Aking Publish time 27-12-2020 04:58 PM

Bina Semula Martabat Melayu Sebagai Bangsa Berdaulat - Berita Harian


Persembahan silat di perkarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka. - NSTP/ Rohanis Shukri

Dr Nordi Achie

Melayu pernah menempa nama besar dalam arena peradaban antarabangsa. Peradaban rumpun dan alam Melayu melakarkan mandala kecemerlangannya - Funan, Champa, Langkasuka, Srivijaya, Majapahit dan Melaka.

Malah, aroma kemahsyurannya semerbak ke pelantar Barat dan Timur. Sejarah bangsa, kerajaan dan kebudayaan Melayu jelas dicatatkan dalam salasilah peradaban dunia sejagat. Kemegahan Melayu terpateri dengan tinta emas dalam sejarah dan falsafah bani Adam sejagat.

Kemasyhuran rumpun dan alam Melayu terbenih serta bersemarak ratusan tahun ini membentuk keunggulan jati diri Melayu serumpun (merangkumi Madagascar, menyusuri Nusantara dan merentasi kepulauan Pasifik).

Jati diri keserumpunan Melayu memancar ke seluruh penjuru dunia itu citra perdana keperibadiannya. Justeru, di manakah letaknya keunikan rumpun Melayu?

Rumpun Melayu mencipta peradabannya dan membina falsafahnya, bukan seperti kuasa Barat. Dunia Melayu lebih terkenal kerana kawalannya terhadap perdagangan serantau dan antarabangsa. Alam Melayu kaya dengan hasil bumi, khasnya rempah-ratus dan mempunyai pelabuhan strategik serta keunikan kebudayaan, sejarah dan falsafah.

Rumpun Melayu (seperti Melayu, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar, Suluk dan Bajau) terkenal sebagai pedagang, pelayar dan pelaut handal. Mereka ialah perantau, penghijrah dan peneroka samudera menjalar ke lautan timur dan barat Nusantara.

Mereka membawa bersama jati diri bangsa dan ketinggian kebudayaan, tanpa racun keangkuhan. Satu fakta peradaban amat istimewa, selain aspek perdagangan tadi, pengiktirafan terhadap bahasa Melayu sebagai lingua franca di alam Melayu sejak abad ke-8, ketika zaman kegemilangan empayar Melayu Srivijaya.

Ketika itu, jurutera dan pelayar Srivijaya membina kapal dagang dan kapal perang terhebat dalam sejarah dunia, malah ilmu serta teknologi perkapalan Srivijaya dipercayai pernah dipelajari di China.

Selain berperanan sebagai pusat perdagangan enterport antarabangsa dan pelabuhan paling sibuk dunia, Melaka diakui pangkalan pendaulatan bahasa Melayu pada abad ke-15 sebagai bahasa intelektual, politik, ekonomi serta sosial yang meneruskan kegemilangan rumpun Melayu.

Ini sejarah agung yang layak ditulis dengan tinta emas dicapai orang Melayu sendiri khasnya dan seluruh rumpun Melayu amnya.

Satu lagi hakikat sejarah sangat bermakna bagi rumpun Melayu ialah peranannya sebagai pelantar penyuburan ilmu Islam di Nusantara. Sesetengah sarjana mengatakan ilmu agama dalam kesarjanaan Islam mengalir ke Timur, namun ilmu sains dalam kesarjanaan Islam berkembang ke Barat.

Pengaliran ilmu Islam berkembang ke alam Melayu sejajar kedatangan pedagang Arab dan pendakwah Islam. Walaupun Islam baharu dan asing dalam dunia Melayu, ia akhirnya berkembang subur beransur-ansur ke seluruh Nusantara yang menjadi pusat dunia Melayu.

Melaka sekali lagi menjadi saksi kebenaran sejarah ini. Dari sinilah, titik tolak pusat perkembangan Islam tersebar luas di Kepulauan Melayu. Begitu juga pelaksanaan undang-undang Islam sejagat dan preventif, meliputi aspek politik, ekonomi, kehakiman, ketenteraan serta kekeluargaan.

Justeru, rumpun Melayu satu-satunya bangsa di Timur Laut Hindi yang pernah berperanan sebagai penerus agenda perjuangan Rasulullah SAW dan peradaban Islam dalam tempoh sekitar 500 tahun.

Kuasa kolonial Barat sangat mencemburui kejayaan Islam di rantau ini. Lantas, Nusantara dipecahkan menjadi dua gugusan politik kolonial, iaitu di bawah pengaruh British dan Belanda.

Setelah lebih 1,000 tahun lamanya rumpun Melayu mencipta sejarah keagungannya bersama sejarah dan falsafah peradabannya gemilang, akhirnya mereka tersungkur perlahan-lahan di tangan kuasa penjajah Barat, mulai awal abad ke-16.

