[Tempatan]
Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng, dua anggota cedera parah. #23, Dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terbunuh, penyerang mati ditembak. #104, Penyerang dipercayai ahli Jemaah Islamiyah
JOHOR BAHRU: Dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, di sini jam 2.54 pagi tadi.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, yang turut memaklumkan suspek ditembak mati di lokasi.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Beliau berkata, dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.
"Siasatan awal mendapati anggota polis ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam perjalanan ke lokasi kejadian
Suasana di lokasi kejadian anggota polis ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Kejadian dipercayai jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
Suasana di lokasi kejadian anggota polis ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan