Raline Publish time 9-6-2021 12:54 PM

Berjaya Menang Program Realiti Dengan Manipulasi Sistem, Ini Kisah Michael Larso

Berjaya Menang Program Realiti Dengan Manipulasi Sistem, Ini Kisah Michael Larson

https://cdn.statically.io/img/i1.wp.com/tehtarikgelasbesar.com/wp-content/uploads/2021/03/michael-larson-press-your-luck-1.jpg?quality=100&f=auto

Seorang lelaki dari Ohio, Amerika Syarikat bernama Michael Larson telah mencipta sejarah pada 19 Mei 1984 selepas menjadi satu-satunya peserta rancangan pertunjukan permainan (game show) terkenal Press Your Luck yang berjaya membawa pulang jumlah keseluruhan $110,000 (RM451,990).

Press Your Luck memang cukup terkenal dalam kalangan penduduk Amerika Syarikat pada waktu itu. Walau bagaimanapun, jumlah terbesar yang pernah dimenangi oleh peserta program tersebut ialah $40,000 (RM164,300) dan tidak pernah lebih daripada itu. Jadi, apa rahsia Michael?

Skandal Press Your Luck

rY4qPIFqqIY

Saluran televisyen CBS menyiarkan episod terakhir Press Your Luck pada tahun 1986 sebelum menayangkan semula program tersebut pada tahun 2019.

Pihak produser membuat keputusan untuk menamatkan rancangan tersebut pada tahun 1986 kerana mereka mahu siasat bagaimana Michael boleh membawa pulang wang kemenangan dengan jumlah yang cukup tinggi.

Kaedah unik yang digunakan oleh Michael dalam program terkenal itu telah menjadi inspirasi kepada penghasilan sebuah dokumentari bertajuk Big Bucks: The Press Your Luck Scandal pada tahun 2003.

Menerusi dokumentari tersebut, anda akan dapat lihat setiap gerak-geri Michael sehingga ke gerakan matanya. Berbeza dengan lawannya iaitu Ed Long dan Janie Litras Dakin yang menggunakan sebelah tangan sahaja, Michael meletakkan kedua-dua tangannya di atas butang buzzer untuk menekan dengan cukup pantas.

Buat anda yang masih keliru, Press Your Luck ditayangkan dari tahun 1983 sehingga 1986. Setiap episod mempunyai tiga orang pemain dan papan permainan besar yang menyala dengan corak berbeza.

Setiap pemain akan bermain secara bergilir-gilir. Mereka perlu menekan butang untuk pergerakan lampu yang bergerak secara rawak. Di mana sahaja lampu itu berhenti, itulah apa yang bakal dimenangi oleh peserta. Ia boleh jadi hadiah wang tunai atau set gimnasium di rumah.

Namun, permainan ini turut mempunyai muslihat tersendiri. Terdapat sebuah petak bernama Whammy. Peserta akan muflis dan hilang semua hadiah dan wang tunai yang berjaya dikumpul sekiranya lampu itu berhenti di petak Whammy.

Dalam erti kata lain, ia bukan perkara mudah untuk memenangi wang yang cukup banyak seperti Michael. Adakah Michael benar-benar bernasib baik kerana tiada satu pun gilirannya yang terkena petak Whammy ataupun dia menggunakan taktik kotor seperti didakwa?

Memanipulasi kelemahan sistem

https://cdn.statically.io/img/i2.wp.com/tehtarikgelasbesar.com/wp-content/uploads/2021/03/michael-larson-press-your-luck-3.jpg?quality=100&f=auto

Sebelum menjadi seorang peserta, Michael merupakan penonton setia Press Your Luck. Walau bagaimanapun, dia mula perasan bahawa sistem yang digunakan dalam permainan itu mempunyai kelemahan.

Dari situ, Michael cuba mengkaji lebih dalam dan mula memasang impian untuk menjadi peserta program tersebut. Menerusi pemerhatian Michael, papan tersebut hanya mempunyai lima susunan corak berbeza.

Jadi, Michael hanya perlu hafal semua corak tersebut untuk tahu di mana perlu menekan butang untuk elak petak Whammy. Setiap kali gilirannya tiba, anda akan dapat lihat konsentrasi di matanya ketika melihat dan mengimbas papan permainan tersebut mengikuti corak lampunya.

Bukan sahaja matanya fokus pada permainan tersebut, kedua-dua tangan Michael juga berada dalam keadaan bersedia untuk menekan butang berhenti pada saat yang dimahukannya.

Michael berjaya mengawal fokusnya dengan baik sehingga episod tersebut terpaksa disiarkan dalam dua bahagian secara dua hari berturut-turut.

Lelaki itu berjaya mengambil 45 giliran sebelum menyerahkannya kepada peserta lain. Ia merupakan sesuatu yang luar biasa kerana rata-rata peserta akan dapat Whammy dalam enam putaran.

https://cdn.statically.io/img/i2.wp.com/tehtarikgelasbesar.com/wp-content/uploads/2021/03/michael-larson-press-your-luck-2.jpg?quality=100&f=auto
CBS telah melakukan semua yang mereka boleh untuk mendakwa lelaki tersebut menipu supaya mereka tidak perlu membayar jumlah wang yang dimenangi Michael. Mereka akhirnya akur bahawa Michael tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Selepas mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, pihak CBS menggunakan sistem yang mempunyai lebih daripada lima corak rawak untuk memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

Pengakhiran hidup yang tragis

Kemasyhuran yang diterima Michael dalam program tersebut tidak bertahan lama. Lelaki itu hilang sebahagian besar daripada wang kemenangan tersebut dengan menceburkan diri dalam skim cepat kaya.

Ketika menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1999 akibat barah tekak, lelaki itu sebenarnya sedang disiasat oleh pihak SEC, FBI dan IRS atas penipuan.

Pada pendapat anda, adakah Michael menipu atau bijak mengambil kesempatan terhadap kelemahan yang wujud pada sistem untuk memenangi permainan Press Your Luck yang disertainya?

Sumber:
Iluminasi


Pages: [1]
View full version: Berjaya Menang Program Realiti Dengan Manipulasi Sistem, Ini Kisah Michael Larso


ADVERTISEMENT