akudansesuatu Publish time 4-5-2021 02:49 PM

Izhan terdiam. Dia menjeling Nur Hana. Pandai budak ni perangkap aku.

"Tak nak cakaplah, awak pandai bagi soalan perangkap."

Mereka berdua ketawa kecil. Izhan memerhatikan Nur Hana ketawa, hilang terus cerita sedih di awal pertemuan mereka tadi. Terdetik di hati Izhan, cukup indah makhluk ciptaan Allah ini.

"Cantik..." tanpa sengaja Izhan berkata-kata.

"Apa dia?" Nur Hana bertanya. Bukan kerana tidak dengar tapi mahu pasti yang perkataan itu keluar dari mulut Izhan.

"Cantik. Saya cakap cantik. Awak menoleh ke sini, mata yang sedikit sembab, hidung pun sedikit merah, latar belakang bangunan putih mahkamah dan dengan lampu limpah putih kuning. Emm... ada sedikit pantulan warna hijau, mungkin dari rumput atau tudung awak. Cantik kalau ambil gambar,"

"Wow! Penerangan yang jelas," Nur Hana terasa kagum. Tak sangka Izhan boleh memberi penerangan sebegitu.

Izhan tersengih sumbing, "Saya belasah ajelah awak."

"Cepatlah ambil gambar," pantas Nur Hana mengarah.

Izhan mengeluarkan telefonnya perlahan-lahan. "Orang perempuan memang cukup pantang dengan kamera kan?"

Sepantas kilat Nur Hana membetulkan duduknya. Tangannya membetulkan tudungnya yang sememangnya terletak elok. Dia menoleh ke arah Izhan sambil tersenyum kecil.

Izhan menangkap sekeping gambar tanpa flash. Tanpa sempat dibelek elok atau tidak, Nur Hana sudah mengambilnya terlebih dahulu untuk di lihat. Izhan hanya memerhati telatah Nur Hana, hatinya sedikit terhibur.

"Cantiklah awak..." Nur Hana sedikit kagum. Memang betul kata Izhan, posisi dia dan latar belakang membuatkan gambar itu kelihatan menarik.

"Perasan," telefon pintar itu bertukar tangan. Izhan meneliti semula gambar yang di ambilnya sebentar tadi. Dia termenung.


akudansesuatu Publish time 4-5-2021 02:54 PM

"Awak tahu tak? Zaman saya dahulu, kamera adalah perkara yang asing, limited dan terhad,"

Nur Hana menongkat dagu memandang Izhan. Cuba memahami apa yang cuba disampaikannya.

"Saya hanya ada sekeping gambar pasport. Itu pun saya ambil dari perpustakaan. Tak banyak yang saya boleh kongsikan dengan awak pasal kawan saya tu. Tapi banyak yang saya belajar dari 'dia'."

Izhan terdiam seketika.

"Dalam situasi awak sebagai anak perempuan, saya yakin yang redha mak dan ayah awak menjadi keutamaan. Bersangka baiklah dengan Allah sebab redha Allah ada pada redha mak dan ayah kita. Kalau awak rasa serabut, doa dan mintaklah kepada Allah. Okey?"

Kata-kata Izhan melekat terus ke dalam hati Nur Hana. Dalam bergurau, Izhan masih memikirkan tentangnya. Dalam sakat dan usikan, masih lagi Izhan sempat menasihatinya. Nur Hana mengangguk tersenyum. Badannya terasa sedikit ringan. Dan fikirannya sudah sedikit lapang. Ada hikmahnya dia berjumpa dengan Izhan di sini malam ini.

Nur Hana memandang Izhan yang leka memandang langit. Tiba-tiba datang idea pelik mengetuk serebrumnya. Nur Hana merenung kembali rumput di kaki dan kemudian kembali memandang Izhan. Wajah tenang Izhan diperhatikan lama. Mungkin? Hatinya berteka-teki.


akudansesuatu Publish time 5-5-2021 03:03 PM

"Izhan,"

"Ye?" Izhan menjawab tanpa menoleh.

