mattzzx Publish time 5-5-2024 03:00 PM

Bekalan air di Port Dickson terganggu lagi akibat pencemaran

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/05/WhatsApp-Image-2024-05-05-at-11.34.45_e006ef52.jpg
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Seremban terpaksa dihentikan operasinya akibat kualiti air yang terganggu.

SEREMBAN – Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, di sini sekali lagi terpaksa dihentikan sementara waktu akibat gangguan kualiti air mentah Sungai Linggi ekoran air berbau minyak yang menyebabkan sebahagian kawasan Port Dickson mengalami gangguan bekalan air.

Pusat Khidmat Pelanggan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, bau minyak yang tinggi iaitu sebanyak 19 ton menyebabkan pengeluaran pemprosesan air terawat terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.

Lokasi yang terjejas melibatkan sebahagian kawasan Batu 6 Jalan (Jln) Pantai, Batu 4 Jln. Pantai, Jln. Sua Betong, Air Kuning, Tampin Linggi sehingga di sekitar Pekan Port Dickson.

Dari kawasan Pekan Port Dickson pula sehingga ke sekitar Lukut, selain turut terjejas dari Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A.

Dalam pada itu, pihak Sains bersedia untuk menggerakkan penghantaran air melalui lori tangki dan penempatan tangki statik di tempat-tempat yang terlibat dengan gangguan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/05/05/bekalan-air-di-port-dickson-terganggu-lagi-akibat-pencemaran/
Pages: [1]
View full version: Bekalan air di Port Dickson terganggu lagi akibat pencemaran


ADVERTISEMENT