Kuala Lumpur: Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali memilih Selangor FC antara pasukan pilihan yang bakal menjulang Piala Malaysia musim ini berbanding Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pasukan-pasukan lain. Safee yang lahir di Kajang, Selangor dan juga mula mencipta nama sebagai peledak berbahaya negara ketika menyarung jersi Red Giants dari 2006-2011 akui saingan trofi berprestij itu sering menghadirkan kejutan yang tidak disangka. Selain Selangor FC, jaguh Pantai Timur iaitu Terengganu FC juga dianggap mampu membelah banjaran Titiwangsa bersama Piala Malaysia ke Kuala Terengganu. "Untuk Piala Malaysia, saingan ini sangat menarik. Saya mengharapkan pasukan lain boleh juara. "Saya mengharapkan Selangor atau Terengganu boleh menjuarai untuk Piala Malaysia musim ini," katanya di saluran YouTube miliknya, Sports Tarik. Selangor FC yang cukup sinonim dengan Piala Malaysia menerusi kejayaan menjulangnya sebanyak 33 kali dilihat mampu memberi saingan memenangi trofi itu buat kali ke 34.
Malah, skuad Penyu yang memiliki pasukan terbaik berpeluang menamatkan badi 23 tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2001 lalu yang juga kejuaraan sulung pasukan itu. Bagaimanapun Safee tetap melihat JDT sebagai pasukan yang akan mengekalkan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut. "Untuk Liga Super saya masih memilih JDT sebab mereka ada skuad yang sangat besar. Pemain di bangku simpanan pun (kualiti) tahap pasukan kebangsaan yang mana mereka boleh ganti mana-mana pemain dan tahap permainan itu sama. "Itu kelebihan JDT sebab Liga Super persaingan yang panjang," katanya yang pernah bersama skuad Harimau Selatan dari 2014-2017. Selain itu, Safee memilih beberapa pasukan iaitu JDT, Kuala Lumpur (KL) City, Terengganu dan Kedah Darul Aman (KDA) sebagai antara calon juara Piala FA. "Piala FA agak sukar sedikit, sebab mana-mana pasukan boleh jadi juara. Sudah pasti saya berasa final JDT dan mereka mungkin akan lawan KL City atau pasukan lain. "Piala FA ini banyak kejutan. Saya susah nak pilih pasukan mana, dalam fikiran saya yang kuat sekarang adalah Terengganu. Tapi takkan Terengganu sahaja, jadi saya pilih pasukan lain juga, (mungkin) peluang Kedah untuk menjuarai Piala FA tahun ini," katanya. Sumber ; Harian Metro |
ADVERTISEMENT