Raline Publish time 9-6-2021 12:55 PM

Adik-Beradik Grimm Sebenarnya Tidak Menulis Kisah Dongeng?

Adik-Beradik Grimm Sebenarnya Tidak Menulis Kisah Dongeng?

https://cdn.statically.io/img/i0.wp.com/tehtarikgelasbesar.com/wp-content/uploads/2020/12/02-grimm-og.ngsversion.1569257115618.adapt_.1900.1.jpg?quality=100&f=auto
Siapa yang tidak tahu tentang kisah-kisah dongeng terkenal dunia seperti Cinderella, Rapunzel, dan Red Riding Hood? Sedari kecil kita telah diceritakan dengan kisah-kisah dongeng seperti ini yang mempunyai teladan tersirat.

Antara penulis kisah dongeng yang dikenali ramai ialah adik-beradik Grimm (Grimm Brothers) yang berwarganegara Jerman.

Wilhelm Grimm dan abangnya, Jacob mempelajari dan mengkaji kisah rakyat Jerman dan tradisinya. Mereka juga telah menerbitkan sebuah koleksi kisah-kisah yang akhirnya dikenali dengan judul Grimms’ Fairy Tales.

Seperti yang kita tahu, beberapa daripada kisah dongeng tulisan kedua-dua adik-beradik ini telah berjaya diadaptasi ke rancangan TV dan juga filem.

Wilhelm dan Jacob terkenal kerana berkongsi kisah-kisah klasik ini, namun ini adalah empat fakta yang anda mungkin tidak pernah tahu tentang mereka:

1. Wilhelm Grimm dan Jacob Grimm Sama Sekali Tidak Menulis Kisah-Kisah Dongeng Tersebut

Adik-beradik ini sering dikaitkan dengan kisah Snow White dan Rapunzel. Walau bagaimanapun, mereka tidak menulis kisah-kisah ini pada asalnya.

Sebenarnya, kisah-kisah ini telah wujud bertahun-tahun sebelum mereka berdua lahir di Jerman pada pertengahan 1780-an. Kisah-kisah dongeng tersebut sebenarnya adalah kisah-kisah yang telah disampaikan dari mulut ke mulut. Mereka seringkali mendengar kaum wanita berkongsi kisah-kisah ini semasa sedang membuat kerja-kerja rumah.

Oleh kerana pada waktu itu Zaman Perindustrian telah mula wujud, ahli bijaksana setempat dan orang-orang tempatan mula mengumpulkan kesemua kisah-kisah ini daripada pupus. Mereka berinisiatif dengan menemuramah keluarga dan juga rakan-rakan mereka untuk mengumpul seberapa banyak kisah yang diceritakan kepada mereka.

Pada tahun 1812, Jacob dan Wilhelm telah menerbitkan kisah-kisah tersebut sebagai sebahagian daripada koleksi yang berjudul Nursery and Household Tales, atau seperti yang kita kenali sekarang – Grimm’s Fairy Tales.

2. Kisah-Kisah Tersebut Bukan Ditulis Untuk Bacaan Kanak-Kanak

Secara asalnya Grimm’s Fairy Tales bukanlah bahan bacaan untuk kanak-kanak. Hal ini kerana kisah-kisah yang terkandung di dalam koleksi tersebut mengandungi unsur seks, kekerasan, dan pergaulan bebas dalam keluarga.

Lebih teruk lagi, tiada sebarang ilustrasi disertakan di dalam Grimm’s Fairy Tales.

Edisi awal Nursery and Household Tales mengandungi elemen-elemen gelap dan oleh sebab itu koleksi kisah-kisah ini diterbitkan dengan mensasarkan para pembaca dalam golongan dewasa.

Sebagai contoh, dalam versi asal, Rapunzel mengandung setelah melakukan perhubungan kelamin dengan sang putera. Dalam kisah Cinderella pula, kakak-kakak tiri Cinderella telah mengerat kesemua ibu jari kaki dan tumit kaki mereka demi berusaha untuk memuatkan kaki mereka ke dalam kasut gelas.

Babak-babak seperti ini telah dikaji semula dan diubah mengikut kesesuaian, terutamanya untuk tontonan dan bacaan kanak-kanak.

3. Adik-Beradik Grimm Telah Diusir Keluar Dari Kota Dan Muflis

Pada 1830, Raja Ernest Augustus telah menuntut sumpah kesetiaan daripada kesemua profesor yang mengajar di Gottingen, sebuah universiti kota tempat di mana Wilhelm dan Jacob mengajar pengajian Jerman.

Adik-beradik ini, bersama-sama dengan lima orang lagi professor, enggan tunduk kepada raja dan mereka ini yang digelar ‘Gottingen Seven’ diusir keluar daripada kota tersebut. Wilhelm dan Jacob telah meminjam duit daripada rakan-rakan mereka untuk mereka meneruskan projek koleksi kisah-kisah dongeng mereka.

4. Grimm’s Fairy Tales Mendapat Sambutan Hangat

Buku koleksi kisah-kisah dongeng Grimm’s telah diterbit ulang untuk edisi yang ketujuh ketika Wilhelm meninggal dunia pada tahun 1859. pada waktu itu, buku koleksi tersebut telah memuatkan 211 buah cerita dan disertakan dengan ilustrasi. Pada tahun 1863, Jacob, yang tinggal bersama dengan Wilhelm dan isterinya, meninggal dunia.

Sumber:
BIOGRAPHY

Pages: [1]
View full version: Adik-Beradik Grimm Sebenarnya Tidak Menulis Kisah Dongeng?


ADVERTISEMENT