mattzzx Publish time 7-5-2024 12:07 PM

Bayi lelaki baru lahir ditemukan bersama uri dalam peti perlindungan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/jumpabudakbaby23_1715051879.jpg
Bayi lelaki yang ditemui di peti pelindung di Johor Bahru dan kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pengabaian.

Johor Bahru: Bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemukan bersama uri di dalam peti perlindungan di sebuah rumah kebajikan di bandar raya ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, pelindung kanak-kanak menerima maklumat daripada penyelia Yayasan Orphancare cawangan Johor Bahru pada 10 April lalu berkaitan penemuan bayi itu.

Beliau berkata, bayi lelaki itu ditinggalkan di dalam peti perlindungan Yayasan Orphancare dalam keadaan berbalut dengan kain berwarna putih dipercayai baru dilahirkan.

Menurutnya, tali pusat bayi dipercayai dipotong secara sendiri ketika kelahiran, manakala uri bayi turut diletakkan bersama bayi berkenaan.


Katanya, tiada sebarang nota atau dokumen kelahiran kanak-kanak yang disertakan.

"Suatu laporan polis dilakukan di Balai Taman Pelangi oleh Penyelia Yayasan Orphancare Cawangan Johor Bahru.

"Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk diberikan rawatan yang sewajarnya.

"Pada 16 April lalu, bayi berkenaan dibenarkan keluar wad dan sepanjang berada di hospital tiada sebarang permohonan lawatan atau tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak kepada pihak polis dan JKM," katanya.

Beliau berkata, pada 2 Mei lalu, suatu permohonan Perintah Interim Semasa Tempoh Pangguhan di bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 dibenarkan dan buat sementara supaya bayi itu ditempatkan di Yayasan Orphancare Cawangan Johor Bahru sementara Pelindung kanak-kanak menyediakan dokumen untuk pendaftaran kelahiran kanak-kanak.

"Bayi berkenaan dinamakan sebagai Aisy Anaki dianggarkan berusia 28 hari.

"JKM berharap orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris untuk menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 0111-7535394)," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, JKM Kota Tinggi turut mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki, Putera Izrael Abdullah yang berusia tujuh tahun sembilan bulan.

Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Nora Zilah Sukiman berkata, kanak-kanak itu disyaki menjadi mangsa pengabaian keluarga.

Menurutnya, pada 26 September 2017, pelindung menerima aduan berkenaan perkara ini menerusi talian kasih.

"Hasil siasatan dan lawatan mendapati seorang bayi lelaki dianggarkan berusia setahun ditinggalkan oleh keluarganya.

"Mangsa diselamatkan serta ditempatkan di institusi JKM sehingga kini dengan perintah Mahkamah oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor.

"Mengikut maklumat, ibu kanak-kanak dikenali sebagai Saharina Rasol dan alamat terakhirnya di 61, Kampung Lukut Cina, Kota Tinggi.

"Sehingga kini wanita berkenaan tidak dapat dihubungi dan waris kanak-kanak itu tidak pernah tampil bagi menuntutnya.

"Kanak-kanak kini ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru, Johor selama dua bulan mulai 5 Mei di bawah Seksyen 30 (7) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

"Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi pelindung kanak-kanak, Zunaizah Mohd Yusufdi talian 07-8835536 atau 012-7868894)," katanya
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1087657/bayi-lelaki-baru-lahir-ditemukan-bersama-uri-dalam-peti-perlindungan
Pages: [1]
View full version: Bayi lelaki baru lahir ditemukan bersama uri dalam peti perlindungan


ADVERTISEMENT