"Nak bercinta tak?"

Izhan menoleh ke arah Nur Hana yang masih setia memandangnya. Dahinya dikerutkan.

"Nak bercinta dengan saya tak?" Nur Hana mengulangi permintaannya. Izhan tidak nampak terkejut, lebih kepada kehairanan.

"Alasannya?" Izhan bertanya semula.

"Takde alasan yang konkrit. Mungkin boleh bantu Hana lupakan Zarul?"

Izhan terdiam. Tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Dan mana tahu Hana boleh tolong Izhan lupakan si dia tu?" Nur Hana tersenyum.

"Saya pulak..." Izhan tersengih.

"Awak sukakan saya ke?" giliran Izhan pula bertanya.

Nur Hana menggeleng perlahan.

"Macam mana kalau satu hari nanti,awak sukakan saya dan saya pun macam tu?" Izhan cuba menduga.

Dahi Nur Hana berkerut. "Kita kahwin ajelah,"

Izhan terdiam. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul jugak kan?

"Tapi takde faedah pun nak bercinta dengan orang tua macam saya ni. Awak mudah lagi, cari yang lebih kurang."

Nur Hana mencebik seakan merajuk. Izhan terasa sedikit bersalah.

Mereka berdua terdiam. Melayan perasaan sendiri. Nur Hana tidak kisah sebenarnya. Kata-katanya tadi lebih pada mengikut kata hati.

Izhan menoleh ke arah Nur Hana. Gadis itu menongkat dagunya di lutut pada kaki yang dilipat.


akudansesuatu Publish time 5-5-2021 03:05 PM

"Saya setuju,"

Mata mereka bertemu.

"Kita ambil sebanyak masa yang kita nak. Kalau satu hari nanti awak jumpa pilihan hati, kita berpisah cara baik. Dan kalau satu hari nanti kita betul-betul jatuh cinta, kita kahwin. Okey?" bibir Izhan mengulas senyuman manis. Mata besar Nur Hana ditenung lama.

"Tiba-tiba je setuju ni?" giliran Nur Hana cuba menduga hati Izhan.

"Takde alasan yang konkrit,"

Nur Hana tergelak mendengar Izhan meniru jawapannya sebelum ini. Dia rasa sedikit terhibur.

"Tapi..." mata mereka bertaut kembali. Izhan menarik nafas singkat.

"Apa yang kita akan buat ni bukan benda yang betul. Dan kita dah cukup dewasa untuk bezakan mana yang betul dan salah. Kita juga dah cukup besar untuk main-main dalam bab hati dan perasaan. Jadi kita kena prepare akibat yang akan datang,"

Nur Hana membisu. Betul kata-kata Izhan. Dia mengangguk mengiyakannya.

"Saya pun tak suka buat perkara yang salah," Izhan bingkas bangun sambil diperhatikan Nur Hana.

"Er... awak nak pergi mana?" Nur Hana juga segera bangun. Kakinya terasa semut-semut.


akudansesuatu Publish time 5-5-2021 03:06 PM

"Nak baliklah. Angin sejuk malam ni, macam nak hujan aje?" Izhan menguak rambutnya ke belakang. Kemudian dia dan Nur Hana berjalan beriringan ke tempat letak kereta.

"Izhan,"

"Em?"

"Semoga awak jatuh cinta dengan saya,"

Izhan tersengih. Nur Hana buat muka selamba. Izhan melepaskan keluhan berat. Semakin lama dia mengenali Nur Hana, semakin kurang kefahaman dia tentang gadis ini. Kadang kala keberanian gadis ini sukar untuk di duga.

Izhan sendiri juga semakin kurang memahami dirinya sendiri. Bagaimana dia boleh bersetuju dan kenapa dia mengikut sahaja cadangan Nur Hana, dia sendiri tidak mengerti. Cuma gerak hatinya sahaja yang mendahuli logik akalnya.

