mbhcsf Publish time 18-5-2021 10:37 AM

Pertembungan Nilai dalam Permainan Video daripada Lensa Syariah & Perundanga

Edited by mbhcsf at 18-5-2021 10:40 AM

Assalamualaikum warahmatullah


SYARIAH DAN PERUNDANGAN - KONFLIK NILAI DALAM PERMAINAN VIDEO


Ikuti Perkongsian En Mohd Noor Omar, Felow Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM untuk kupasan tajuk Konflik Nilai dalam Permainan Video

pautan asal:
https://www.facebook.com/ikimfm/videos/435578864156471


https://fb.watch/5yUwpr0Xtz/





mbhcsf Publish time 18-5-2021 10:39 AM

Pengharaman Pusat Permainan Video: Masih Ada Bahaya Yang Menanti
Hajah Siti Fatimah binti Abdul Rahman 01/01/2000

pautan asal:
http://www.ikim.gov.my/index.php/2000/01/01/pengharaman-pusat-permainan-video-masih-ada-bahaya-yang-menanti/


“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaatnya bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya’.…” (al-Baqarah: 219)

Ayat ini merupakan amaran Tuhan mengenai arak dan judi.Dalam kes ketagihan judi melalui permainan video yang kita dimaklumkan sehari dua ini, ternyata judi itu memang ada manfaatnya bagi sesetengah pihak, namun keburukannya adalah lebih teruk lagi.

Dari segi manfaat, pusat permainan video itu dilihat sebagai menguntungkan pihak pengusaha, memberikan pekerjaan kepada pekerjanya, mungkin juga menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai yang dikutip dan tentu sekali ia dilihat sebagai menghiburkan oleh para penjudi itu sendiri.Namun, keburukan yang timbul darinya memang tidak dapat dinafikan lagi.Ada yang sanggup berhutang untuk berjudi, ketagihan terhadap aktiviti itu, hubungan kekeluargaan yang terjejas, duit yang dibazirkan, serta masa yang dibuang begitu sahaja.Semua ini tentunya merugikan penjudi dan tidak berbaloi dengan anggapan permainan itu menghiburkan mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman!Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan.Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”(al-Maidah: 90)

Ayat kedua ini pula mengkategorikan arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib sebagai perbuatan yang dikeji.Ia juga menasihatkan supaya manusia menjauhi perbuatan-perbuatan itu demi untuk mencapai kejayaan.

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang.Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?)”(al-Maidah: 91)

Ayat ketiga ini menjelaskan lagi ayat yang sebelumnya dengan menerangkan tujuan sebenar Syaitan dalam mengajak kita untuk melakukan perkara-perkara keji tersebut.Jadi, tidak hairanlah kalau kita dimaklumkan tentang suami atau isteri yang mengabaikan rumahtangga kerana berjudi, juga sahabat yang bertukar menjadi musuh akibat angkara judi ini.Itu belum dikira hutang untuk berjudi yang juga boleh membawa kepada permusuhan, perbuatan mencuri untuk berjudi yang juga menimbulkan kebencian.

Jadi,kita perlu merasa lega bila kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan pusat permainan video.Ini adalah satu langkah yang amat bijak terutamanya bagi memastikan generasi muda kita tidak terus hanyut dalam pengaruh permainan video itu.Tambah pula, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa lebih awal seseorang itu mula berjudi, ia lebih cenderung untuk menjadi penjudi pathological (yang memerlukan bantuan klinikal).Sudah tentu kita tidak mahu anak muda kita terjerumus dalam kancah ini.

Amerika Syarikat yang lebih dahulu mengalami kesan buruk akibat rakyat yang ketagih berjudi, telah mengadakan kajian berkaitan perkara ini.Satu daripadanya ialah National Gambling Impact Study yang dijalankan oleh sebuah suruhanjaya yang diberi mandat untuk mengkaji kesan perjudian dalam mesyuarat tersebut. Apa yang kita lihat sebagai ketagihan terhadap judi, dilihat oleh kajian ini sebagai mempunyai tiga tahap utama.Pertama, tingkah laku berjudi yang tidak memberi kesan negatif kepada penjudi (Tiada unsur ketagihan, cuma untuk berseronok sahaja).Kedua, penjudi yang bermasalah di mana aktiviti berjudinya itu telah memberi beberapa kesan negatif kepada mereka.Manakala penjudi pathological adalah penjudi yang telah sampai ke tahap kritikal dan memerlukan bantuan klinikal.

