chini


Menurut legenda tempatan, Tasik Chini didiami oleh seekor naga. Diceritakan kisah 2 lelaki yang bertapa dan ilmu yang diamalkan oleh mereka itu akan menukarkan mereka menjadi seekor naga. Pertapaan selama ratusan tahun itu akan berakhir setelah sisik naga bertukar menjadi keemasan. 2 ekor naga tersebut dinamakan Sri Pahang dan Sri Gumum.

Mereka bertapa di dalam tasik tersebut sehingga ada perjanjian di antara manusia dan hidupan tasik tersebut agar tidak saling merosakkan di antara satu sama lain. Maka semua makhluk disitu hidup aman damai tanpa sebarang masalah. Akhirnya, Sri Pahang keluar menentang Sri Kemboja kerana Sri Kemboja telah menggangu keamanan negeri Pahang. Pergelutan diantara mereka sehingga akhirnya Sri Kemboja hampir tertewas.

Sri Kemboja terpaksa menyelamatkan dirinya dengan bersembunyi dicelah-celah gua di dalam laut. Kaum asli jakun yang tinggal sekitar Tasik Chini, menyakini bahawa bentuk alur yang terdapat di tebing Tasik Chini ini merupakan tempat ular besar itu bertapa dengan panjang mencecah 200meter yang bermula dari tebing sungai, menganjur hingga ke kaki bukit berdekatan.

Ketika bertapa, seluruh badan ular tersebut tertimbus oleh tanah termasuklah kepalanya sekali. Hanya kelihatan lubang hidungnya dipermukaan tanah. Ia makan dengan cara menyedut haiwan-haiwan yang lalu berdekatan dengannya. Bunyi dengusan hidung ular itu kadangkala boleh didengari oleh penduduk setempat. Apabila cukup tempoh pertapaan, empat kakinya akan tunbuh dan ular tersebut bertukar menjadi naga. Bagaimanapun, kesahihan cerita ini masih lagi menjadi tanda tanya dan menurut kisah naga yang mendiami tasik ini telah pun mati sekian lama dahulu.

Benarkah wujud makhluk mitos ini? Bukan satu fakta tetapi satu persoalan yang menarik. Jika anda tanya kepada kebanyakan orang mesti ada mengatakan kisah-kisah legenda ini mengarut. Tetapi jika difikirkan semula, mungkin apa yang diceritakan ini ada kesahihannya, namun mereka ini tidak semestinya seekor haiwan tetapi mungkin menyerupai jin. Mungkin betul dan mungkin tidak. Apa yang penting, kita jangan terlalu taasub kerana mungkin juga ada kisah rakyat yang hanya rekaan untuk menghiburkan semata-mata.

Penulis:

Siti Hanida Binti Harun adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sumber:
Libur, Kitab Sejarah Malaya, The Kerinting

Link Asal: https://iamlejen.com/ini-adalah-4-makhluk-lagenda-yang-masih-menjadi-tanda-tanya-di-malaysia/#.YP9MEmnQEwA

Kupucandy Publish time 27-7-2021 08:43 AM

Interesting… selama ni cuma duk dengar mitos pasa bujang senang n naga di tasik chini, yg lain blm pnah dgr lg… trima kasih tuan tanah share info…

Groovykid Publish time 27-7-2021 08:54 AM

Nice sharing

kucingitam Publish time 27-7-2021 10:07 AM

ada lagi rasanya..garuda.

masa kecik2 masuk section sejarah melayu kat muzium tu kan ada garuda besar..seram..

naktaugosip Publish time 27-7-2021 12:33 PM

Menarik, banyak info baru yg dapat

huehue Publish time 27-7-2021 12:55 PM

I pernah dengar naga tasik chini dan bujang senang je. Sang kelembai tu i pernah dengar tapi ingatkan kelembai tu nama orang je dalam cerita cerita tu.

compaqpresario Publish time 27-7-2021 01:59 PM

Thank for sharing this info

ckenj Publish time 27-7-2021 02:26 PM

nice info...

DRandallBlythe Publish time 27-7-2021 03:49 PM

Good info!...yang ular besar kat langkawi tu 1st time denga. TT, kalau ada yang info lain yang menarik, bolehlah share kat sini ye.

orange_madu Publish time 27-7-2021 05:08 PM

{:1_551:}
Menarik! Ada info baru tau

bictoria Publish time 27-7-2021 05:09 PM

dulu orang tua selalu citer pasal buaya putih kat sungai perak

hanihan16 Publish time 27-7-2021 05:13 PM

i nak tambah sikit pasal bujang senang tu. menurut kisahnya simalungun ni ada tatoo besar warna putih di belakang badannya. selepas kematian beliau kat sungai tu, baru lah mucul seekor buaya yang ganas. buaya ni pun ada tanda putih dibelakang badannya. sebab tu orang setempat menganggap buaya tersebut jelmaan semula simalungun.

kejadian berlaku di sungai senang. sebab tu namanya jadi bujang senang

midori_katana Publish time 27-7-2021 07:28 PM

sang kelembai tu binatang ke?

akak dulu suka baca buku sastera abang akak; hikayat malim deman, hikayat malim dewa, Asal usul, ada la jumpa cerita sang kelembai bermulut masin ni. apa jer yg dia tegur jadi batu. contoh yg kena keteguran dia pulau dayang bunting tu la.

minahmanja Publish time 5-8-2021 10:20 AM

haiwan apa la sang kelembai tu.. selama ni aku mmg ingat dia manusia.. ala2 tanggang tu...

nad014 Publish time 9-8-2021 11:27 AM

pernah juga dengar benda macam predator di kawasan hutan terengganu , sape kaki gunung mungkin pernah dgr
Pages: [1]
View full version: Empat haiwan legenda mitos yang terkenal di Malaysia.


ADVERTISEMENT