Pengakhiran malam itu, dia meredah hujan pulang ke rumah. Fikirannya dibuai blues, cuba mencari mana logiknya jalan yang dipilih.







Habissss bab ni....

Ipo Publish time 8-5-2021 03:27 PM

wow!
Dah ada kata sepakat Hana dan Izhan
Banyak dah tertinggal keretapi cerita ni

Selamat berpuasa dan menyambut hari raya{:mldance2:}

akudansesuatu Publish time 20-1-2022 03:34 PM

Bab 18

Tiga pagi. Muhammad Izhan menyilang lengannya di dahi sambil berbaring. Terkebil-kebil matanya tidak mahu terlelap. Kebiasaannya dia mudah terlelap, tapi untuk malam yang sudah menghinjak ke pagi ini, matanya masih degil untuk tidur. Mengiring ke kanan salah, mengiring ke kiri tak selesa, terlentang pun rasa sakit urat.

Semuanya gara-gara pertemuannya dengan Nur Hana, permintaan Nur Hana, antara kewarasan dan imbang akal dia dan Nur Hana.
Semuanya Nur Hana. Betul ke apa yang aku buat ni? Kenapa aku boleh setuju pulak 'permainan' macam ni? Bukan aku payah ke nak masuk campur bab sakit jiwa ni? Hatinya bergumam dan memberontak.

Izhan memikirkan baik dan buruk tentang apa yang bakal dilakukannya. Impak dan akibat daripada bermain-main tentang hati dan jodoh. Dia jadi serabut. Atau aku yang terlebih berfikir??? Sekali lagi jiwanya memberontak.

"Allahu..." nama besar itu disebut. Cuba mencari jalan terbaik untuk membetulkan keadaan.

Izhan melihat jam di dinding. Waktu yang sangat elok untuk bertahajjud. Ditambah pula dengan hujan yang masih belum berhenti sejak jam sebelas tadi. Dengan melawan rasa malas, dia bangun dari pembaringan menuju ke bilik air untuk berwudu'. Harapannya, semoga Allah berinya sedikit ilham untuk memilih jalan yang betul.


akudansesuatu Publish time 20-1-2022 03:35 PM

Nur Hana Raihan menggeliat malas. Cahaya matahari yang menerjah masuk ke biliknya menyebabkan dia terjaga. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia sambung tidur. Tapi bila melihat langsir biliknya sudah tersingkap, dia membatalkan sahaja niatnya. Pasti mamanya yang sengaja menyelak langsir dan mematikan penghawa dingin. Mahu dia segera bangkit dan turun ke bawah. Ibu mana yang suka melihat anak daranya bangun lambat?

Nur Hana menuruni tangga dan terus menuju ke ruang tamu. Dia berbaring malas di sofa. Ayahnya Haji Kamaruzzaman hanya melihat telatah anak daranya. Dia menggeleng kepala. Dah boleh buat menantu ke anak aku ni? Dia bertanya sendiri.

"Hana, tidur lagi budak ni. Solat subuh tak tadi?" Hajjah Aisyah segera ke ruang tamu apabila melihat Nur Hana berbaring di sofa. Diletakkan segelas kopi o tanpa gula di atas meja berhadapan suaminya.

Nur Hana mengangguk. Matanya masih terpejam.

Hajjah Aisyah duduk bersebelahan Nur Hana. Segera gadis itu berkalih dan berbaring di riba ibunya. Manjanya seperti budak sekolah rendah.

"Mama nak tanya ni," nampak riak risau di wajah Hajjah Aisyah.

akudansesuatu Publish time 20-1-2022 03:36 PM

"Betul ke Hana tengah berkawan dengan Izhan?"

Serta merta mata Nur Hana terbuka luas. Segera dia bangun dari pembaringan dan duduk. Mana mama tahu ni???

Nur Hana memandang ibunya tanpa jawapan. Dia menelan air liur.

