Aking Publish time 1-2-2021 06:45 PM

Tiada Istilah 'Bersara', Isi Pelbagai Aktiviti

https://img-s-msn-com.akamaized.net/tenant/amp/entityid/BB1dhcmm.img?h=745&w=1119&m=6&q=60&o=f&l=f&x=353&y=184

Berita Harian

Prof Dr Wahid Omar

'JANGAN suka merajuk, nanti cepat tua' adalah kata-kata biasa digunakan berbentuk gurauan.

Baru-baru ini, saya diminta membuat perkongsian pembacaan oleh Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Saya memilih buku dihadiahkan seorang rakan, The Changing Mind: A Neuroscientist's Guide to Aging Well karya Daniel Levitin, terbitan 2020.

Apabila saya membaca buku ini, segala fakta menunjukkan gurauan orang tua sebenarnya mempunyai asas, walaupun tiada catatan bagaimanakah gurauan ini bermula. Ini membuktikan pemerhatian orang tua sangat bernas dan berasas.

Saya memilih untuk berkongsi melalui tulisan ringkas ini kerana perkara ini perlu menjadi perhatian setiap orang dan berusaha bertindak agar kita melakukan sesuatu yang wajar sebelum terlewat dalam meniti usia emas.

Fokus tulisan ini ialah cadangan tindakan mampu kita lakukan sebagai individu. Sedikit cadangan membabitkan institusi juga ada dikemukakan demi kebaikan bersama.

Proses memasuki usia emas membabitkan aspek fizikal, minda, perasaan dan pelbagai deria yang akan mengalami kesan penuaan. Badan dan anggota badan, penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa serta bau akan terkesan. Kekuatan berfikir, daya ingatan dan emosi juga akan terkesan.

Bagaimana keadaan seseorang dalam menjalani hidup ketika tua bergantung kepada pelbagai faktor membabitkan gaya hidup bermula ketika zaman kanak-kanak dan tindak balas kepada persekitaran serta perubahan dalam tingkah laku individu.

Semua yang hidup pasti akan mati. Ini bukan persoalan lagi. Namun melalui ilmu, usaha, disiplin diri yang tinggi dan set minda yang betul mengenai kehidupan serta peranan sebagai makhluk dijadikan Pencipta, kita seharusnya boleh berusaha memanjangkan jangka sihat (health span) dan memendekkan jangka sakit (desease span).

Pendekatan ini samalah apabila kita membuat pelaburan skim insuran kesihatan atau skim lain yang memberi perlindungan kepada risiko yang mungkin terjadi. Pelaburan kita adalah dalam bentuk seperti saya nyatakan, iaitu berusaha bertindak sewajarnya, mencari ilmu dan mengamalkannya.

Menurut penulis buku ini, satu sifat keperibadian penting dalam menentukan kejayaan hidup pada hari tua ialah kesungguhan. Pakar psikologi percaya setiap orang berupaya membangunkan sifat ini dan memperkasakannya.

Dengan adanya sifat ini kita boleh mengubah cara kita berinteraksi dan memperbaiki potensi diri agar hari tua lebih baik. Kesungguhan ialah langkah pertama mengatasi cabaran mengubah gaya hidup, setelah kita mengetahui perubahan ini akan membawa kebaikan dalam jangka panjang.

Pengalaman ketika kecil dan hubungan dengan ibu bapa sangat penting. Hubungan renggang boleh menjadikan seseorang tidak berupaya membina hubungan sosial yang baik ketika dewasa.

Menjadi satu keperluan semulajadi anak-anak menjalin hubungan fizikal dan emosi intim dengan ibu bapa, termasuk anak mengalami autisma yang kelihatannya lebih selesa bersendirian.

Namun seperti diketahui, kajian menunjukkan mereka sebenarnya sangat berkehendakkan interaksi. Adalah lebih baik anak-anak elakkan sukan yang boleh memberi hentaman di kepala kerana boleh meningkatkan risiko kesihatan mental seperti demitia.

Kesihatan mental boleh dipelihara melalui kepelbagaian aktiviti fizikal ringan tidak membebankan. Berjalan laju di trek taman atau hutan boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan otak mendapat bekalan darah beroksigen. Persekitaran di taman dan langkahan boleh menggerakkan litar di otak, sekali gus menghalang kemerosotan kognitif dalam jangka panjang.

Interaksi sosial sangat penting dan hampir setiap bahagian otak akan terkesan kerana interaksi sebenar secara fizikal, bukan melalui media sosial. Aktiviti berinteraksi boleh dibuat dalam pelbagai bentuk termasuk perbincangan buku atau isu, bersukan, berjumpa teman lama dan sebagainya.

Interaksi seumpama ini membabitkan memahami bahasa badan, emosi melalui air muka dan percakapan. Ia memerlukan keterlibatan aktif seperti perasaan empati, memahami perasaan, berfikir secara logik dan ini adalah bentuk operasi kognitif lanjutan.

