mattzzx Publish time 9-5-2024 04:19 PM

Kelibat keluarga tak kelihatan, remaja beritahu mahkamah tak ingat nombor telefon mereka

https://assets.bharian.com.my/images/articles/ugutmak_%281%29_1715242060.jpg
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan mengugut mahu memukul ibu. - NSTP/ALIAS ABD RANI

BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan mengugut mahu memukul ibunya, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengingati nombor telefon keluarga dan mereka juga berkemungkinan tidak mengetahui prosiding hari ini.

Tertuduh yang sudah tercicir daripada persekolahan menengah itu berkata demikian apabila mahkamah bertanya kepada remaja berusia 17 tahun itu mengenai keluarganya selepas kelibat mereka tidak kelihatan.

Bagaimanapun, anak sulung daripada enam beradik itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas ibunya berusia 37 tahun dengan mengeluarkan kata-kata mahu memukul wanita itu, di sebuah kedai barangan terpakai di Rengit, di sini, kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu.


Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 26 Jun depan untuk laporan akhlak serta hukuman.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat ibu mangsa, kejadian didakwa berlaku ketika remaja itu meminta wang tetapi wanita berkenaan enggan memberikan kepadanya.

Tertuduh kemudian didakwa mengambil sebatang besi lalu mengacu pada ibunya menyebabkan wanita itu ketakutan sebelum membuat laporan di Balai Polis Rengit pada keesokan hari.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/05/1244966/kelibat-keluarga-tak-kelihatan-remaja-beritahu-mahkamah-tak-ingat-nombor
Pages: [1]
View full version: Kelibat keluarga tak kelihatan, remaja beritahu mahkamah tak ingat nombor telefon mereka


ADVERTISEMENT