"Betullah tu bang..." Hajjah Aisyah berkalih memandang suaminya yang dari tadi setia menunggu.

"Sejak bila Hana?" giliran Haji Kamaruzzaman pula mengambil alih soal siasat.

"Err... baru lagi. Ta... tapi macam mana mama dengan ayah boleh tahu?" jantung Nur Hana berdebar. Dia masih tidak boleh berfikir dengan waras. Apa jawapan yang perlu diberikan kalau-kalau ibubapanya bertanya lebih jauh.

"Kan saya dah cakap bang, tengok diorang bersembang malam tu pun macam ada apa-apa je." Hajjah Aisyah terasa geram. Ikutkan hatinya, mahu sahaja peha Nur Hana dicubit.

"Hana ni, kalau iye pun, bagitahulah ayah. Kesian Fateh sepupu Hana tu tertunggu-tunggu jawapan Hana," Haji Kamaruzzaman juga geram. Dia masih belum lagi memberikan jawapan kepada keluarga abang sulungnya.

"Entah Hana ni, suka sangat berahsia." tangan Hajjah Aisyah singgah juga di lengan Nur Hana. Dia mencubit manja.


akudansesuatu Publish time 20-1-2022 03:38 PM

"Jap kejap. Mana ma ayah tau? Hana tak bagitau siapa-siapa pun. Lagipun, baru sangat. Baru sangat-sangat." Nur Hana mula gelisah. Dia seperti mahu menangis.

"Izhan bagitahu ayah kat surau. Subuh tadi,"

"Ha???" Nur Hana terlopong. Kenapa dia bagitahu pulak???

"Tutup sikit mulut tu," Hajjah Aisyah menegur. Tak manis.

"Err... Izhan ada cakap apa-apa lagi tak ayah?" Nur Hana cuba berlagak tenang. Takut juga kalau Izhan memberitahu ayahnya apa yang terjadi semalam.

"Adalah sikit. Tapi itulah..." Haji Kamaruzzaman menolak sebuah kotak warna merah sebesar tapak tangan di atas meja.

Tiba-tiba sahaja tengkuk Nur Hana meremang. Tangannya mula berubah suhu. Kakinya sudah lama sejuk dan matanya terbungkang luas. Kotak kecil itu betul-betul menakutkannya.

"A... apa tu ayah?" satu pertanyaan yang dia sudah pasti akan jawapannya!

"Tengok pun dah tahu," Hajjah Aisyah mencelah. Bibirnya terukir senyuman.

"Izhan bagi," selamba sahaja tutur kata Haji Kamaruzzaman. Dia tersengih.

"Ha???" Nur Hana sudah mahu menangis.

"Dengar elok-elok. Kalau seorang lelaki jumpa ayah, minta izin dengan ayah untuk berkawan dengan Hana, dan ayah izinkan,"

Haji Kamaruzzaman berhenti seketika.

"Dan lelaki itu pulak, dari segi adatnya bagi cincin sebagai tanda, secara rasminya Hana dah bertunang sekarang," bagai anak panah, kata-kata Haji Kamaruzzaman terus menuju ke sasaran. Tepat ke lubuk hati Nur Hana.


akudansesuatu Publish time 20-1-2022 03:39 PM

Nur Hana memandang ibu dan ayahnya bergilir-gilir. Dia hilang kata-kata bila mendengar perkataan 'tunang'. Pipinya sudah terasa tebal seinci.

"Izhan bagi ni, dia tahu tak apa yang dia buat?" Nur Hana cuba mencari info yang tertinggal. Mana tahu Izhan sengaja membuat 'prank' kepadanya atau Izhan sengaja bergurau kasar. Bekas merah di meja masih belum berusik.

"Izhan tahu, ayah dah explain kat dia."

Nur Hana memajam mata rapat. Geram!

"Er... ayah, mama. Hana nak keluar kejap. Nak cari orang,' perlahan-lahan Nur Hana bangkit dan berjalan pantas menuju ke bilik atas. Senyumannya dibuat-buat.

