Raline Publish time 9-6-2021 01:15 PM

Kemerosotan Kualiti Kewartawanan Di Era Digital

Kemerosotan Kualiti Kewartawanan Di Era Digital

https://cdn.statically.io/img/i1.wp.com/tehtarikgelasbesar.com/wp-content/uploads/2019/12/journalism.jpg?quality=100&f=auto
Kemerosotan Kualiti Kewartawanan Di Era Digital

“Digital kills authenticity.”

Itu tweet saya ketika saya sedang duduk di jamban pada jam 2:05 pagi ketika saya sedang kusyuk membaca sebuah artikel di Vox mengenai politik Amerika. Entah kenapa saya terfikirkan tiga perkataan ini, tetapi pada masa itu, saya mula terbit rasa bersalah kerana tulisan yang dikarang oleh ketua editor Vox, Ezra Klein yang cukup bagus dan sangat memberangsangkan fikiran saya.

Klein, berusia sama seperti saya. Lahir pada tahun 1984 dan sudah menjadi ketua editor. Saya fikir dia adalah seorang yang genius dan salah seorang tokoh dalam bidang kewartawanan. Ulasan Klein mengenai politik Amerika memberi perspektif baru kepada saya, dan Klein juga adalah salah satu sebab mengapa saya menulis di Teh Tarik Gelas Besar.

Ramai orang mengenali saya sebagai seorang penulis novel alternatif, tetapi sebenarnya saya juga bekas seorang wartawan di The Malaysian Insider. Saya pernah bekerja dengan Jahabar Sadiq, wartawan yang saya sifatkan antara yang terbaik di Malaysia pada zamannya, dan seringkali saya diherdik apabila melakukan kesalahan, tetapi saya faham, di dalam dunia kewartawanan, tiga perkataan yang akan timbul di kepala saya.

“No bullsh*ting around.”

Seperti yang pernah ditimbulkan oleh Mohd Jayzuan ketika saya, Faghuzi dan rakan-rakan duduk bersama bekas ahli kumpulan Bloodymary itu di sebuah restoran mamak di Ipoh, Jayzuan atau nama manjanya Jay, meluahkan rasa kesal tentang generasi zaman ini yang kurang berminat untuk menjadi ahli muzik “with attitude“. Dan menurut salah seorang lagi ahli sidang meja mamak pada malam itu berkata, orang kini tidak gemar untuk menjadi ahli muzik kerana orang zaman kini tidak membeli album, tetapi hanya download atau dengar secara streaming di Spotify.

Saya merupakan seorang penagih muzik yang tegar. Kerana itu, saya sanggup membayar RM14.90 setiap bulan untuk Spotify Premium, kerana saya percaya, muzik yang saya dengar itu adalah dimainkan oleh pemuzik, dan seperti orang lain – mereka juga cari makan. Dan saya rasa bersalah kerana di playlist Spotify saya ada mungkin dalam 6,000 buah lagu oleh pelbagai artis dari pelbagai zaman, dan semua itu saya nikmati dengan harga yang lebih murah berbanding sekotak rokok Winston Light.

Saya sering mendengar komplen seperti “muzik zaman sekarang tak sehebat 90an, atau sebelum-sebelumnya”, dan ini berlaku bukan kerana orang zaman dahulu lebih kreatif dari orang zaman sekarang. Dan kenyataan ini sangat ageist dan saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Saya percaya terdapat banyak pemuzik hebat yang ada di generasi bawah saya, tetapi mereka merasakan ini tidak mampu membayar sewa rumah mereka, tidak mampu untuk menghulurkan wang kepada ibu bapa mereka, atau mengajak kekasih untuk pergi menonton wayang.

Dalam satu ayat pendek, saya lafazkan: “Dalam Era Digital, keaslian telah dibunuh”.

