Raline Publish time 22-3-2021 01:55 PM

Kemunculan Nenek Kebayan Ketika Memancing

Kemunculan Nenek Kebayan Ketika Memancing
https://cdn.umpan.com.my/2021/02/nenek2-696x385.jpg

Plan nak memancing di hulu Sungai Selangor telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.


Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.


Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Kak Jenab di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pakcik yang duduk makan di situ tentang Sungai Selangor. Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuk baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.


Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.


Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.

Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.


Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Hulu Sungai Selangor ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!


Gewang yang kami lontarkan memang tidak sia-sia sehingga kami rasakan bagaikan berpesta sebarau di situ.


Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.


Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram.


Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.


Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.


Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.


Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.


Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.

Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.

https://www.kisahmisteri.com/wp-content/uploads/2021/03/saka-nenek-kebayan-364x205.jpg
gambar hiasan

“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.


“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.


“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.


“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.


“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.


Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.


Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???


Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.


Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairan, pagi itu gewang aku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.


Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.


Sumber : https://www.umpan.com.my



ajinomotonosuga Publish time 22-3-2021 02:12 PM

Mastika taun bile ni yeob?

3chanceno Publish time 22-3-2021 03:41 PM

Mastika ni masih dicetak ke?

mamichik Publish time 26-3-2021 09:35 PM

uii.. lain kali minta timbulkan emas.. hahahaha

Perawankota Publish time 27-3-2021 04:34 AM

Rezeki rezeki..

sranua Publish time 4-4-2021 04:56 PM

Alhamdulillah niat yg baik. Cerita yang menarik.

Raline Publish time 5-4-2021 07:56 AM

3chanceno replied at 22-3-2021 03:41 PM
Mastika ni masih dicetak ke?

ada jual lagi rasanya....

Raline Publish time 5-4-2021 07:57 AM

sranua replied at 4-4-2021 04:56 PM
Alhamdulillah niat yg baik. Cerita yang menarik.

minat mancing ke?

sranua Publish time 5-4-2021 02:13 PM

Raline replied at 5-4-2021 07:57 AM
minat mancing ke?

Kalau ada masa terluang minat mancing. Cuma sekarang baru nak minat mencandat sotong. Ni dah PKP..x dapatla nak pegi Marang.

Kira bukan kaki pancing tegar...sekadar suka2 ikut org kalau ada yg ajak.


Pages: [1]
View full version: Kemunculan Nenek Kebayan Ketika Memancing


ADVERTISEMENT