Haji Kamaruzzaman dan Hajjah Aisyah saling berpandangan. Mereka kehairanan melihat Nur Hana tergesa-gesa. Kurang dari seminit, kelibat Nur Hana turun dan menuju ke luar rumah. Gadis itu hanya berselendang menutup rambutnya. Baju tidurnya masih belum bertukar.

"Mandilah dulu Hana," Hajjah Aisyah menegur takala injin Produa Axia sudah dihidupkan.

"Tak sempat ma. Balik nanti,"

Nur Hana memandu keretanya keluar dari perkarangan rumah. Hatinya menjerit nama Izhan.









Masih berusaha untuk menulis...

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:25 PM

Bab 19

"Aaaaacchhhoooo!"

Muhammad Izhan memegang hidungnya. Ia sudah mula terasa gatal. Suaranya juga sudah berubah sedikit garau. Dia mula terasa perubahan pada badannya yang sekejap panas, sekejap sejuk.

"Mana Hana ni, aku dah nak gerak ni..." Izhan merungut. Sebentar tadi Nur Hana menelefonnya bertanya lokasi dia berada. Dan bila sahaja dia memberitahu yang dia berada di hadapan Warung Kite, terus sahaja gadis comel itu menyuruhnya tunggu di sini.

Izhan duduk di dalam kereta sambil memasang penghawa dingin. Dia memejamkan mata dengan niat untuk terlelap sebentar. Malam tadi dia tidak dapat tidur, sampai ke subuh dia berjaga. Kini baru dia mula terasa mengantuk. Tapi ditahankan mata untuk dia selesaikan kerja-kerja untuk Warung Kite.


akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:25 PM

Baru dia hendak terlelap, tingkap pintunya sudah diketuk. Dia membuka mata.

"Ada apa Hana?" segera dia bertanya apabila tingkap diturunkan separuh.

"Keluar kejap. Saya ada benda nak bincang dengan awak ni,"

"Saya dah lewat nak pergi beli barang ni. Balik nantilah ye?" Izhan cuba mengelak. Entah kenapa kepalanya terasa agak berat.

Nur Hana berjalan laju ke arah pintu penumpang hadapan. Segera dia masuk dan duduk di kerusi penumpang. Izhan melihatnya terpinga-pinga.

"Takde, kita kena cakap sekarang jugak!"

"Hana... saya ada kerja ni. Kalau awak taknak keluar, saya bawak awak je ni." Izhan baru perasan yang Nur Hana sedikit kelam kabut.

"Okey jom! Kita cakap dalam perjalanan. Awak jangan nak mengelak," Nur Hana menghempas pintu kereta tahun 1995 dengan kasar. Geram dengan Izhan dan pintu kereta itu yang menjadi mangsa.

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:26 PM

"Bismillah..." Izhan memasukkan gear dan terus keluar dari perkarangan Warung Kite.

"Okey cik Hana, apa yang penting sangatnya?" Izhan memandu perlahan. Memandu kereta manual memerlukannya lebih banyak menggunakan tangan kiri.

"Kenapa awak bagitahu ayah yang kita tengah berkawan? Baru semalam aje saya suggest kat awak kita bercinta. Mula pun tak lagi. Dan kita tak buat apa-apa pun lagi! Kenapa awak bagitahu ayah? Malu tau saya bila ayah dengan mama tanya pagi tadi. Saya tak tahu nak jawab apa. Tiba-tiba aje awak boleh bagitahu ayah. Kenapa aw..."

"Jap, kejap lagi ulang balik. Saya nak turun ambil barang," selamba sahaja Izhan keluar dari kereta dan menuju ke kedai barang basah. Sengaja dia buat begitu selepas menerima tembakan bertalu-talu dari Nur Hana.

"Ee... geramnya!" gadis itu semakin geram. Boleh pula Izhan keluar waktu dia membebal. Siapa suruh aku ikut??? Dia mengutuk dirinya sendiri. Nur Hana melihat sekeliling, baru beberatus meter dari restoran Warung Kite.

