CARI-HBZ Publish time 6-5-2024 10:45 PM

Semua yang anda perlu tahu tentang Akaun 3 KWSP

https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202405/06/224313ta93aa9cac9839n3.png





Bermula 11 Mei ini, simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga jenis, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.


Penstrukturan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, dibuat untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan kewangan berkenaan simpanan persaraan.


Kata beliau, melalui inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, ahli dapat membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.


“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan kelak,” katanya dalam kenyataan pada 25 April.


Berikut Relevan senaraikan hal-hal penting yang perlu anda tahu tentang inisiatif tersebut.

Akaun baharu

Penstrukturan Semula Akaun KWSP melibatkan penamaan baharu dua akaun sedia ada, iaitu Akaun Persaraan untuk Akaun 1 dan Akaun Sejahtera untuk Akaun 2. Kedua-dua akauntersebut akan kekal dengan fungsi sama, iaitu:


Akaun Persaraan: Untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan (hanya boleh dikeluarkan apabila sampai umur bersara).


Akaun Sejahtera: Untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan (boleh dikeluarkan dengan alasan yang ditetapkan).


Akaun ketiga, iaitu Akaun Fleksibel ialah akaun baharu yang memberikan keanjalan kepada pencarum untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dengan apa-apa alasan.


Pecahan caruman


Pada 11 Mei ini, baki Akaun 1 dan Akaun 2 ahli yang menjalani penstrukturan semula akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.


Caruman yang dimasukkan selepas 11 Mei akan dipecahkan seperti berikut:


Akaun Persaraan: 75 peratus


Akaun Sejahtera: 15 peratus


Akaun Fleksibel: 10 peratus


Pilihan amaun permulaan


Walau bagaimanapun, KWSP memberikan pilihan untuk ahli mengisi Akaun Fleksibel dengan amaun permulaan. Pilihan ini akan diberi sekali sahaja dalam tempoh 11 Mei hingga 31 Ogos 2024.


Pemindahan itu akan melibatkan simpanan dalam Akaun Sejahtera (atau sebelumnya Akaun 2).


Kaedah pindahannya terbahagi kepada tiga, bergantung kepada jumlah baki dalam Akaun Sejahtera. Berikut kaedahnya:


Baki RM3,000 dan ke atas
- 10/30 daripada baki Akaun Sejahtera dipindahkan ke Akaun Fleksibel
- 5/30 daripada baki Akaun Sejahtera dipindahkan ke Akaun Persaraan
- 15/30 daripada baki Akaun Sejahtera kekal dalam akaun tersebut


Baki RM1,001 hingga RM2,999
- RM1,000 daripada Akaun Sejahtera dipindahkan ke Akaun Fleksibel
- Baki selebihnya kekal dalam Akaun Sejahtera


Baki RM1,000 dan ke bawah
- nSemua amaun dipindah ke Akaun Fleksibel


Ahli hanya boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan sekali. Pilihan yang telah dibuat tidak boleh dibatalkan.


Oleh itu, buat kira-kira dan nilai keadaan kewangan sendiri sebelum memuktamadkan keputusan. Permohonan boleh dibuat bermula 11 Mei hingga 31 Ogos ini melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Terminal Khidmat Sendiri di cawangan KWSP seluruh negara.


Pengeluaran Akaun Fleksibel

Ahli KWSP boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada jumlah minimum RM50.


Permohonan pengeluaran boleh dibuat secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.


Ahli yang belum mendaftar di aplikasi KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran dibuat secara dalam talian.

Akaun 55 dan Akaun Emas


Tiada perubahan akan berlaku kepada Akaun 55 atau Akaun Emas.


Semua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel untuk ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan dalam Akaun 55. Caruman baharu yang diterima ahli mulai umur 55 tahun pula akan dikreditkan dalam Akaun Emas.


Sumber – RELEVAN

pinkpunk Publish time 7-5-2024 12:32 PM

semoga ada options nk maintain 70% akaun 1, 30% akaun 2.. taknak akaun 3

matseh Publish time 7-5-2024 02:28 PM

boleh la test.
Pages: [1]
View full version: Semua yang anda perlu tahu tentang Akaun 3 KWSP


ADVERTISEMENT