Penjajah Barat mengambil masa sangat lama menguasai seluruh Nusantara, iaitu sekitar 300 tahun. Kerajaan rumpun Melayu bangkit menentang penjajahan Barat secara bertalu-talu. Mereka berperang dengan semua kuasa penjajah Barat.

Berpantang ajal sebelum maut. Pahlawan rumpun Melayu tidak pernah menyerah sekalipun kalah. Membujur lalu melintang patah.

Selepas bertempur dengan kerajaan rumpun Melayu, barulah kuasa penjajah Barat dapat menguasai Nusantara, menjelang awal abad ke-20.

Malangnya, belum pun sampai 50 tahun penjajah Barat berkuasa sepenuhnya di Nusantara, tercetus Perang Dunia Kedua (1941-1945). Penjajah Barat angkuh ditewaskan tentera Jepun.

Ini fakta sejarah menggemparkan dunia dan menjatuhkan maruah kuasa Barat. Sejak itu, dunia Barat berhidung tinggi menjadi bahan ketawa dunia Timur yang rendah hati.

Sungguhpun begitu, kekayaan hasil bumi Nusantara dikorek dan dihumban ke Eropah demi memperkaya negara mereka pada zaman revolusi industri. Semakin pesatlah kemajuan industri di Eropah, namun semakin tandus pula hasil bumi Nusantara.

Apa yang tinggal buat rumpun Melayu? Apakah iktibar kefalsafahannya? Selain kemusnahan hampir seluruh kerajaan rumpun Melayu, peranan mereka dalam kegiatan perdagangan antarabangsa turut dirampas kuasa penjajah dan syarikat Barat menerusi dasar monopoli yang kejam dan rakus.

Rumpun Melayu dijajah buat kali pertama bangsa berhidung tinggi. Penjajahan Barat memberi kesan besar terhadap bangsa Melayu serumpun.

Rupa-rupanya, dalam keghairahan baka Melayu membina keagungan sejarah peradabannya, ada lagi bangsa lain lebih maju dan kuat, yakni bangsa Eropah.

Sains dan teknologi Islam dibawa masuk ke Eropah ternyata melonjakkan keperkasaan bangsa berkulit putih ini hingga akhirnya (biarpun dalam keadaan yang sukar) mereka menjajah dan menjarah Nusantara.

Jika bukan kerana perpecahan dalaman (akibat perebutan kuasa politik dan ekonomi) antara pemimpin serta kerajaan rumpun Melayu, di samping pelbagai bentuk pembelotan sesama sendiri, semakin besar kesulitan dihadapi penjajah Barat untuk menjajah Nusantara.

Melayu bukan sahaja berani menyerang, malah berani bertahan. Pantang dicabar, pantang berundur. Kekalahan mereka kekalahan bermaruah.

Selepas tamat era pendudukan Jepun, semua kuasa penjajah Barat berundur dari Nusantara. Pada setiap detik kemerdekaan, tidak ada tangisan sayu mengiringi kepergian penjajah kerana kedatangan mereka pun tidak pernah diundang.

Pada zaman penjajahan, maruah dan martabat bangsa ini berada di bawah kaki penjajah. Jati diri Melayu mulai dimamah. Keperibadian bangsa semakin lemah.

Keagungan bangsa semakin rendah. Mereka pernah teralpa terhadap motif bangsa Barat pada setiap kerlingan mata dan gerak-geri mereka. Akibatnya, bukan sekadar budaya hidup Melayu sahaja dijajah, malah minda dan jiwa bangsa turut dijajah.

Neokolonialisme ini paling berbahaya kerana kelunakannya. Belajarlah daripada sejarah.

Inilah masanya untuk seluruh anak bumi Melayu bangkit kembali - bangkit daripada selimut keselesaan, kelambu kealpaan, longkang kelalaian dan lubuk kehinaan.

Bilakah langkah ini bermula? Di manakah cerdik pandai mengaku dirinya Melayu? Masihkah sarjana Melayu terbius dengan retorik pengantarabangsaan? Masihkah saintis Melayu berselindung di sebalik inovasi?

Berapa ramaikah mereka benar-benar sedar dan berani bertindak bijaksana untuk membina semula martabat dan maruah Melayu sebagai bangsa berdaulat?

Pada zaman penjajahan, kita menentang penjajah. Pada zaman ini, kita menentang bangsa sendiri. Lebih mudah menentang penjajah berbanding menyanggah darah daging kita sendiri.

Inilah falsafah pengisian kemerdekaan. Kemerdekaan hak asasi manusia. Lantaran itulah, kita punyai hak insani untuk berbangga dengan kemerdekaan.

* Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Pemikir Siswazah Sabah (PERSIS)

AceHand Publish time 28-12-2020 02:08 AM

Hmmm...

[AceHand SPECTaceLAR]

Kena hada teras agama dulu baru bleh cakap pasal martabat...


Jizzz... Klong! Klong!

Pages: [1]
View full version: Bina Semula Martabat Melayu Sebagai Bangsa Berdaulat - Berita Harian


ADVERTISEMENT