Dalam cubaan untuk menjelaskan mengapa ketagihan berjudi ini boleh berlaku, beberapa teori telah dikemukakan.Ada yang berpendapat bahawa masalah ini timbul akibat penilaian yang lemah dan ketidakmampuan individu untuk mengawal diri.Ada juga yang melihatnya hanya sebagai satu tahap yang dilalui oleh individu dan ia akan melepasinya.Namun, ada juga yang mengaitkannya dengan faktor genetik.

Walau bagimanapun, suruhanjaya itu berpendapat, tiada satu punca tertentu yang menyebabkan timbulnya masalah ini sebaliknya, beberapa faktor memainkan peranan.

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa bentuk tingkah laku tertentu mungkin akan mendedahkan seseorang kepada tingkahlaku perjudian yang bermasalah.Misalnya,

a)perjudian pathological biasanya berlaku bersama dengan tingkah laku bermasalah yang lain seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol, gangguan mood dan gangguan personaliti.

b)Penjudi pathological lebih cenderung, berbanding penjudi yang tidak pathological, untuk melaporkan bahawa ibubapanya merupakan penjudi pathological.Ini menunjukkan kemungkinan faktor genetik atau role model memainkan peranan.

c)Lebih awal seseorang itu mula berjudi, ia lebih cenderung untuk menjadi penjudi pathological.

Suruhanjaya tersebut berpendapat penemuan ini menunjukkan bahawa faktor-faktor persekitaran memainkan peranan dalam mewujudkan ketagihan berjudi ini.Termasuk dalam faktor-faktor persekitaran ini ialah kewujudan peluang untuk berjudi, termasuklah kemudahan untuk berjudi, sama ada secara yang dibenarkan oleh undang-undang, mahupun sebaliknya.Beberapa bukti yang ada menyokong kenyataan ini.Pertama, didapati bahawa kewujudan kemudahan berjudi dalam lingkungan 50 batu menggandakan kewujudan masalah ini.Kedua, mereka mendapati bahawa tujuh dari sembilan komuniti yang dikaji melaporkan masalah ini bertambah setelah wujudnya kasino di kawasan berhampiran.Ketiga, mereka juga mendapati sesetengah pertambahan masalah berlaku setelah berkembangnya peluang berjudi di negeri-negeri yang dikaji.Akhir sekali, didapati negeri-negeri yang membenarkan perjudian mempunyai kadar masalah ketagihan yang tinggi.

Jadi, jika faktor penawaran yang menjadi masalah kepada ketagihan ini, dengan pengharaman pusat permainan video, tentunya kita dapat mengelakkan anak muda kita dari ketagihan bermain judi, mahupun ketagihan permainan video.Tetapi, apakah kita yakin bahawa pengharaman ini akan menyelesaikan ketagihan golongan muda terhadap permainan video ini baik yang bersifat permainan, mahupun perjudian?

Sebenarnya, bagi saya, masih ada beberapa cabaran yang perlu kita tangani dengan baik bagi memastikan anak-anak muda bersih dari ketagihan permainan video ini.Pertama, bila berlaku pengharaman pusat permainan video, mungkin akan timbul pula pusat permainan video haram.Malah, itulah yang sebenarnya sedang kita hadapi pada hari ini.Jika pihak yang berkuasa masih gagal menanganinya, maka pengharaman yang dibuat tidak akan memberi apa-apa makna.

Kedua, dalam situasi di mana judi tidak hanya mengharapkan kepada daun terup dan kuda yang boleh dilihat pada tiga dimensi, daun terup dan kuda maya, malah segala bentuk perjudian maya, mahupun permainan komputer yang lain, tetap menjadi ancaman kepada generasi muda kita.