Nur Hana menarik nafas. Rasa geram dan hilang sabar perlu dikawal. Jika tidak, sia-sia sahaja perbincangannya dengan Izhan hari ini. Nur Hana cuba mengawal pernafasannya. Satu... dua... tiga... empat...

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:26 PM

Seketika kemudian pintu sebelah pemandu dibuka. Izhan segera masuk ke dalam perut kereta. Bungkusan sayur kobis diletakkannya di kerusi belakang. Nur Hana memerhati tanpa kelip. Dia menunggu untuk meluahkan perasaannya. Macam mana lelaki dihadapannya ini boleh bersikap seperti tiada apa-apa?

"Nah," Izhan menghulurkan sesuatu. Ais krim kon perisa vanila itu bertukar tangan.

"Makanlah, sambil-sambil tu kita sembang." Izhan tersenyum manis. Berharap ais krim itu dapat meredakan tindak tanduk yang sedang kalut.

Nur Hana terdiam. Ais krim kon itu diperhatikan bergilir-gilir dengan pemandu disebelahnya. Sedikit sebanyak rasa marahnya sedikit reda.

"Okey, kat mana kita nak mula?" Izhan meneruskan pemanduannya. Destinasi seterusnya adalah kedai Wahab.

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:27 PM

"Kenapa awak bagitahu ayah..." pertanyaan Nur Hana sedikit meleret. Tangannya sibuk mengoyakkan kertas pembalut ais krim.

"Saya taknak buat perkara yang membelakangkan keluarga," ringkas jawapan Izhan.

"Tapi kita main-main aje kan?" dahi Nur Hana berkedut. Dia masih fokus untuk membuka pembalut ais krim.

Izhan memberhentikan keretanya takala melalui persimpangan lampu isyarat di Persiaran Bangi. Dia mengambil ais krim kon pada tangan Nur Hana lalu mengoyakkan kertas pembalutnya. Ais krim itu bertukar tangan buat kali ke dua.

"Awak kata semalam sampai tahap kahwin. Takkan kira main-main lagi kot?" Izhan memandang Nur Hana yang masih merenung ais krim di tangannya.

"Betul, tapi terlalu awal. Saya taknak mama dan ayah letak harapan yang tinggi," Nur Hana melepaskan keluhan.

"Takpe... saya dah terus terang dengan ayah awak," Izhan berkata jujur. Tidak mahu berselindung.

"Terus terang?"

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:27 PM

Izhan menarik nafas dalam. "Saya bagitahu ayah awak yang kita tengah nak mengenali dan memahami antara satu sama lain. Saya bagitahu jugak yang kita mungkin perlukan masa yang lama untuk prosess tu, jadi ada kemungkinan hubungan kita ni boleh pergi jauh atau tidak."

"Awak cakap macam tu?" Nur Hana terasa kagum. Berani dia jumpa ayah cakap macam tu?

"A'ah. Berterus terang lebih baik. Lagipun saya tak anggap apa yang kita persetujui semalam sebagai 'main-main'," Izhan berdehem membetulkan suaranya.

"Kenapa awak tak bincang dengan saya dulu?" nada Nur Hana semakin reda. Penyejuk tekak itu betul-betul mujarab.

"Saya ikut gerak hati aje. Semalaman saya tak tidur fikirkan pasal ni. Awak punya idealah ni," Izhan berseloroh cuba memulangkan akibat semalam kepada Nur Hana.

"Saya pulak... awak yang cari masalah," Nur Hana memulangkan paku buah keras. Geramnya masih lagi berbaki.

