sfhzuraz Publish time 8-5-2024 05:32 PM

Faisal banyak bantu penduduk kampung

Faisal banyak bantu penduduk kampung


Oleh Nur Izzati Mohamad - Mei 8, 2024 @ 5:13pm bhsukan@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/Mohd_Shafiee_Abdul_Rahim._1715160318.jpg
Timbalan Presiden Kelab Faisal Halim, Mohd Shafiee Abdul Rahim




BUKIT MERTAJAM: Bukan sahaja sumbangan dalam melahirkan bakat baharu sukan bola sepak, Faisal Halim turut disenangi penduduk Kampung Mengkuang Titi, di sini, dengan keramahan dan budi pekertinya dalam menyantuni mereka yang kurang berkemampuan.
Timbalan Presiden Kelab Faisal Halim, Mohd Shafiee Abdul Rahim berkata, sebagai anak jati kampung itu Faisal yang bermain untuk kelab Selangor FC tidak pernah sesekali melupakan masyarakat di kampung halamannya.
Malah, pemain skuad kebangsaan berusia 26 tahun itu turut memberikan kebenaran untuk menubuhkan Kelab Bolasepak DNA Faisal Halim bagi memberi peluang kepada anak muda kampung berkenaan menyerlahkan bakat mereka.
"Kelab ini pula baru ditubukan enam bulan lalu dan Sabtu lalu dilancarkan selepas berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
"Ini selepas Faisal dan ayahnya sendiri memberi kebenaran sebab nak lihat ada bakat baru dalam kalangan orang kampung di sini untuk bersinar seperti Faisal.
"Faisal tidak lokek ilmu dengan penduduk di sini dan setiap kali dia balik kampung mesti akan datang turun bermain. Karakternya sentiasa senyum serta tidak sombong walaupun dia seorang pemain yang sangat popular dan sedang berada di puncak kegemilangan," katanya.
Selain itu Mohd Shafiee berkata, Faisal juga kerap menghulurkan bantuan barang keperluan kepada penduduk yang memerlukan.
"Faisal ini sumbangannya tidak terkira, bukan hanya dari segi sukan tetapi tidak lupa juga kepada orang kampung yang memerlukan yang menjadi rutin kebiasaannya setiap kali dia pulang ke sini.
"Bila mengetahui insiden yang menimpanya, kami betul-betul terkejut kerana berdasarkan peribadinya kami melihat dia bukan orang yang suka bermusuh dan tidak ada perselisihan dengan sesiapa pun.
"Namun, hairan mengapa ada yang tidak puas hati dengannya dan berharap pihak polis dapat memberkas segera pelaku untuk dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiee berkata, bagi mendoakan kesejahteraan Faisal, pihaknya akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat selepas solat Isyak, malam ini.
"Faisal banyak membantu orang kampung dan kami akan membantunya dengan doa yang kami harap dia diberikan kekuatan untuk kembali sembuh," katanya.
Faisal banyak bantu penduduk kampung (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: Faisal banyak bantu penduduk kampung


ADVERTISEMENT