Lawatan saya ke kafe siber yang bertujuan untuk mendedahkan beberapa orang anak saudara kepada internet menunjukkan bahawa kafe siber itu memang penuh dengan kanak-kanak tetapi bukan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan pelajaran, sebaliknya kanak-kanak yang asyik dan leka dengan permainan komputer berunsur pertarungan.Bagi yang remaja pula, sibuk dengan on-line chattingnya.Malah, ada kafe siber yang tidak menawarkan perkhidmatan internet sebaliknya hanya memberi peluang untuk pelanggan bermain permainan komputer – satu lagi penemuan yang memeranjatkan saya!

Internet juga, seperti yang kita tahu, ada maklumat yang tidak betul dan tidak berguna di dalamnya.Begitu juga dari segi penawaran laman web untuk permainan komputer dan perjudian.Jika kita tidak berhati-hati, anak-anak atau adik-adik kita tetap akan ketagih untuk bermain permainan komputer atau berjudi di internet, yang mungkin berlaku di dalam rumah kita sendiri.

Begitu juga dengan alat “Play Station”, namanya sahaja memaklumkan kita dengan tujuan alat itu direka.Mereka yang telah membelikan alat ini untuk anak-anak, tentu sahaja tahu betapa alat ini boleh melekakan anak-anak dari bangun tidur sehingga mereka tidur semula lewat malam hari.

Dalam hal ini, saya merasakan ketagihan permainan video di kalangan anak-anak muda tidak akan berakhir dengan pengharaman pusat permainan video semata-mata.Penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi pusat video haram, perlu dilakukan dengan baik dan telus.Sekali-sekala jenguklah pula kafe siber, kalaupun bukan untuk memastikan laman web pornografi tidak dilawati, pastikan juga apakah perkhidmatan bermain permainan komputer yang diberikan itu sesuatu yang wajar.Anak-anak yang sentiasa melayari internet pula, ada baiknya dijengah untuk memastikan mereka tidak mensia-siakan masa tersebut.Akhir sekali, “Play Station”, walaupun memberi alternatif yang baik (walaupun belum tentu yang terbaik) kepada anak-anak, jika tidak dikawal, masa mereka tetap terbuang dan pelajaran mereka tetap terabai.

Langkah kerajaan mengharamkan pusat permainan video, amat dialu-alukan.Walau bagaimanapun, ibubapa tetap perlu menjalankan tugas mereka dalam memasti dan mengawal tingkah laku anak-anak.

Sebagaimana yang kita tahu, langkah kerajaan ini tidak disokong oleh segelintir pihak yang merasa terjejas dengan keputusan tersebut.Pusat permainan video berlesen, misalnya, merasa terhukum akibat kesalahan pengusaha pusat permainan video haram.Pekerja-pekerjanya pula menghadapi risiko kehilangan pekerjaan.Ada juga segelintir ahli masyarakat yang merasakan pengharaman pusat video ini akan menghadkan lagi tempat rekreasi bagi anak muda yang sememangnya begitu kurang disediakan.

Bagi saya, para pengusaha pusat permainan video, sebagai peniaga tentu saja mereka dapat memikirkan perusahaan lain yang lebih menguntungkan.Pekerja-pekerjanya pula boleh memohon memasuki institut-institut kemahiran yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia – seperti yang dilaporkan oleh akhbar harian.Bagi rungutan ketiga, berkaitan semakin kurangnya tempat rekreasi yang boleh dikunjungi oleh remaja – ia merupakan satu cabaran bagi kerajaan untuk menyediakan infrastruktur-infrastruktur alternatif bagi golongan remaja agar mereka dapat berkunjung ke sana dan menggunakan masa dengan lebih produktif.

Namun, walau apapun kosnya, saya yakin ia tidaklah sebesar kos yang akan kita hadapi kelak sekiranya golongan remaja kita terus hanyut dan leka dengan permainan video sehingga mengabaikan pelajaran, berhutang demi untuk memuaskan ketagihan bermain atau menjadi pencuri demi menampung tabiat yang tidak baik itu.
Pages: [1]
View full version: Pertembungan Nilai dalam Permainan Video daripada Lensa Syariah & Perundanga


ADVERTISEMENT