"Izhan... saya anggap apa yang jadi semalam sebagai sesuatu yang tak serius. Awak tahukan pada siapa hati saya sekarang? Mungkin semalam fikiran saya berkecamuk, keliru, sampai cakap yang bukan-bukan. Okey saya accept yang semua berpunca dari saya tapi tak perlulah sampai libatkan keluarga,"

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:28 PM

Izhan terdiam. Kata-kata Nur Hana sedikit terkesan di hatinya. Dia kembali menimbal balik cara dia berfikir dan mengendalikan masalah.

"Cincin tu pulak?" Nur Hana bertanya lagi.

Izhan memberhentikan keretanya di hadapan kedai Wahab. Sebuah kedai borang yang terletak berhampiran Pasaraya Warta.

"Saya nak beli barang, mungkin lama sikit. Nanti kita sambung," Izhan terus berlalu memasuki ke dalam perut kedai dua pintu itu. Nur Hana memerhati langkah Izhan. Ais krim di tangannya sudah habis. Entah bila dia menelan, dia sendiri tak ingat. Tangannya pula rasa melekit.

Nur Hana duduk seorang diri di dalam kereta Izhan. Dia membelek-belek radio untuk mendengar sesuatu tetapi tiada bunyi yang keluar. Rosak kot? Dia berguman.

Selang beberapa minit kedengaran pintu bonet belakang dibuka. Nur Hana menoleh, kelihatan Izhan sedang memunggah barang-barang dapur ke dalam kereta. Ada rintik peluh yang terbit di dahinya. Izhan melemparkan seulas senyuman untuk Nur Hana.

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:29 PM

"Okey, boleh sambung." Izhan nampak mengah. Mungkin tergesa-gesa membeli barang keperluan kedai dan bergegas ke kereta. Mungkin juga tidak mahu Nur Hana menunggu terlalu lama. Sedikit rasa bersalah menjalar dalam diri Nur Hana. Dia tak sepatutnya mengganggu lelaki ini sedang bekerja.

"Nah," Izhan menghulurkan kertas tisu kepada Nur Hana. "melekit tangan tu kan makan ais krim?"

Nur Hana menyambut dan dia terfikir bagaimana Izhan boleh membaca apa yang ada dalam fikirannya.

"Pasal cincin tu..." Izhan menyambung kembali pemanduannya.

"Kalau saya serius untuk berkawan dengan seseorang tu, saya akan usaha betul-betul. Umur saya tak sesuai untuk main-main Hana. Kalau perasaan cinta tu takde, saya akan cari. Kalau perasaan tu masih ada pada orang lain, saya akan cuba buang. Awak bagi saya pilihan kan semalam? 'Nak bercinta tak?'. Siapa yang taknak bercinta dengan awak?" ada nada gurauan dalam kata-kata Izhan. Dia cuba untuk buat Nur Hana rasa selesa dengannya.

akudansesuatu Publish time 19-5-2022 03:30 PM

"Awak sukakan saya ke?" Nur Hana memandang tepat pada Izhan yang sedang memandu.

"Belum lagi."

"Awak serius ke dengan saya?" sekali lagi Nur Hana bertanya.

"Saya serius dengan apa yang saya nak buat. Awak?" Izhan memulangkan kembali pertanyaan itu kepada Nur Hana. Gadis itu terdiam.

"Saya tak tahu... saya tak yakin. Saya tak yakin yang saya boleh lupakan dia dan terima orang lain," Nur Hana menyandarkan kepalanya.

"Hana, cincin tu untuk kita betulkan keadaan. Awak ada dua pilihan, terima atau tolak." Izhan memandang Nur Hana selepas memberhentikan keretanya.

"Maksud awak?" Nur Hana masih belum faham.

"Awak boleh terima cincin tu atau pun tolak. Kalau awak terima, kita teruskan aje yang kita plan. Kalau awak tolak, anggap saja kita tak pernah berjanji apa-apa. Maksud saya, kita tak perlu bercinta. Kita jadi kenalan macam sebelum ni, dan... takat itu je."

Nur Hana terdiam lagi.
Pages: 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 [16] 17
View full version: NOVEL : LELAKI Bab 19


ADVERTISEMENT