Menurut penulis buku ini, rasa keseorangan lebih teruk daripada menghisap 15 rokok sehari. Rasa keseorangan ialah natijah daripada rasa tidak ada nilai dalam perhubungan sosial.

Apa yang menyebabkan seseorang sukar berinteraksi ialah mudah pemarah dan gemar membuat sangkaan. Ini sifat boleh memberi kesan negatif pada hari tua.

Kajian neurosains menunjukkan satu strategi terbaik untuk kehidupan lebih tenang dan tenteram adalah dengan segera melupakan perselisihan, kemarahan sama ada kecil atau besar dan bersikap terbuka.

Jauhi bersikap bersikap pemarah dan benci-membenci serta gemar menjatuhkan hukuman. Harus diingat kesakitan berbentuk fizikal dan ia hasil daripada maklumat melalui deria, namun kesakitan juga dipengaruhi emosi dan faktor budaya.

Emosi negatif boleh meningkatkan kesakitan. Badan kita boleh menerima maklumat salah atau realiti palsu.

Kemurungan boleh berlaku kepada semua manusia tetapi kesannya sukar dilihat kepada mereka lebih berumur. Begitu juga kesan rasa keseorangan. Kemurungan ialah rasa tiada harapan, sedih dan kekosongan berpanjangan serta perlu dirawat.

Kemurungan, kesunyian dan rasa tidak dihargai boleh terjadi kepada mereka yang bersara serta meninggalkan perkhidmatan. Hubungan melalui media sosial berbeza daripada perhubungan nyata.

Buku ini mengaitkan kisah penuaan dan antara tindakan baik selain aspek penjagaan kesihatan, pemakanan, aktiviti fizikal dan seumpamanya ialah kesungguhan memelihara hubungan sosial dan melakukan sesuatu yang boleh mengaktifkan minda.

Buku ini menyarankan agar tiada istilah persaraan. Memetik kata Colonel Sanders, 'Gunakan keupayaan yang ada sehingga akhir hayat'. Beliau berkata demikian pada usia 89 tahun.

Organisasi prihatin terutama universiti boleh mewujudkan pakej mengambil kira manfaat boleh diperoleh daripada mereka veteran ini yang pastinya dalam kalangan profesor yang begitu berpengalaman bukan saja ilmunya mendalam tetapi kebijaksanaan.

Saya tahu banyak universiti menyediakan skim kontrak, namun kekangan belanjawan menjadi cabaran untuk skim seperti ini dilaksanakan dengan lebih meluas.

Sebagai contoh, UTM ada menyediakan skim Amal Bakti kepada staf akademik yang bersara. Staf boleh meneruskan memberikan kuliah secara berkongsi dan tiada bayaran khusus ditetapkan.

Mereka juga masih boleh terbabit dalam kumpulan penyelidikan diatur mengikut persetujuan bersama. Skim ini bersifat sukarela. UTM juga mewujudkan skim lantikan fleksibel, menambah baik skim Amal Bakti.

Skim ini menyediakan bayaran minimum mengikut beban tugas pengajaran dipersetujui. Skim ini memberi lebih fokus kepada tugas kuliah. Namun, pilihan untuk terbabit dalam penyelidikan turut dibuka.

Skim seperti ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu pengalaman luas staf akademik akan menguntungkan pelajar dan belanjawna tidak membebankan universiti. Staf juga mengisi masa dengan sedikit sumbangan, sambil terus mengaktifkan minda, dan dapat berinteraksi secara aktif. Ini boleh menyediakan kualiti hidup lebih baik menjelang usia emas.

Sebagai organisasi memberi perhatian utama kepada manusia, UTM mewujudkan pakej gaya hidup sihat bagi manfaat warganya. Ia berjalan secara formal dan tidak formal. Sebagai contoh setiap bulan dianjurkan senamrobik membabitkan semua warga kampus, termasuk pelajar dan keluarga staf.

Program tidak formal cukup aktif bergerak dalam kalangan staf seperti gotong-royong pembersihan sungai dan kawasan sekitar kampus. Aktiviti rekreasi oleh pelbagai kelab sangat aktif terutamanya aktiviti pendakian dan trekking.

Banyak lagi ruang boleh diteroka. Antaranya aktiviti membaca dan perkongsian buku yang boleh disertai warga emas, sama ada staf, pesara mahupun masyarakat. Aktiviti sebegini tidak membabitkan kos, tapi impaknya sangat baik.

Apa yang penting setiap pihak terutama kita sebagai individu menanam kesungguhan, dan pihak lain menyediakan ruang dan peluang, agar usia emas kita terus cemerlang.

*Penulis adalah Profesor di Universiti Teknologi Malaysia

seribulan Publish time 1-2-2021 09:32 PM

Mondok je {:1_141:}
Pages: [1]
View full version: Tiada Istilah 'Bersara', Isi Pelbagai Aktiviti


ADVERTISEMENT