Ironi tulisan ini ditulis oleh saya ialah, ketika saya sedang menonton Last WeekTonight With John Oliver di Youtube, mengenai kewartawanan yang semakin mati kerana kini semuanya online. Menurut Oliver, industri kewartawanan kini kerugian 35% berbanding 2004, kerana lebih ramai orang membaca berita secara online berbanding membeli suratkhabar.

bq2_wSsDwkQ

Pada zaman saya kecil dahulu, sekolah saya membeli akhbar dengan harga 50 sen kepada pelajar sekolah. Akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Times atau Malay Mail. Walaupun cuma 50 sen, dan hanya beberapa budak skema dan budak gila berita seperti saya sahaja yang membeli akhbar, setiap bulan, syarikat penerbitan akhbar mendapat paling tinggi sebanyak RM10 dari budak sekolah dari saya, kerana setiap bulan, melalui program “Akhbar Pelajar” di sekolah, saya setiap bulan membayar sebanyak itu untuk mendapatkan berita semasa.

Hari ini, berapa jumlah yang saya belanjakan untuk mendapatkan berita semasa? RM kosong.

Kerana itu banyak industri percetakan hari ini bertukar ke digital serta banyak yang sudah gulung tikar. Syarikat seperti Utusan Malaysia terpaksa menjual asetnya, Sinar Harian mengecilkan tenaga kerjanya, kerana revolusi digital ini telah membuatkan ramai orang hilang pekerjaan.

Jadi, dari mana pula syarikat-syarikat berita hari ini mendapat kewangan? Sudah pastinya dari penajaan. Wujud satu trend syarikat-syarikat multibillion menabur wang untuk portal-portal online ini untuk hidup kerana kini semua orang mendapatkan berita secara percuma. Jadi, bila macam tu, sudah pastilah berita yang ada akan bersifat berat sebelah. Kalau ada syarikat portal berita, sanggupkah nak laporkan berita yang memburukkan pihak penaja?

Ramai yang komplen, berita pada hari ini bersifat sensasi. Berita seperti artis berpeluk dengan seorang Datuk, atau ustaz selebriti yang ceraikan isterinya selepas berjumpa perempuan di Makkah, adalah berita yang dibaca oleh masyarakat Melayu marhein yang setiap pagi Ahad sudah terpacak depan TV untuk menonton Melodi.

Berbalik pada Klein dan Vox, yang merupakan laman web paling saya suka baca, mereka beruntung kerana mereka berada di Amerika. Mereka yang membaca dan menonton video di Vox mungkin minoriti seperti saya, tetapi minoriti mereka mempunyai wang dan kerana itu mereka terus hidup. Saya mempunyai cita-cita untuk membina TTGB seperti Vox, tetapi tak mungkin – kerana artikel seperti ini tidak akan diminati untuk dibaca. Saya terpaksa mengorek apa yang viral seperti mengkomen video Miss Cleopatra kekok goreng char kuey teow untuk mendapatkan berita viral dan viewers yang tinggi.

Dunia kewartawanan sedang bergelut dengan sakratul maut, sama seperti dunia muzik pada penghujung dekad lepas. Pada hari ini orang cuma mendengar muzik pada zaman lepas melalui Youtube atau Spotify. Tidak ada membeli album seperti saya semasa saya kecil dahulu. Pada zaman 90an dulu, saya akan membelanjakan sejumlah wang untuk membeli sekurang-kurangnya dua buah album – kalau bajet tak ada, belilah album artis tempatan. Kalau ada lebih, bolehlah beli Nirvana atau Green Day.

Kerana itu muzik pada zaman lalu sangat bagus, dan kerana itu berita pada zaman lalu sangat kurang berita mengarut seperti yang kita dengar sekarang. Spotify mengambil alih album-album yang kita beli dahulu. Hari ini, syarikat pembuat encyclopedia bungkus kerana sudah ada Wikipedia.

Bukan semua benda baik bila percuma.

Sumber:https://tehtarikgelasbesar.com

Pages: [1]
View full version: Kemerosotan Kualiti Kewartawanan Di Era Digital


ADVERTISEMENT